Rabu, Mei 15, 2019

Makan Untuk Makan vs Makan Untuk Kenyang: atau dengan nama lain Seni Untuk Seni vs Seni Untuk Masyarakat

Dalam tradisi seni moden* di Malaysia, kita ada polemik ‘seni untuk seni’ vs ‘seni untuk masyarakat’ yang pada hari ini, jika kita sebut pasti kedengaran oldskool dan ketinggalan zaman. Walau bagaimanapun saya fikir kita tak boleh secara semberono skip polemik ini dengan menyapu ia masuk ke bawah karpet rumah kita. Masih ada ramai yang berpihak dan merasakan pemikiran binari ini sesuatu yang beku yang tidak cair. Jika ‘seni untuk seni’ putih misalnya, maka ‘seni untuk masyarakat’ itu hitam—atau sebaliknya. 

Pertama sekali bila kita guna seni sebagai kata nama, ia boleh bikin kita keliru, sebab seni secara stereotaip bersifat abstrak (dan ada banyak jenis). Jadi di sini saya akan analogikan seni ini sebagai makan. Kita orang Malaysia suka makan. Makan lebih senang difahami umumnya berbanding seni. Jadi dengan struktur ayat yang sama, seni untuk seni jadi ‘makan untuk makan’ manakala seni untuk masyarakat jadi ‘makan untuk kenyang’. Kenyang dipilih sebab ia fungsi praktikal akhir, sepertimana masyarakat adalah hasil praktikal akhir bagi seni untuk masyarakat.

Memang benar, adakala bila kita susah dan terdesak, ditekan faktor kehidupan dan ekonomi, kita makan apa yang patut, semata-mata untuk kenyangkan perut. Nasi berlauk maggi, nasi dengan air garam, atau dalam kondisi perang… sup tikus. Tapi adakala bila kita sedikit senang, kita tak lagi makan atas nama kenyang semata-mata, tapi makan untuk makan. Kita pilih makanan yang bakal melalui tekak kita. Perut masih destinasi akhir, tetapi kepekaan tekak diberi penekanan—kesenian. 

Hal yang sama boleh kita terapkan ke dua polemik seni tadi. Seni untuk masyarakat wujud apabila kita susah, terdesak dan ditekan faktor kehidupan dan ekonomi (antaranya). Timbul rasa tanggungjawab, untuk memunculkan sebuah masyarakat yang sedar dan peka terhadap kesusahan, desakan dan tekanan luaran yang dialami oleh suatu komuniti atau negara itu. Makan untuk kenyang adalah untuk menghilangkan rasa lapar buat seketika. Hakikatnya rasa lapar akan kembali di kemudian hari. Hal yang sama terjadi pada kesedaran masyarakat, seperti lapar, ia akan lupa, dan sekali-sekala akan ada seseorang yang akan mengingatkan, sebelum ia dilupakan kembali—kitaran ingat-lupa. Jika anda tekuni mereka yang into seni untuk masyarakat ini, akan anda temui mod berpesan-pesan, memberi nasihat dan didaktik di sebaliknya, meski permukaannya ada pelbagai fesyen.

Bagi ‘makan untuk makan’, ia seperti seorang pekerja yang baru dapat gaji di hujung bulan. Dia ada mengidam sesuatu. Makanan idaman ini adalah percikan ilham bagi seorang seniman. Dalam situasi ini, dia memang lapar dan makan untuk kenyangkan perut, tetapi ini sudah diketahuinya (sepertimana semua seni memang untuk masyarakat hakikatnya), yang lebih penting di sini ialah, “Nak makan apa?” Andaikan lelaki itu mengidam burger jalanan, dan dia tahu satu kedai kegemarannya yang beribu batu dari rumahnya. Jarak jauh ini menjadi dekat di atas landasan keinginannya (ada orang duduk KL drive ke Penang untuk makan char kuey teow misalnya). Faktor tekanan ekonomi (seperti duit minyak dan tol) atau apa-apa masalah berada di luar kerangka ini. Ini obsesi, sedikit kegilaan dan perjalanan protagonis kita ini dalam menuju ke arah kegembiraan sementara (yang belum teruji) buat dirinya.

Jika ‘seni untuk masyarakat’ dibentuk oleh faktor-faktor luaran, ‘seni untuk seni’ dibentuk oleh faktor dalaman dan psikologikal. Kita tidak tahu apa yang diidam atau diobses oleh seseorang seniman itu. Karya ‘seni untuk seni’, adalah untuk kita melihat ke dalam diri seorang manusia lain, andaikata jika ada sesuatu yang kita temui resonates dengan diri kita (karya yang bagus dan hebat sepatutnya begitu). Dalam hal ini boleh kita kata bahawa ia lebih bersifat peribadi. Masyarakat memang lawannya keperibadian pun. Jadi sekarang kita jelas dengan dua satah polemik ini.

Sekarang mari kita rungkai kenapa untuk memilih dan berpihak terhadap salah satu daripada ‘seni untuk seni’ atau ‘seni untuk masyarakat’ ini sebenarnya bermasalah dan tidak lengkap. Saya percaya untuk kita luaskan horizon, kita perlu memposisikan diri kita untuk lihat kedua-dua polemik ini dari jarak jauh. Ia dua benda di dalam satu spektrum yang sama. Dua-duanya benar dan bertindih dan cair, sepertimana kita tak boleh pisahkan hak individu dan keperibadian kita dengan kemajuan hidup bermasyarakat. Kita keluar dan masuk kedua-dua ruang dan satah ini. Semua karya seni pun keluar dan masuk kedua-dua ruang dan satah ini. Yang menjadi masalah pada saya ialah perkataan ‘untuk’.

‘Untuk’ menghadkan daya fikir kita. Ia meniruskan sudut pandang dan horizon kita, ia one-directional, pergi tak kembali, seperti kuda lumba yang hanya boleh lihat ke depan. Untuk kenang-kenangan, untuk bekalan akhirat, untuk berfikir secara praktikal—seni untuk masyarakat, makan untuk kenyang. Kenapa hala tujunya ‘seni untuk masyarakat’ dan bukan ‘masyarakat untuk seni’? Bukan ke lebih sihat untuk bina hubungan dua hala—sebuah dialog?

Malah jika kita tekuni polemik ‘seni untuk seni vs seni untuk masyarakat’ ini, ia sebenarnya bahasa yang berpihak terhadap seni untuk masyarakat. Ini kerana ‘untuk’ memerlukan titik akhir yang kedengaran berguna. ‘Untuk masyarakat’ kedengaran selesa dan bermanfaat. Ia untuk kebaikan ramai. Siapalah masyarakat jika bukan kita? Seni untuk seni pula memberi impresi self-absorbed. Cuma seniman itu yang bermanfaat. Kerana itu jika kita perhatikan, hanya penggiat yang melaungkan slogan ‘seni untuk masyarakat’ yang akan memposisikan diri mereka sebagai ‘seni untuk masyarakat’ manakala mereka yang bukan, akan dilabel sebagai ‘seni untuk seni’. Tiada siapa yang nak mengaku diri mereka ‘seni untuk seni’. ‘Seni untuk seni’ ialah label yang diberikan buat mereka yang tertindas oleh mereka yang percaya bahawa diri mereka bersama-sama masyarakat, sepertimana label ‘apolitikal’ diberikan oleh mereka yang merasakan diri mereka ‘politikal’. Ia kancah yang kompleks dan cair, maka perlu kita jauhi dari pemikiran yang sempit dan beku ini.

Kita perlu luaskan penguasaan kata sendi. Tidak lagi terhad dengan ‘untuk’. Kerja untuk duit—benar dan selalu kita dengar. Bagaimana pula dengan: kerja untuk kerja? Kedengaran lebih baik (sebab kita jarang dengar, dan bukankah lebih seronok untuk kerja untuk kerja?) Meski kedua-duanya benar, ia bertindih dan cair. Ia hanya selepas kata sendi ini diberi variasi, barulah kata ‘seni’ dan ‘masyarakat’ ini, jika anda mahu ubah ia kepada apa-apa perkataan sekalipun, lebih membuka kepada kepelbagaian kombinasi. Jika anda masih terhad dengan kata sendi ‘untuk’, ia tetap tidak seluas apabila kepelbagaian kata sendi ini dibuka.

Sebelum saya akhiri entri ini akan saya senaraikan kepelbagaian kata sendi untuk kita goncang pemikiran kita dari tersangkut dan terpenjara dengan polemik yang menyesakkan ini. Dengan hanya menukar sedikit struktur, dengan kefahaman linguistik dan kepekaan terhadap sastera, kita dapat sekuen, posisi dan cara fikir yang segar—meraikan diversity kata sendi.


seni di seni
seni di masyarakat
masyarakat di seni

seni ke seni
seni ke masyarakat
masyarakat ke seni

seni kepada seni
seni kepada masyarakat
masyarakat kepada seni

seni daripada seni
seni daripada masyarakat
masyarakat daripada seni

seni seperti seni
seni seperti masyarakat
masyarakat seperti seni

seni dengan seni
seni dengan masyarakat
masyarakat dengan seni

seni bagi seni
seni bagi masyarakat
masyarakat bagi seni

seni sambil seni
seni sambil masyarakat
masyarakat sambil seni

seni selepas seni
seni selepas masyarakat
masyarakat selepas seni

seni sebelum seni
seni sebelum masyarakat
masyarakat sebelum seni

seni antara seni
seni antara masyakarat
masyarakat antara seni

seni bagai seni
seni bagai masyarakat
masyarakat bagai seni

seni demi seni
seni demi masyarakat
masyarakat demi seni

seni ibarat seni
seni ibarat masyarakat
masyarakat ibarat seni

seni hingga seni
seni hingga masyarakat
masyarakat hingga seni 

seni kerana seni
seni kerana masyarakat
masyarakat kerana seni

seni sampai seni
seni sampai masyarakat
masyarakat sampai seni

seni oleh seni
seni oleh masyarakat
masyarakat oleh seni

seni sejak seni
seni sejak masyarakat
masyarakat sejak seni

seni tentang seni
seni tentang masyarakat
masyarakat tentang seni

seni umpama seni
seni umpama masyarakat
masyarakat umpama seni

seni dalam seni
seni dalam masyarakat
masyarakat dalam seni


Ridhwan Saidi
* Moden dalam erti kata, jika kita lihat seni yang lebih tradisional seperti wayang kulit, ia tak terhad kepada polemik seni untuk seni atau seni untuk masyarakat sebab semuanya sudah berpadu dan tidak dipisah-pisahkan.