Isnin, Februari 16, 2009

Poser…

Boleh jadi sesuatu yang merimaskan, barangkali, jika kita dicap sebagai poser. Akan kita hadapi nanti, jika timbul rasa malu, selain rimas tadi, situasi untuk meloloskan diri dari kelongsong kepura-puraan ala poser. Tapi ini tak mungkin timbul jika kita melalui situasi sebaliknya, iaitu situasi yang melekakan kita.

Setiap dari kita, saya percaya, tak bebas dari melalui fasa poser atau kata tempatan yang saya kira lebih cocok iaitu poyo. Kita lalui fasa ini dengan 1001 ironi yang kita mahu menjadi true, atau sejati. Fasa ini seakan wajib kita lalui dalam meniti adolescent young, kejuvanaan mentah, penuh ghairah dan berahi menakluki dunia, jika kita rasakan kita masih muda. Hanya perlu pilih, lapangan apa yang diminati, boleh jadi seni dan sastera, sains, sukan atau politik. Lalu kita terjun.

Terjun punya terjun, kita termasuk, sedar atau tidak, ke dalam kawah kelompok lapangan yang dipilih. Di peringkat ini sebenarnya benteng kekebalan kita sebagai individu diuji, sama ada kita secara melulu terus menerima apa adanya yang dihidang di depan mata, atau dengan bijak menyerap apa yang perlu, dan membuang apa yang difikirkan sampah.

Malangnya, ada di antara kita kantoi di peringkat ini, bila termasuk atau sekadar tersinggah ke dalam kelompok yang telah dipilih tadi. Lalu kemudiannya terus-terusan menelurkan diri menjadi poser sepenuh masa. Ini terjadi bila mana kita merasakan telah memasuki zon kenyang atau selamat, burrpp atau alhamdulillah. Dan bila sudah rasa keselesaan itu, kita berkemungkinan tak akan punya ikhtiar langsung untuk keluar. Ya la, dah selamat katakan…

Berada dalam zon selesa memang seronok. Apatah lagi penuh dengan hibur-hiburan malam minggu, atas bukit atau dalam auditorium mahupun studio sewaan di pinggiran kota. Kita ronggeng ramai-ramai, nyanyi sambil baca puisi. Apabila kita lalui atau singgahi walau sebentar, kerana sudah mula asyik dan terpana dengan keselesaan dan keseronokan tadi, kita sudah tak peduli lagi untuk meneroka ruang yang lebih luas. Dan kita lupa juga, yang di dalam kelompok pilihan tadi ada yang sudah ‘khatam’ eksplorasi peribadi mereka. Yang kita mentah-mentah ini pula rasa, oh tak mengapa, malam masih muda!

Proses eksplorasi lapangan peribadi dan potensi diri kita jadi terbantut kerana kita ‘redha’ dengan keamanan situasi tadi. Pada saya, ini tak mungkin terjadi jika kita memilih untuk bergerak bebas di luar lingkaran kelompok. Berada di luar lingkaran kelompok, kita pasti terlihat realiti. Dari situ, kita buat pertimbangan sendiri, tanyakan kebenaran yang dilihat tadi, berdasarkan prinsip peribadi, apakah pantas dijulang dan didewakan atau harus saja dinyahkan. Kalau tidak, kita tanpa sedar selesa bergelar poser.

Ya, mungkin saja saya akan jenguk, rasa, tempuh atau beronggeng sama dalam kelompok pilihan hati, tapi bila sampai waktunya untuk pergi, saya pergi. Sambil itu, saya simpan, belai dan peluk apa saja yang saya rasakan menawan di hati. Selainnya, saya pilih jalan yang lagi adventure, merewang-rewang sambil cuba merasa apa yang mahu dirasa untuk mencabar upaya peribadi. Akan saya soal diri, adakah sudah cukup memadai dengan apa yang dimiliki, atau sudah sampaikah saya pada jalan mati, titik terakhir? Atau akan terus poser, seterusnya jatuh loser?

Saya ingat, jika saya rasakan masih muda dan masih mentah, jalan yang akan saya lalui masih panjang dan berliku. Itu pun, kalau panjang umur la…haha!


Mohd Ikhwan Abu Bakar