Jumaat, Mac 13, 2009

Bodek, Ampu, Kipas...Lepas tu, Jilat!

Bertuahnya ditakdirkan menjadi Melayu, kehidupan saya sejak kecil lagi sudah terdedah dengan pelbagai ragam peribahasa yang terdiri daripada kata pepatah, simpulan bahasa, perumpamaan dan bidalan. Tulis Pendeta Za’ba, “peribahasa-peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.”

Yang menariknya dengan peribahasa ini, ia mampu mencantikkan baris ayat yang dikarang, atau diucapkan, macam kilatnya kasut kulit yang telah di‘kiwi.’

Bertambah menarik lagi, dengan asal satu perkataan saja, orang Melayu dulu-dulu dapat mencipta bermacam kata peribahasa. Dari perkataan ‘kaki’ misalnya. Perkataan ini digandingkan pula dengan perkataan-perkatan lain lalu membentuk simpulan bahasa seperti kaki judi, kaki botol, kaki bangku, kaki ayam. Hasil dari kumpulan pengalaman, pemerhatian dan renungan oleh manusia Melayu hari ini terhadap pelbagai peristiwa dan ragam manusia yang berlaku di sekeliling sehari-hari, kita boleh temui pula peribahasa yang lebih moden seperti kaki bola, kaki betina, kaki kelentong dan kaki bodek.

Di sini, saya mahu sentuh tentang ‘kaki bodek.’ Kaki bodek ini secara mudahnya merujuk kepada sikap seseorang yang suka membodek pihak yang dibodek dengan harapan mendapat laba atau mendapat ruang keselesaan atau jaminan keselamatan dari hasil bodekan. Bodek? Kejadah apa bodek ni? Bodek ini lebih kurang sama macam ‘ampu’ – mengampu. Motifnya sama. Saudara-mara kepada ‘kaki bodek’ ialah ‘kaki kipas’, ‘kaki ampu’ dan saya tambah lagi satu: ‘kaki jilat.’

Konotasi ‘kaki jilat’ ini saya rasa lagi cun, lagi provokatif seperti kata arwah Za’ba tadi, “sedap didengar dan bijak perkataannya” – kerana berjaya membuka 1001 imaginasi liar. Bayangkan, kaki jilat ini bukan menjilat ‘kaki’ saja kerjanya, tapi kebarangkalian untuk menjilat bahagian lain juga amatlah tinggi.

Adapun, beberapa minggu lalu, saya berbual dengan rakan sepejabat tentang pengalaman masing-masing sewaktu masih bergelar pelajar. Setelah merayau dari satu cerita ke satu cerita, tak pasal-pasal, tersentuh pula tentang kesah pengalamannya membodek pensyarah perempuan muda. Pendiriannya jelas, membodek untuk dapat markah lebih.

“Kita ni time belajar kena pandai ‘kipas’ lecturer sikit, lepas tu markah mesti best je..kalau tak, tak boleh. Betul tak?” katanya terang-terangan. Saya hanya jawab dengan sekuntum senyuman tawar.

Jadi di sini, saya mahu mengupas hal bodek ini dalam konteks hubungan pensyarah – pelajar. Secara taktikal, saya bersetuju dengan idea membodek demi memperoleh faedah-faedahnya. Taktik ini memang terbukti amat berkesan. Konsep menuntut ilmu di zaman perniagaan ilmu sekarang memang begitu. Ia sudah jadi macam satu permainan yang mana kamu memerlukan kelicikan taktik untuk menang. Maksud saya, untuk grad dengan bangganya.

Tapi masalah bagi saya pula, kerja membodek ini amat bertentangan dengan sifat semulajadi yang memang tak pandai membodek. Saya hanya tahu memuji. Pujian dan bodekan adalah dua hal yang berbeza. Saya melihat pujian sebagai sesuatu yang tulus ikhlas dari hati nurani. Seharusnya tiada sebarang lapikan tipu muslihat atau agenda tersirat. Lagipun, saya amat liat untuk memuji seseorang, sebenarnya. Oleh itu, bila saya memuji seseorang, saya memang betul-betul memaknakannya. Begitu juga mengutuk. Berbeza dengan bodek, ia punya 1001 agenda tersembunyi dan semestinya, berselirat dengan benang kepura-puraan.

Saya juga seorang yang amat-amat mengagungkan kebebasan berfikir. Membodek, mengipas, mengampu atau menjilat semuanya adalah sama sekali bertentangan dengan amalan yang saya agungkan ini. Jadi, mana mungkin saya akan membodek, mengipas, mengampu, menjilat? Malahan, pada saya membodek itu semua adalah kerja manusia yang anti kebebasan berfikir!

Kaki bodek membodek dek kerana mereka seakan tak yakin dengan kemampuan fikiran mereka sendiri. Lepas itu mengharapkan pula pihak yang ingin dibodek agar menjadi ‘Jesus the Saviour’ atau pemberi rahmat kepada mereka. Sedangkan orang yang berfikir sepatutnya tak takut memperjudikan kekacakan intelektual mereka dan mempertahankannya bermatian-matian apabila dicabar.

Hasil yang dituai dari konsep membodek sebenarnya memang seperti hampas tebu yang sepatutnya dibakar. Kerana mahu selamat, markah tinggi, dan suka mengipas, mereka semua jadi pengecut, jadi pak turut. Bersandarkan pengalaman saya yang sudah, tiada sesiapa pun yang bergelumang dengan taktik membodek ini berani mencabar idea atau pandangan yang dilontarkan oleh pensyarah. Hitam kata pensyarah, hitam lah kata mereka. Dan pabila mereka keluar dari sarang pengajian nanti, watak mereka akan menjelma pula menjadi bak pelacur profesional yang hanya tahu mengikut membuta-tuli kehendak klien. Disusuli dengan hujah lanjut, “ala..nak hidup.” Padahal, sepatutnya mereka berani menawarkan idea mereka sendiri.

Membodek juga selalunya kerap berselindung di sebalik tabir kepatuhan. Nampak macam patuh, macam bagus, tapi sebenarnya ada maksud tersirat. Ini juga satu kontradiksi kepada elemen kejujuran. Senang cerita, membodek ini adalah klon kepada penipuan. Sambil tak menafikan bahawa patuh itu sifat yang mulia, dalam menuntut ilmu, awas, kepatuhan membabi buta tak mustahil jadi penyebab kamu terus diulit kebebalan.

Bagi saya jelas, kebebasan berfikir yang sepatutnya diagungkan, bukan banyak mana gulungan kertas ijazah. Kertas ijazah berlambak-lambak, hatta yang berstatus P.H.D sekalipun langsung tak berguna, tak berfaedah jika pemiliknya kecut untuk menyatakan pemikiran sendiri waktu keadaan memerlukan.

Jika ditinjau sekali lagi, amat malang, gejala bodek telah menjadi duri dalam daging yang dirayakan dalam sebahagian budaya kontemporari di negara ini. Bagi yang memerintah, walau di mana-mana pun, situasi ini pastinya disambut dengan sorak-sorai kegembiraan.


Mohd Ikhwan Abu Bakar