Rabu, April 01, 2009

Remodenisasi: Tanah Percuma

Negara kita seluas 329,847 km persegi, dan 0.3% daripadanya adalah air. Oleh itu, lebih kurang 328,857.5 km persegi adalah tanah. Sekarang, populasi penduduk di Malaysia lebih kurang ada dalam 27,730,000. Jika semua tanah dibahagikan sama rata kepada setiap individu, kita akan dapat setiap seorang 11,859.25 meter persegi yakni lebih kurang seluas 100 x 118 meter (bayangkan dua padang bola sepak.) Ini semestinya tak logik sebab banjaran Titiwangsa pun kita sapu – semua tanah termasuk gunung! – sekali. Untuk kelihatan lebih masuk akal, apa kata setiap dari kita hanya terima 10 x 10 meter setiap seorang, yakni seluas 100 meter persegi. Ok apa, cukup untuk buat rumahkan? Darab kembali dengan populasi penduduk Malaysia, kita akan dapat 2,773 km persegi. 2,773/328,857.5 x 100 = 0.84%. Aik, tak sampai satu peratus pun? Lagi 99.16% bolehlah kita buat ruang sirkulasi dan lain-lain, tapi ingat sirkulasi bukan sekadar jalanraya. 

Oh, sebelum terlambat, 75% daripada keluasan tanah itu kita biarkan saja sebagai hutan semulajadi. Dengan itu tiada lagi alasan kemajuan demi perumahan sebabkan kita dah ada tanah masing-masing? Lagi 24.16% tanah lantak pi-lah samada kerajaan nak bawa masuk pelabur luar – jika betul-lah ekonomi dalam negara tidak mampu untuk berdikari – tapi awas, tanah-tanah ini bukan ‘dijual’ terus kepada individu luar mahupun tempatan atau hadang konsep pasaran bebas terhadap pedagang-pedagang kapitalis gergasi luar (kalau terdesak sangat pun nak makan McD ataupun KFC, benarkan dua outlet saja masuk.) Konsep francais dan cawangan dibubarkan (tidak termasuk klinik, hospital, tadika, sekolah, universiti & apa-apa institusi asas lain yang dikawal kerajaan.) 

10 x 10 meter, macam mana kita nak kawal ruang ini? Rumah yang berdiri pada asasnya hanya perlu beberapa ruang asas iaini bilik tidur, dapur, tandas dan ruang tamu/makan. Untuk orang macam saya, hanya lebih suku ruang yang akan saya gunakan iaitu 6 x 6 meter, selebihnya dibiarkan tanah ditumbuhi pokok-pokok deciduous, kasi redup. Struktur asasnya mungkin lipatan satah konkrit raw (brutalist) disokong tiang-tiang keluli. Tingkat bawah ada ruang dapur semi-solid dilitupi bingkai keluli adjustable lourves yang boleh diadjust dan ruang tamu yang boleh dibuka terbuka. Di tingkat atas melalui tangga keluli spiral ada bilik tidur dan tandas. Tidak perlu terlalu serius, rasanya dengan ruang-ruang asas ini, saya boleh hidup dengan selesa. Disebabkan kekasih saya jiran saya, oleh itu saya pun bikin jejantas ala KLCC dari bilik tidur saya ke bilik tidurnya. Bagi yang berkeluarga, semestinya 100 meter persegi ini adalah per individu. Tunggu sekejap, pabila difikirkan kembali, congakan yang saya lakukan di atas sebenarnya termasuklah budak sekolah dan bayi. Maknanya, sebenarnya lebih sedikit peratusan tanah yang kita perlukan – atau lebih luas tanah yang boleh kita dapat – malah, ini belum termasuk rumah-rumah bertindih (vertical) yang berdekatan dengan ibukota. 

Disebabkan setiap rumah bersifat individu, jadi secara tidak langsung ia melambangkan keperibadian masing-masing. Ada tradisional (dari timur ke barat,) moden dan pasca-moden. Dari kayu ke konkrit ke keluli ke kaca ke kain. Ada besar ada kecil, ada tinggi ada rendah, ada tegak ada bengkok, atas tanah bawah tanah, macam-macam ada.

Oh angan-angan saya ini punya harapan hanya jika malapetaka glokal berlaku. Kita tunggu.


Ridhwan Saidi