Hari ini saya balik lewat, ada kelas tambahan fizik di waktu petang. Kebiasaannya apabila ada kelas tambahan, saya akan naik bas Intrakota, kemudian tukar Metrobus.
Tapi hari ini lain. Di dalam poket saya cuma ada 30 sen. Tidak lepas untuk naik bas. Tahun 2000, 3 petang, di hadapan pintu pagar Sekolah Seri Serdang.
Jika dilihat dari peta, jarak rumah saya dari sekolah adalah sejauh 2 km. Tapi hari ini saya akan berjalan jauh, perjalanan paling jauh dalam hidup saya.
Pelan saya adalah untuk mengikut jalan singkat peta, terus, tegak ke rumah saya. Saya meninggalkan buku teks saya di dalam meja, jadi beg saya tidak begitu membebankan.
1 km pertama, saya melalui balai polis, rumah kedai, sekolah dan taman perumahan. Ia tidak terasa penat kerana saya masih di dalam kawasan taman dan banyak pohon-pohon rendang di tepian jalan yang memberi redup. Saya juga terlihat kelibat manusia lain berjalan kaki. Ini memberikan saya semangat untuk berjalan.
Di penghujung kilometer pertama, saya terserempak dengan sesuatu yang aneh. Objek ini menghalang saya dari meneruskan perjalanan saya. Saya sudah boleh nampak rumah saya di seberang sana (rumah saya di atas bukit). Tapi benda ini bikin kacau, saya dihalang.
Ini sudah salah, berjalan kaki adalah hak asasi manusia, kenapa saya dihalang? Saya perlu report perkara ini kepada pihak berkuasa.
Objek aneh yang menghalang saya ini adalah lebuhraya, ya lebuhraya, bukan satu, tapi dua. Untuk meneruskan perjalanan, saya harus melintasi 8 lane lebuhraya pertama dan kemudian lagi 6 lane lebuhraya kedua.
Ini kerja gila, saya cukup pasti jika saya berlari melintas, saya akan dilanggar. Di samping itu, agak leceh untuk melompat sebuah parit yang besar dan juga memanjat pagar.
Sepatutnya saya sudah separuh jalan, tapi sudah jadi lain. Untuk ke seberang jalan sana, saya perlu menyusur ikut jalan kereta sejauh 1 km dan kemudian pusing kembali ke dalam lebuhraya tadi sejauh 1 km. Perjalanan 2 km saya menjadi 4 km.
1 km seterusnya saya menyusur di tepian jalan. Jalan ini terus tanpa bengkang-bengkok atau simpang. Saya berjalan di atas rumput di sinari panas cahaya petang. Tiada pohon rendang untuk berkongsi bayang dengan saya. Tiada manusia berjalan di sini, hanya 100 kereta yang lalu tanpa ambil kisah tentang saya yang beruniform sekiolah.
Di penghujung kilometer kedua ini, saya jumpa simpang. Dari simpang ini saya perlu masuk ke dalam lebuhraya 6 lane tadi.
Ketika 1 km di lebuhraya ini, saya sudah penat, perut sudah lapar, bibir kering, dan kaki lenguh memijak terkstur tar yang keras. Tetapi saya tidak boleh berhenti kerana saya di dalam lebuhraya. Panas, terik.
Lebuhraya ini tidak mempunyai emergency lane yang luas, oleh itu saya terpaksa memaksimakan diri dekat dengan palang. Di sini kereta lebih banyak dan laju-laju belaka. Semestinya tiada orang berjalan kaki di sini, hanya 500 kereta yang lalu tanpa ambil kisah tentang saya yang beruniform sekolah.
Di kilometer terakhir, saya perlu melalui jejantas, menaiki jejambat dan kemudian berjalan lagi hingga sampai ke rumah saya. Ketika ini saya tidak mampu untuk melihat ke depan. Berpeluh-peluh, saya berjalan hanya dengan melihat ke bawah. Di sini juga tiada pokok rendang untuk berkongsi bayang.
Akhirnya saya berjaya mengharungi perjalanan sejauh 4 km dan mengambil masa 1 jam lebih ini. Tiada apa yang seindah segelas air sejuk dan mandi air sejuk sesejuk sungai selepas itu. Oh yeah!
Dari hari itu, saya mula menolak idea lebuhraya dan kereta. Bagi saya, pabila manusia memandu, mereka akan menjadi robot. Mereka tiada rasa belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan.
Pemandu-pemandu kereta biasanya rasa selamat di sebalik cermin kereta mereka. Mereka rasa mereka tidak perlu hiraukan apa-apa yang berada di luar kereta mereka. Mereka rasa mereka tidak perlu terlibat dalam apa-apa tanggungjawab sosial.
Hari ini, keadaan makin teruk. Hampir kesemua kereta tidak pernah membuka cermin tingkap. Mereka pakai air-cond 24/7. Ini salah lagi juling.
Yang paling menjelikkan saya adalah kereta sebagai simbol status. Ini adalah pemikiran taik kucing bagi saya. Jika seseorang itu punya kereta Ferrari, atau kereta lembu atau tidak berkereta langsung. Orang-orang itu tetap punya status yang sama, bernama manusia.
Raja, pengemis, artis, penganggur, menteri, semuanya punya status yang sama, bernama manusia. Tiada yang tinggi, tiada yang rendah, sama.
Pada masa dahulu, manusia membina tamadun dan kota berdekatan sungai, sumber air dan kehidupan. Kini?
“Road is the new River”
Ke mana sungai konkrit ini menjalar, di sekeliling itu lah development dilakukan. Lebih lebar jalan, lebih padat kawasan itu. Lebih padat kawasan itu, lebih bertingkat-tingkat la lebuhraya dibina. Jalanraya adalah keperluan (bukan kehendak) orang kita kini.
Apa jadi dengan sungai? Ia nyata disisihkan. Sungai bukan lagi keperluan mahupun kehendak. Tidak perlu minum air sungai, tidak perlu basuh baju di sungai, tidak perlu mandi di sungai, tidak perlu menangkap ikan di sungai. Buat apa?
Kita ada Syabas, kita ada mesin basuh, kita ada hypermarket untuk beli ikan. Bergantung harap terhadap sungai adalah kerja gila.
Tanpa fungsi, sungai ini disisih dan akan dilenyapkan secara perlahan-lahan. Lihat saja di Kuala Lumpur. Sungai Gombak dan Sungai Klang dilayan seperti parit, kiri dan kanan dikonkritkan. Ini sungguh kurang ajar.
Sungai dan lebuhraya ini sama dengan mereka yang berjalan kaki dan memandu kereta. Pejalan kaki tegar pasti disisihkan dan dilupakan.
Protes seni Hermantino berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Ipoh selama 7 hari tiada siapa ambil peduli. Malah mungkin anda pemandu-pemandu semua tidak tahu.
Kaki diberikan tuhan untuk kita bergerak, kereta pula adalah ciptaan manusia. Oleh itu, mereka yang berkereta sepatutnya lebih menghormati mereka yang jalan kaki. Sama seperti lebuhraya sepatutnya menghormati bentuk muka bumi. Bukan pakai belasah potong bukit.
Ridhwan Saidi