Rabu, Ogos 20, 2008

Geometri dalam Filem

"Untuk menjadi pengarah filem yang baik, kita perlu belajar seni kulinari, bukan belajar filem". Saya menerangkan perkara ini kepada sekumpulan pelajar komunikasi media yang ingin buat filem. Seorang gadis, seorang lelaki gempal dan seorang lelaki kurus. Seperti jangkaan saya, ada yang tidak setuju. “Ini ajaran sesat ni, salah ni” kata lelaki kurus. Saya menerangkan lagi kepada mereka, jika seorang pelajar jurusan filem buat filem, tiada apa yang istimewa. Tapi jika seorang pelajar seni kulinari buat filem, dia akan translate masakan menjadi filem, rasa menjadi emosi, masam menjadi sedih, pedas menjadi marah.

Sewaktu saya menuntut, kami yang tinggal di studio dalam kampus (tidak berumah/ squatter) selalu diperlawa ke ujian pelajar-pelajar seni kulinari ini. Tugasnya cukup mudah, kami perlu merasa makanan dan memberikan markah berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Pertama presentation-nya, ia dinilai dengan mata. Saya menilai ia dari segi visual proportion. Proportion adalah kadar satu elemen terhadap keseluruhan bahagian lain. Molekkah kadar sos dengan ayamnya? Adakah potongan ayam terlalu besar, tidak berkadar dengan pinggannya? Bagaimana pula permainan warnanya?

Sewaktu saya menuntut, teringat saya pada kawan saya yang satu ini. Waktu itu kami diterangkan apa itu proportion. Kawan saya ini disuruh mencari pokok renek di bawah, kelas kami di tingkat 5. Setelah dia kembali, dia disuruh terap bentuk pokok renek itu atas papan putih. Kemudian dia disuruh mengukur phyllotaxis, dari tengah ke hujung, kiri dan kanan, dari bawah ke atas. Hasil perkadaran ini menjadi nombor Fibonacci. Nombor dari alam inilah yang ingin disampaikan oleh 2 orang pensyarah kami. Nombor ini juga boleh didapati pada dedahan pokok, buah nenas, cengkerang, gulungan ombak dan alam semulajadi lain. Ada juga yang percaya bahawa susunan gen dalam DNA melibatkan nombor Fibonacci. Dengan nombor ini juga kita mendapat Golden Rectangle (bentuk yang paling selesa bagi mata—keharmonian sejagat). Leonardo da Vinci banyak mengkaji tentang Golden Ratio ini. Ambil contoh lukisan Monalisa, kanvas ia sendiri berbentuk Golden Rectangle, ini belum termasuk yang tersembunyi di dalam lukisan. Piet Mondrian pula menghasilkan karya Golden Ratio secara literal. Baginya alam ini bersembunyi disebalik Golden Ratio, dengan warna merah, biru, kuning (dan hitam putih) iaini warna asas kepada warna-warna di dunia ini.

Keadaannya hampir sama seperti stadium ‘sarang burung’ oleh Herzog de Meuron di Beijing. Strukturnya kelihatan berserabut tetapi sebenarnya tidak. Struktur asasnya dalam bentuk corak yang konsisten, ia kelihatan berserabut kerana struktur sampingannya menyamar seperti struktur asas. Rekabentuk CCTV headquarters oleh Rem Koolhaas di Beijing juga bersembunyi di sebalik bentuk struktur asas. Bentuk asasnya adalah sebuah piramid. Berlawanan dengan stadium tadi, Rem Koolhaas menggunakan ruang kosong (void) untuk memberi ia kekuatan sampingan, ini sama seperti rod besi yang berlohong adalah lebih kuat daripada rod besi yang padat. Apa yang ingin saya sampaikan adalah, setiap struktur yang kelihatan serabut dan organik seperti alam, sebenarnya berasaskan struktur yang konsisten.

Percubaan pertama struktur naratif tidak linear dalam filem dilakukan oleh Akira Kurosawa melalui Rashomon pada era 50an. Akan tetapi, struktur ini menjadi popular di era 90an melalui Pulp Fiction oleh Quentin Tarantino. Bagi saya kedua-dua filem ini kemas, kerana ada geometri asas disebaliknya seperti kedua bangunan tadi. Selepas Pulp Fiction, kita dilambakkan dengan struktur naratif tidak linear ini. Ada yang munasabah congakannya dan ada juga yang sangat mengelirukan. Ini seperti memberi soalan matematik kepada penonton. Dan penonton-penonton ini bukan semuanya graduan MIT.

Di sini, kita punya 10 Tahun Sebelum Merdeka dan baru-baru ini Susuk. Selain keadaan ekonomi, sifat semulajadi saya yang menentang budaya popular tidak mengizinkan saya menonton Susuk. Dengar khabar ia memungut 1.2 juta dalam minggu pertama. Beberapa tahun dahulu, saya bersendirian di dalam panggung menonton The Beautiful Washing Machine oleh James Lee. Ini adalah tanda sokongan saya terhadap filem yang tersisih walaupun kesejukan. Walau bagaimanapun saya kurang risau dengan struktur filem ini kerana bagi saya Amir Muhammad adalah jenis yang rajin buat kerja rumah (saya tidak pasti dengan Naeim Ghalili). Apa yang saya risaukan adalah efek selepas Susuk ini. Apa jadi bila semua orang ingin cuba (tanpa sebab) struktur naratif tidak linear ini? Ini menakutkan saya, setakut saya pada ‘I Know What You Did Last Raya'.


Ridhwan Saidi

p/s: Jawapannya filem 2 Alam (2010) oleh dR. Rozmey