Rabu, Mac 18, 2009

Retrospektif

Sabtu lepas pertama kalinya saya ke Finas untuk tonton beberapa filem Riri Reza. Sebenarnya saya tidak bermasalah dengan apa yang ada di depan saya (yang dipaparkan di skrin.) Sebaliknya benda-benda di belakang saya yang mengganggu emosi saya (sepatutnya saya berserah kepada filem untuk menentukan takdir emosi.) Kebanyakan audiens yang bertindak tidak senonoh ini saya percaya terdiri daripada golongan pelajar. Apa yang mereka buat? Semasa Gie ditayangkan, saya dah nak nangis tengok cerita itu, tapi anehnya pelajar-pelajar biadap ini tadi gelak berdekah-dekah pabila melihat cara Soe Hok Gie ini berjalan. Bukan pemikiran Gie ini yang dilihat, sebaliknya tingkahlaku fizikal.

Selepas itu Eliana Eliana pula ditayangkan. Sekali lagi saya tidak bermasalah dengan apa yang dipaparkan. Dogme 95 sentiasa ada dalam kocek saya, dan saya percaya Riri Reza selaku seorang sutradara (dalam erti kata sebenar) tidak objektif untuk patuh kepada Dogme 95 semata-mata. Malah ketika tayangan itu sendiri, banyak hukum-hukum Dogme 95 dilanggar. Pertama sekali tertera kredit nama sutradaranya, kedua ia bukan Academy 35mm resolusi 4x3 (macam kebanyakan skrin komputer,) sebaliknya widescreen, dan terakhir, saya perasan ada cahaya olok-olok (artificial) dari bawah teksi ketika babak Eliana ini sedang berborak dengan pemandu teksi. Andai kata ada pelajar yang mahu buat filem pendek berdasarkan Dogme 95 ini, mereka mungkin ikut bulat-bulat. Jika mereka paksa diri mereka untuk ikut bulat-bulat, maka tiada nilai-lah hasil kerja mereka itu. Seorang sutradara seharusnya mempunyai kebolehan berfikir, malah pelajar juga seharusnya punya kebolehan berfikir. Heck, manusia sepatutnya berfikir!

Ada pengkritik yang mengatakan bahawa Dogme 95 ini tak ubah seperti ‘video porno amatur’. Jika benar kata pengkritik ini, maknanya saya tanpa disedari sudahpun ada karya Dogme 95 saya. Tiada kredit nama, skrin 4x3, tiada pencahayaan olok-olok dan selari dengan semua hukum-hukum Dogme yang lain ;-)

Disebabkan kesejukan (akibat penghawa dingin durjana,) saya tidak terlalu khusyuk menonton Eliana Eliana. Kadang-kadang saya toleh ke belakang untuk melihat wajah-wajah audiens lain. Hebatnya teka apa yang saya nampak? Ramai pelajar-pelajar filem ini yang tidur. Di satu sisi, kelihatan semua pelajar-pelajar tidur kecuali seorang. Tambah celaka, ada yang berdengkur kuat. Tapi saya tidak terkejut dengan situasi ini. Kenapa? Sebab waktu makan tengahari, saya terdengar suara-suara sumbang berbunyi begini,

“Filem tu boring gile… Ala kita datang sini sebab nak tunjuk muka aje.”

Semestinya saya tidak bermasalah dengan penganjur kerana bagi saya tayangan-tayangan percuma sebegini menjurus kepada kebajikan-kebajikan batin. Cuma yang mendukacitakan adalah sikap dan terutamanya mentaliti kebanyakan pelajar-pelajar kita sendiri (bukan semua.) Tapi saya tidak heran sangat, Maya Deren sendiri pernah kecewa di era 1940an dulu, pelajar-pelajar filem di New York tidak menghargai avant garde sedangkan avant garde itu adalah untuk mereka. Kepada yang tidak tahu, avant garde ini dalam bahasa Melayu bermaksud menongkah arus/baris pertama dalam medan peperangan. Kenapa saya tulis pasal avant garde? Sebab Dogme 95 itu adalah gerakan avant garde. Jika anda terlihat seekor semut macam sesat sedang merewang merayau. Semut itu adalah semut avant garde (vanguard). Bila ia jumpa gula, ia akan patah balik (dengan sedikit cebisan gula sebagai bukti) ke sarang untuk beritahu kawan-kawan yang lain. Sosialis habis!


Ridhwan Saidi