“Masyarakat kita memang pantang berfikir. Saya minta maaf kalau menyusahkan mereka“, Amir Muhammad.
Sejujurnya, saya mengambil sedikit masa membuat keputusan untuk menulis. Ini kerana saya adalah individu yang sering didera oleh desakan membuat pilihan dan keputusan, pada setiap hari. Sebab itulah tulisan saya setakat ini tak pernah terbaca oleh publik, seingat saya. Semuanya hanya terjeruk di dalam laptop cabuk saya dan saya hanya mampu menulis sebagai onani emosi yang terlalu peribadi sifatnya. Lagipun kalau disiar, ada ke orang nak baca? Alah, senang cerita, saya agak malu.
Ok, saya tak pasti dengan apa yang cuba saya suarakan ini. ‘Ini’ yang cuba saya perihalkan adalah tentang filem. Mungkin sedikit tentang budaya. Saya tak akan pasti.
Saya bukan pembikin filem malah nak mengaku sebagai moviegoer pun segan. Ini kerana saya amat liat untuk ke panggung wayang kerana tak tahan dengan bunyi-bunyian pop corn yang meletup-letup krap-krup krap-krup di dalam gelap. Mereka akan mengunyah tak sudah-sudah. I rimaslah! Dan satu lagi, saya juga tiada formaliti dalam perfileman. Saya hanya mampu buat-buat pandai pasal filem.
Dipendekkan cerita, saya ada terbaca beberapa tulisan Jimmy dalam blog ini. Ok, seperti jangkaan awal, dia gagal. Apa? Gagal?!
Rilek… maksud saya, gagal mengelak dari mengkritik seseorang yang mengaku Profesor.
Bagi saya yang sudah mengenali si penulis, ini biasa. Saya tak nafikan kewajaran kritikan beliau. Pun begitu, saya tak berniat atau berminat menyambung kritikan kepada sang Profesor yang memiliki sepasang mata lebam secara semulajadi ini. Maklumlah, saya ni cepat benar kesiankan orang. Apatah lagi insan yang teraniaya macam tuan Profesor. (nampak, saya masih lagi menggunakan huruf besar bagi ’P’). Lagipun, bukannya tak ramai orang yang dah menggulaikan si berkulit gelap ini. Seantero dunia tahu filemnya busuk macam anjiii...oppss, jering. Tapi berilah dia chance, beb!
Oh maaf, saya dah melalut.
Cuma, apabila saya dah habis baca itu tulisan, saya seperti stim, terangsang untuk berlawak jenaka pula. Seronok rasanya kan kalau terangsang?
Oleh kerana itu saya berasa terpanggil (sungguh klise) untuk mengulas sedikit tulisan berkenaan. Bagi saya pula, saya lebih berminat untuk menolak sisi pandangan streotaip mengkritik tuan Profesor kepada melihat suatu bentuk realiti dalam komuniti masyarakat kita, khususnya orang Melayu. Namun, ini tak bermakna saya seorang yang anti kritikan membunuh. Cuma kritikan berbaur klise menikam si pembikin seperti Prof saya percaya tak akan mengubah apa-apa kepada ’industri’ filem tempatan. Kebebalan berterusan dan deposit dengan amaun yang mega tetap menanti tuan Profesor. Kalau tuan Profesor sudah betul-betul kaya raya, alhamdulillah, saya tumpang gembira. Hulur-hulur lah sikit...
Sekali lagi, dipendekkan cerita, baru-baru ini saya telah bertandang ke panggung wayang untuk menonton sebuah filem Blockbuster Hollywood. Saya telah lewat masuk ke panggung 10 minit. Maknanya, saya miss beberapa adegan awal. Inilah masalahnya tengok kat panggung, tak boleh rewind. Sial sungguh!
Tapi ini tak lebih malang berbanding dengan apa yang telah saya curi-curi dengar dari pasangan Melayu sedang hangat bercinta yang duduk di barisan belakang saya. Seperti biasa, kalau kamu menonton filem aksi super hero mesti di awalan cerita itu penuh dengan bebelan pelakon-pelakonnya. Filem mungkin bergerak lembab kerana cerita sedang ’dibangunkan’ dan para pelakon sedang membina karekter masing-masing. Jadi apa yang saya dengar dari si Micheal tak berapa balak ini katakan kepada si minah ialah, “eh, tak best pun cerita ni..“. Walhal, filem ini baru saja memakan masa selama 15 minit dari durasi penuhnya yang melebihi dua jam. Dan hakikatnya filem itu sungguh ’wow’ sekali. Cis!
Selesai menonton, ketika perjalanan pulang saya sempat terfikir tentang ragam orang kita yang menonton filem. Saya lihat rata-rata yang ke panggung adalah orang kebanyakan yang selalunya menjadi lapang sasar produser filem tempatan meraih kutipan tiket.
Lalu saya mula sedar yang golongan penonton sebegini akan berkekalan. Malah saya menganut satu kepercayaan bahawa golongan inilah yang menjadi nadi dan teras keras kesinambungan dunia filem tempatan. Sebenarnya golongan penonton majoriti Melayu yang meminati filem-filem streotaip tahi kucing sudah terbentuk sejak sekian lama. Kita perlu mengundurkan masa untuk memahami hakikat ini. Tapi di sini saya tak sama sekali kepingin bersyarah tentang sejarah filem nasional atau berpura-pura menjadi ahli antropologi. Saya cuma ingin berborak kosong saja.
Atas faktor kasar yang saya nyatakan tadi, Profesor akan tetap berpeluang melahirkan ‘karya’ baru dari tahun ke tahun berikutnya. Beliau tetap meneruskan tarian gelek Hindinya. Anjakan paradigma penonton?
My foot.
Jadi, seperti yang saya katakan tadi, kritikan ke atas tuan Profesor tak akan memberi apa-apa makna. Mungkin sesuai sebagai lelucon si pengkritik pula. Haha!
Tuan Profesor juga, seakan bersaudara kembar dengan pengarah ’six milion dollar man’, selalu melagukan nada yang sama dengan mengatakan yang mereka membuat filem kerana ingin memenuhi selera penonton tempatan. Tak salah kan? Saya percaya, jika mereka ini berkarya di kota Paris, mereka barangkali akan membuatkan Gaspar Noe bertaubat nasuha. Malahan, saya percaya inilah kerja suci dan dakwah mereka untuk masyarakat. Sungguh mulia, bukan?
Jadi, relevensi filem-filem mereka tak boleh dinafikan. Kenapa, tak percaya? Baik, mari kita lihat…
Kamu selalu lepak di restoran mamak? Tak?!
Jangan tipu lah, please!!!
Untuk mereka yang bebal, restoran mamak adalah restoran yang diusahakan oleh golongan India Muslim di Malaysia. Restoran jenis ini turut diusahakan oleh golongan yang menyamar Muslim dengan menggantung firman-firman Tuhan di dinding premis masing-masing agar Moslem percaya yang ‘ini restoran orang Islam, so makanannya dijamin halal’. Amat relevan untuk semua golongan lebih-lebih lagi bagi mereka yang sering kekempisan dompet ketika hujung bulan. Tapi ini tak bermakna yang golongan elit termasuk pseudo-intelektual segan nak lepak kat restoran mamak. Tak percaya, pergi Bangsar.
Jadi, apa kena mengena antara pengusaha restoran mamak dengan tuan Profesor?
Secara fizikal, warna kulit mereka hampir sama dan mata juga sama lebam, sama padan. Tapi itu tak ke literal sangat? Secara konsep pula bagaimana?
Kalau kamu semua perasan (jangan perasan!), di restoran mamak hampir semua jenis makanan ada. Sebut saja kamu nak makan apa. Dari Chennai sampai ke Siam. Nasi lemak pun dia pulun! (Tinggal lagi mereka belum berani menjual laksa Johor. Langkah mayat saya dulu!) Nampak tak kat sini yang pengusaha restoran mamak ini mempunyai kepandaian untuk memenuhi selera pemakan dan peminum. Ingat ye, memenuhi selera. Saya berpendapat, inilah antara faktor yang menyebabkan restoran mamak menjadi amat relevan dan sebati dengan jiwa orang kita selain layanan mereka yang super pantas itu.
Sepanjang pengalaman saya merentas hidup, saya berani mengatakan tak sampai separuh pun restoran mamak ini mampu menyajikan makanan yang betul-betul ngetop. Err.. maksud saya, sedap. Semuanya dibelasah semahunya asalkan nampak sudah ’memenuhi selera’ pengunjung. Tapi orang kita tetap setia lepak kat mamak, bukan? In fact, sesetengah kita akan berasa tak syok kalau kawasan kediaman mereka tiada mamak joint ini. Saya pun sama.
Ini samalah juga dengan perihal filem-filem sang Profesor kita. Konsep asasnya ialah memenuhi selera penonton sambil terlupa ada sesetengah penonton yang tak berselera langsung. Macam saya. Skripnya juga saya percaya dibuat dalam waktu yang singkat. Cincai dan pantas macam membuat sekeping roti canai yang keras. Hasilnya, as pa le la la la la... Lalu saya pun ada terfikir agak menarik kalau digelarkan filem Profesor ini sebagai filem bergenre ‘Mamakism’.
Namun, saya tak akan menolak secara total kewujudan filem-filem begini. Masyarakat kelas pertengahan sampai ke kelas bawahan masih memerlukan hiburan sebegini, saya percaya. Mungkin juga filem beginilah yang menjadi benteng terakhir mereka untuk merasai nikmat hiburan ringan dengan ongkos yang termampu. Sukar untuk membayangkan yang mereka semua ini akan beralih menjadi penonton tegar filem-filem yang kononnya ‘arthouse’, filem indie nak mampus atau setidak-tidaknya, filem yang cuba menggoncang daya fikir mereka. Menolak eksistensi filem-filem seperti arahan sang Profesor adalah umpama kita membungkam kehadiran restoran mamak. Kamu sanggup? Hah!
At least, ia boleh wujud sebagai wadah pilihan. Dan sekurang-kurangnya kita masih mampu berilusi yang Malaysia ini negara yang mengamalkan sistem demokrasi berpalimen! Kah kah kah!
Apa yang sepatutnya berlaku ialah, pembikin dan pengusaha tempatan yang lain perlu terus mewujudkan satu alternatif, satu ruang yang lebih segar dan terang kepada penonton supaya upaya mentaliti mereka (penonton) menjadi cerah. Khalayak perlu ditabur dan dicanang (bukan dicanai) dengan karya-karya yang lebih bermutu lagi kritis biarpun secara perlahan-lahan. Mungkin juga jika sistem pendidikan kita menginjak ke hadapan, akan berlaku perubahan terhadap citarasa seni di kalangan masyarakat. Apapun, filem-filem tempatan yang elok dah mula banyak sebenarnya. Tak percaya, tengok Susuk.
Lagi satu, usaha berterusan secara profesional mahupun gerila mesti berlaku, gelanggang baru perlu dibuka. Kata orang, kalau nak jadi kuat, kita kena biasakan diri beradu dengan orang yang kuat juga. Baru lah kental, beb. Malahan lebih menarik saya rasa kalau budaya mengkritik itu mampu dialih kepada sesuatu yang lebih bermutu agar jadi lebih bermakna dari melayan karenah filem tuan Profesor. Harga seni tuan Profesor itu rasanya berbaloi untuk segelas teh tarik sahaja.
OMG, nampaknya saya pun telah gagal!
Mohd Ikhwan Abu Bakar
p/s: Jika sebelum ni Jimmy menulis dalam keadaan yang tak berapa sihat, saya pula menulis sambil ketawa.