Sabtu, Oktober 29, 2022

Tentang ‘Menjadi Laila dan Sairah’ dan hal-hal yang sewaktu dengannya

Projek ini bermula apabila kami sepakat untuk bertemu setiap pagi Ahad, di Klang, selama 4 minggu berturut-turut. Biasanya bila saya mulakan satu-satu projek, ia sukar untuk saya jejak kembali bagaimana ia bermula. Tahu-tahu ia dah nak siap. Archana, Paik Yin dan Aizam tentu lebih ingat bagaimana ia bermula.
Seingat saya, projek ini bermula dengan niat untuk bikin filem pendek tapi dengan proses teater. Biasanya bila saya bikin filem pendek kita shoot ‘run and gun’ dalam sehari, manakala untuk teater pula kita rehearsal dalam 2-3 bulan. Saya ingin filem pendek saya tak dibikin terlalu cepat, ada proses latihan (tapi tak selama dan seintens teater), dan lalu MENJADI LAILA DAN SAIRAH terbentuk. Kita bertemu, saya tulis skrip, kita berlatih dan bersembang, makan, suntingan memecahkan kembali apa yang dirakam, rekaan bunyi dibikin, sesuatu terjadi.

Ketika menaip tulisan ini, filem ini sedang dimasukkan sari kata Inggeris. Selain itu, kita turut akan adakan tayangan internal preview untuk merasai perasaan filem berdurasi 25 minit ini bila ia dipancarkan melalui projektor. Ia sentiasa pengalaman yang syok untuk saya sebab, sejujurnya ia tak sama menonton di skrin (sepanjang proses menyunting ini), tambahan bila ia dipancarkan secara lebih besar, lebih-lebih lagi bila ada teman-teman yang tak terlibat dengan projek ini tonton sekali, orang luar dan asing dengan mata yang segar. Ia buat kita pembikin rasa berdebar sebab sedang mempersembahkan kerja kita kepada orang, ibarat menjamu tetamu selepas memasak sesuatu di dapur.


PASCA PREVIU ‘MENJADI LAILA DAN SAIRAH’

Sebelum TIADA CINTA SELAMA MUDA (84 min, 2020) saya tak pernah tunjuk atau buat internal preview filem-filem pendek saya kepada orang lain. Bila saya rasa ia sudah siap, saya tahu ia sudah siap. Tetapi selepas pengalaman TCSM yang mana memerlukan saya sunting dan tunjuk progress video ke para performer setiap kali kita bertemu, saya mendapati ada manfaatnya untuk dengar pandangan orang lain yakni mata ketiga. Kita cuma ada dua mata, dan kadang-kala ada hal yang kita terlepas pandang. Maka filem-filem pendek selepas itu seperti TENTANG CINTA (11 min, 2021), CAHAYA PUSARA (13 min, 2021) dan PENYIASAT MALAM (7 min, 2021) semuanya ada dilakukan tayangan previu demi sesuap maklum balas.

Dalam kes filem MENJADI LAILA DAN SAIRAH (25 min, 2021) antara hal yang menarik dikenalpasti merujuk kepada satu adegan di mana beberapa penonton mendapati dua imej yang berbalas ini buat seolah mereka saling memandang di antara satu sama lain, persis montaj (efek Kuleshov), yang mana sewaktu saya sunting saya tak perasan atau terbayangkan hal ini. Secara tak langsung ia bikin filem ini lebih mendekati perasaan yang saya inginkan, meski saya tidak terlalu mengawal filem ini.
Kawalan biasanya disinonimkan dengan peranan director tetapi dalam projek ini saya cuba mengawal dengan tanpa mengawal. Maksud saya, saya tak akan order ‘buat macam ni, atau buat macam tu’ secara spesifik sangat, sebaliknya saya lebih ingin memerhati (observe) dan merakam. Oleh kerana kita shoot outdoor, dan alam (nature) di luar kawalan saya, misalnya saya tak boleh kawal cahaya matahari, atau angin, atau bunyi bising, maka apa yang perlu saya buat adalah untuk embrace hal-hal ni, dan seterusnya embrace kesemulajadian gerakan tubuh dan percakapan performer/karakter.

Satu kata kunci dari salah seorang penonton menyatakan bahawa filem ini rasa ‘personal’ dan di sini, kenyataan itu menarik kerana ia bukan personal semata-mata merujuk kepada seorang individu (kebiasaannya penulis/pengarah), tetapi ia ‘collectively personal’ di mana sudah tentu Paik Yin dan Archana ada memberikan sebahagian diri mereka ke dalam filem ini, selain melalui skrip, saya turut ada kongsikan pengalaman diri saya untuk dilafazkan. Pengalaman-pengalaman peribadi ini bertemu, bertembung dan berkecamuk agar suatu perasaan spesifik dituju—suatu perasaan yang bermula dengan huruf ‘R’.

Menariknya bagaimana filem ini diberi identiti/posisi/label, sama ada dokumentari, fiksyen, eksperimental etsetera, ia akan beri satu cara fikir kepada audiens bagaimana untuk menanggapinya. Dalam konteks previu itu hari, saya yakin majoriti penonton menganggap filem ini sebagai fiksyen, barangkali sebab saya lebih prolifik menghasilkan filpen berbanding dokumentari. Malah saya sendiri merasakan filem ini fiksyen, sehinggalah sewaktu tayangan yang mana saya tiba-tiba merasakan ia juga sebentuk dokumentari.


TRAILER ‘MENJADI LAILA DAN SAIRAH’

Tak seperti teater di mana selepas penat berlatih dan melakukan rehearsal, malam pertunjukan menjadi medan untuk segala usaha kita dipentaskan. Ini berbeza dengan filem di mana setelah ia siap dirakam dan disunting, hasilnya terbeku, dan sama ada ia ditonton sekarang, bulan depan atau 10 tahun akan datang, ia tetap hasil yang sama. Yang berubah cuma mereka yang menonton, serta bagaimana ia ditanggapi.


Filem yang sama boleh beri perasaan yang berbeza kepada orang yang sama, bukan sebab filem tu yang berubah, tapi cara orang tu melihat dan mendengar yang berubah. Maka dengan terhasilnya filem ini, saya tiada urgency untuk ia ditayangkan. Jika ia dirasakan sesuai dan keadaan dirasakan selamat, maka kita buat tayangannya. Jika tidak ia boleh ditayangkan di satu waktu yang lain.

Sebagai orang yang terlibat dan membikin, lagi lama kita dipisahkan oleh waktu, lagi jauh kita akan rasa ada jarak dengan filem ni. Dengan itu tanggapan kita tak terlalu dekat, yang saya fikir molek andai kita nak reflect balik dengan apa yang kita dah buat. Untuk melihat dari luar dan tak berada di dalam. Tapi dalam masa sama juga, filem yang lama dibuat umpama album gambar (cuma ia bergerak dan berbentuk video), dan berpotensi untuk mendekatkan kita dengan pengalaman di waktu yang lalu—untuk membayangkan suatu masa lampau.


JOGJA-NETPAC DAN KINOSAURUS

Filem pendek ini telah ditayangkan di Jogja-NETPAC Asian Film Festival di dalam kategori Asian Perspective pada tahun 2021.

Ia kemudian turut ditayangkan Kinosaurus Jakarta dengan sinopsis yang telah dialih ke bahasa Indonesia yang berbunyi: 
Dua wanita yang tertarik pada seni akting bertemu selama empat akhir pekan untuk merancang pertunjukan untuk menjadi karakter fiksi. Bersama dengan sutradara dan produser, mereka memulai perjalanan untuk memproduksi film yang digerakkan oleh proses. Dalam prosesnya, kisah-kisah pribadi hidup berdampingan dengan teks tertulis, yang membahas isu-isu yang berkaitan dengan identitas, dan kenangan yang mengarah pada perasaan nostalgia dan kerinduan.

Ridhwan Saidi
p/s: Sebahagian tulisan ini pertama kali muncul di Buymeacoffee, lalu dipindah ke sini.