I
Antara skrip teater terawal yang saya baca ialah Prometheus Bound oleh Aeschylus dua tiga tahun lepas. Ia dibaca secara rambang dan saya tiada idea Aeschylus ini siapa pada waktu itu, tetapi saya tertarik dengan judulnya. Menariknya tentang play ini, ia memaparkan watak Prometheus terikat dari mula sampai habis. Dia akan dilawati beberapa karakter lain, sebelum akhirnya ditelan bumi? Saya ingat-ingat lupa tetapi lebih kurang begitulah tragedi Yunani ini.
Ia mengkagumkan sebab sebelum ini pandangan saya tentang teater: ia mesti ada keluar masuk karakter, dan pertukaran set. Tapi dalam konteks Prometheus Bound ia tiada. Cuma deklamasi kata-kata, simfoni antara aktor dan korus. Setnya malah tidak berpintu. Apa yang ada di depan mata, itulah seadanya. Aksi berlaku sebelum (atau selepas). Drama dalam erti kata Nietzschean: sebuah perlawanan antara unsur kaos Dionysian (korus++) dan unsur order Apollonian (aktor++). Hal ini anehnya saya alami waktu menonton rakaman pementasan vintaj hitam putih noh, Lady Aoi di youtube.
Saya teringatkan play ini kerana selepas itu saya ada baca beberapa play oleh Sophocles dan Euripides. Tapi saya tidak ingat jika saya pernah baca Aeschylus, dan rupanya dah. Menariknya setelah ditekuni, saya dapati ada dua play arahan saya yang memaparkan nuansa Prometheus Bound ini secara bawah sedar iaitu Pengantin, Freestyle! dan Teater Normcore: Stereo Genmai.
Dalam Pengantin, Freestyle! watak pengantin yang dilakonkan Ani Aziz terikat dan sedang diseksa. Tetapi akhirnya ia akan lepas apabila yang menyeksa pula terseksa. Pengantin itu dibawa berarak, dilapkan peluh, dikipas dan diberi pertunjukan silat. Ia berakhir dengan nikmat yang berlawanan dengan kesengsaraan dan duka nestapa di awal kisah.
Di dalam Teater Normcore: Stereo Genmai pula, watak Raslan tidak akan keluar dari pentas dari ia mula memasukinya (iaitu permulaan kisah) sebelum akhirnya ditelan kontinuum idea-mimpi. Meski ia tidak secara literal terikat tetapi belenggu spiritual dan batinnya ketara. Kali ini belenggu itu tidak pecah: watak pengarang terpenjara di dalam dunia ciptaan watak ciptaannya sebelum bersatu dengan idea-mimpi.
Kesedaran ini datang selepas saya memikirkannya balik. Dengan kesedaran ini sudah tentu dalam projek teater terbaru saya iaitu Teater Normcore: Odisi Romansa, saya akan pastikan watak utamanya bukan bermodelkan Prometheus. Sikap saya bila berkarya adalah untuk bertindakbalas dengan karya-karya sebelumnya, sebentuk dialog. Sudah tentu ia hanya kemudian, selepas Odisi Romansa dipentaskan, baru saya sedari protagonisnya dari model apa.
II
Cara kerja saya dalam menulis atau mengarah ialah, bukan untuk tahu dengan tepat ke mana yang saya ingin tuju, dalam erti kata direction itu saya betul-betul tepat noktah tujunya. Saya tahu mahu tuju ke area mana tetapi ia belum benar-benar tepat. Ia hanya selepas bertemu dengan para aktor, dan unsur muzik dan cahaya, baru perlahan-lahan ia menjadi tepat. Ketepatan ini datang dengan saya tahu apa yang saya tak nak. Saya tahu bintik-bintik yang saya tak mahu, dan elakan demi elakan ini akan membawa teater itu menghampiri destinasi akhir yang saya tidak tahu pada awalnya.
Saya rasa ia penting untuk saya sebagai pengarah tidak tahu secara tepat apa yang saya mahu, kerana jika saya sudah tahu, tugas saya cuma untuk order aktor atau orang lain untuk pergi ke titik yang sudah saya tetapkan itu. Masalahnya lain aktor, lain muzik dan lain cahaya (ditambah cantuman semua substance ini) akan beri kesan alchemy yang berbeza.
Ada ruang untuk semua jenis aktor masuk ke dalam kemenjadian sesebuah teater itu. Saya boleh direct naskah yang sama dengan kumpulan aktor yang berbeza dan ia masih berpotensi jadi bagus. Sebab ruang tadi membolehkan sekumpulan aktor untuk menyeimbangkan balik keseluruhan nuansa performans. Lain orang lain permainan yang boleh diberi, dengan sekumpulan orang lagilah pula dinamiknya berubah. Dan ini semua akan dipusatkan kembali kepada makna teks.
Apresiasi saya terhadap aktor juga tidak terus terhadap kehebatan individu. Sebab saya tahu teater melibatkan ruang dan ruang terpenting sebenarnya ruang halimunan di antara aktor (sepertimana ruang terpenting kata-kata ialah kesunyian). Bila saya pilih aktor, saya lebih risaukan bagaimana sebagai ensembel kesemua aktor ini berkesan di pentas. Ia mesti janggal dan segar, sekilas pandang, kita rasa ia tak masuk dan akan berkesan, tetapi apabila cerita mula bergerak kita mulai percaya, bahawa setiap watak-watak ini hidup (terima kasih kepada aktor!) dan bila watak-watak hidup, cerita pun hidup.
Konvensi teater adalah untuk memuji atau mengeji aktor dan saya memahami ini, tetapi dalam teater saya oleh kerana aktor sebahagian dari pengalaman penuh (gesamtkunstwerk), maka ia hal tertiary. Rekaan cahaya dan muzik sepenting aktor. Tiada beza di antara yang berada di depan audien dan yang di belakang audien. Kita ada tugas dan posisi masing-masing untuk membelenggu audien dengan cerita kita. Menuju ke arah audien Promethean?
Ridhwan Saidi