I
Playlet ‘Nadi’ ini dihasilkan sempena #pestateaterruncit iaitu satu pertandingan yang memerlukan kita hantar skrip pendek bawah 10 minit, sebelum ia perlu dibikin dan dihantar dalam masa seminggu! Ia tiba-tiba sebab saya tak jangka untuk buat teater dalam masa-masa pandemik sebegini. Malah saya kini lebih menumpukan untuk bikin filem. Tapi ia suatu perubahan perasaan yang menarik, sebab untuk hasilkan teater yang dirakam, cara kita approach dah tentu tak serupa ketika membikin filem.
Idea asalnya saya ingin buat ia di kawasan terbuka di belakang rumah, ada tanah lapang. Tapi memandangkan projek ini memerlukan setup kamera yang komplikated, dan dalam situasi sekarang masih belum sesuai untuk shoot di luar, saya alihkan latarnya ke dalam konteks rumah. Dengan team yang kecil, kita cuba jaga dan bermain dengan jarak. Ada satu momen akhir dalam playlet ini yang ditulis sebagai pelukan, tapi melalui pengarahan kita menggantikan pelukan itu dengan suatu aksi lain tapi dengan kesan yang dirasakan wajar.
Playlet ini berbentuk perbahasan seperti yang pernah ditulis sebelum ini antaranya ‘Erti Mati‘, ‘Pengantin, Freestyle!’ dan ‘Melihat Setan Bekerja’, tetapi kali ini menemukan watak doktor dan pujangga yang membincangkan perihal sains dan seni. Dilakonkan Hannan Barakbah dan Meier Wee.
II
Saya prolifik membikin filem pendek sejak kebelakangan ini, dan dalam usaha membikin Nadi sebagai teater virtual, saya cuba sedaya upaya untuk tak buat ia seperti filem pendek, meski ia berbentuk rakaman.
Seperkara yang saya sedari membezakan teater dengan filem ialah: filem medium untuk pengarah, manakala teater medium untuk pelakon. Jadi dalam kes Nadi ini, saya mengelak dari menggunakan satu kamera dan sebaliknya buat multi-camera setup (tiga kamera). Bila ia cuma satu kamera, saya sebagai pengarah akan cenderung mahukan sesuatu yang lebih terperinci, akan ada direction lebih terhadap aktor di dalam bingkai yang dirakam (seperti angle wajah misalnya). Sebaliknya di sini, saya mahu aktor lebih banyak ruang untuk bermain, tiada arahan spesifik kecuali posisi di mana mereka perlu berada, di mana piring kek patut diletak, di mana patut jatuh, bila patut pandang kamera, tapi selebihnya aktor bebas untuk bergerak dan melontarkan dialog.
Kita maklum dengan teater virtual bahawa audiens akan terpisah dan hanya akan tonton versi skrin. Jadi untuk aktor turut sama terpisah (dan bertemu secara online) akan menjarakkan lagi idea pertemuan fizikal itu. Ia mungkin berkesan jika ceritanya memerlukan ia sebegitu tapi dalam kes Nadi, saya rasa ia penting untuk kedua watak doktor (lakonan Hannan Barakbah) dan pujangga (lakonan Meier Wee) ini berkongsi ruang yang sama, untuk bertindakbalas secara berdepan. Ada suatu energi atau feeling lain bagi seorang aktor untuk bertindak dengan rakan aktor mereka secara fizikal, ia tak boleh diganti dengan pertemuan online. Lebih-lebih lagi skrip naskah ini berbentuk konfrontasi, lebih intens untuk dua watak ini di dalam satu ruang sama, berbanding untuk mereka sekadar bergaduh di alam maya umpama keyboard warrior. Ada unsur bahaya untuk bertingkah lidah secara berdepan, berbanding konfrontasi secara online (yang meletakkan mereka di ruang selamat masing-masing).
Selain itu, POV tiga kamera ini juga seakan replicate pengalaman menonton teater Hamlet Fansuri saya dulu di mana audiens boleh berada rapat, dan berkongsi ruang pentas dengan aktor. Tiada garis pemisah antara ruang lakon dan ruang duduk audiens (audiens malah ada waktu kena berdiri). Jadi tiga POV kamera ini umpama letak duduk audiens di tiga posisi berbeza. Kita dapat rasa perspektif audiens yang duduk/berdiri di posisi berbeza. Malah bila difikirkan, ini yang bikin teater istimewa, betapa di mana audiens duduk, sebenarnya akan memberi impak terhadap pengalamannya. Ada audiens suka duduk depan, maka dia dapat lihat ekspresi wajah dengan lebih terperinci, ada audiens suka duduk belakang, maka dia dapat lihat tubuh-tubuh aktor bergerak di dalam set, dan ada audiens yang tak memilih tempat duduk sebaliknya tempat duduk itu yang memilihnya.
Untuk proses rakaman Nadi kita buat tiga take. Yang pertama oleh kerana ia segar, perasaan teaternya secara langsung memang ada feel, cuma dari segi teknikal ia masih kasar. Saya amat clear kat sini, perasaannya sewaktu berada di set boleh jadi intens, tapi intensiti ini belum tentu sampai apabila ia dirakam. Dan dalam hal ini, rakaman pusingan pertama ini tak berjaya transmit perasaan teater itu ke dalam bentuk video.
Pusingan kedua seperti biasa, apabila kita ada dua contoh, kita sudah berupaya membanding. Kami sepakat yang ia tak sebaik pusingan pertama, dan kurang feel, meski dari segi rakaman ia semakin lancar.
Rakaman pusingan ketiga menemukan kelancaran teknikal, dan feel lakonan secara langsung yang agak seimbang. Rakaman video berjaya transmit perasaan hibrid antara live dan tak live. Untuk projek yang ambil masa lebih kurang seminggu untuk dibikin, ia memuaskan pada saya untuk skala ini. Sesetengah orang mungkin tak boleh function untuk tulis dan direct play baru dalam masa kurang dua minggu, tapi pada saya kita kena kenal skop waktu yang diberikan, dan berusaha dan berdoa agar ia tak jadi disaster.
Ridhwan Saidi
p/s: Nadi mendapat tempat kedua Pesta Teater Runcit, syukur!
p/p/s: Tulisan ini ditulis di Buymeacoffee pada 13 dan 24 Ogos 2021 sebelum berpindah ke sini.