Di kala saya menulis ini, saya baru saja masuk ke pejabat. Jam di pergelangan tangan menunjukkan sekitar pukul 3.30 petang. Sepasang telinga saya tersumbat kemas earphone ditemani dendangan dari Dark Tranquillity, band ‘Gothenburg sound’ pujaan hati.
Ertinya jelas, saya tak mahu diganggu oleh sebarang soalan bodoh dari seorang staf perempuan di pejabat saya.
Contoh soalan bodoh, “yang korang print semua ni dapat duit ke?”.
Ini bukan soalan naïf, tapi bodoh.
Saya terjaga dari lena pada waktu tengah hari sekadar mendapati tiada sinar mentari menyusup ke dalam ruang bilik kecil saya. Sebaliknya, bumi yang saya diami dilimpahi hujan lebat. Di luar tingkap, langit kelihatan suram. Patutlah syok semacam.
Sejak pulang dari kerja sekitar jam 9 malam, semalaman hingga ke jam 4 pagi, saya sibuk melayari internet. Kehangatan pilihanraya kecil P44 berjaya mengagalkan saya untuk tidur awal sedikit dari biasa.
Dan semalaman hingga ke pagi itu jugalah jiwa saya basah disirami rasa seronok. Saya ketawa dan terus ketawa berdekah-dekah seperti orang sasau, keseorangan.
Ini kerana situasi politik semasa amat menghiburkan hati saya, selain bisa saksikan fenomena menakjubkan di Permatang Pauh melalui Youtube. Tiba-tiba timbul rasa menyesal di hati kerana tidak mengambil cuti. Cuti untuk ke Permatang Pauh. Saya percaya sedang berlaku satu pesta demokrasi hebat di sana. Suasana pasti tegang. Saya pun rasa tegang, cemburu dek tak ikut serta berpesta sebaliknya terpaksa terperap di kubikel. Boo hoo!!!
Melalui internet, saya dapati situasi di sana amat mengasyikkan. Politik nasional sering berjaya menawan hati saya dan menyebabkan saya tak kering gusi. Apatah lagi melihat gelagat politikus di pihak kerajaan hari ini. Nampak gayanya mereka semakin rapuh. Video-video di Youtube, laman-laman internet serta beberapa blog yang saya lawati saling kutuk mengutuk, memperli, mempersenda dan sebagainya itu cukup lawak. Situasi sehangat ini sukar didapati di lain waktu.
Sebab itu, sangat lawak apabila terbaca di akhbar semalam, akhbar berbahasa Melayu yang saya tak ingat namanya, di muka hadapan terpampang tajuk ‘Pembangkang Semakin Terdesak’. Hahaha!
Oh, jangan tuduh saya yang bukan-bukan. Saya bukanlah pro pembangkang. Sokong Najib? Lupakan saja. Saya hanya berminat menjilat cebisan pesta demokrasi dari kejauhan.
Tapi serentak itu juga saya bertanya kepada diri sendiri apakah situasi sehangat dan selawak ini akan dapat kita nikmati di masa akan datang, sekiranya projek mega ‘3P’ yang dirancang sukses? Apa akan jadi kepada Malaysiaku cemerlang, gemilang, temberang ini tanpa kelibat bapa mertua KJ sebagai tukang lawak? Apakah hari minggu saya cukup terhibur? Mungkinkah saya perlu memaksa TV3 menayangkan semula semua filem Mat Sentul saban minggu agar saya boleh bergelak ketawa? Apakah saya mampu ketawa ketika menyaksikan Buletin Utama tanpa kelibat orang tua ini? Apa mungkin hidup saya menjadi suram, sesuram langit petang selepas hujan di pagi tadi?
Rupanya, terkaman soalan-soalan ini amat merisaukan saya.
Ayoyo, bersambung…
Mohd Ikhwan Abu Bakar
p/s: entri ini sepatutnya disumbat semalam, tapi sayang, internet di rumah sungguh bangsat.