Seseorang pernah datang ke rumah saya lalu bertanya jika saya dah baca semua buku-buku yang berada di rak. Saya cakap tak. Ia buat saya terfikir jika ada orang yang punya koleksi buku dan telah membaca kesemuanya. Ia tak sepatutnya begitu.
Kalau kita dah baca semua buku, dan buku-buku itu terkumpul di satu tempat, seluruh kawasan itu akan beri impresi macam stor, atau benda yang dah lepas. Ia secara halus menjarakkan kita dengan buku-buku tersebut. Kerana itu sentiasa perlu ada buku yang belum dibaca, supaya bila kita mendekati rak, kita tau ada buku yang belum dibaca, dan dalam masa sama kita punya potensi untuk selak dan baca kembali buku-buku yang telah kita baca.
Membaca ini juga satu tindakan yang luar biasa. Untuk setiap buku yang dibaca, ia tak dibaca dengan energi yang sama. Tak selalu diri kita in sync dengan buku tersebut. Ada kala kita paksa diri kita untuk baca dan hasilnya biasanya tidak begitu memuaskan. Maka, waktu yang lebih baik perlu ditunggu, agar satu hari nanti buku itu akan bercakap dengan kita.
Hubungan buku dengan kita kompleks. Ada percakapan tersembunyi di dalamnya. Meski pun kita sebagai pembaca lebih bertindak sebagai otoriti, yang mana kita berkuasa untuk pilih buku apa yang kita nak baca, tetapi jika terlalu memaksa, ia akan memudaratkan bukan buku itu, tetapi diri kita sendiri. Buku tak seperti manusia lain, bila kita impose power, kita yang terseksa.
Koleksi buku ibarat taman. Taman itu tak semestinya luas, poinnya di sini ia di-curated (sama ada kita suka atau tidak dengan istilah ini). Seperti memilih pokok di nursery, ada banyak faktor kenapa kita pilih pokok atau buku itu untuk dibawa pulang ke rumah. Apa yang ada di rumah kita, memantulkan potret diri kita.
Pokok boleh mati dan dibuang, manakala buku tidak akan mati, ia cuma tidak akan dibaca. Tidak pasti jika ada orang buang buku (sudah tentu ada), tetapi biasanya ia diberi atau dijual, kerana kita tahu ia masih boleh dibaca dan dinikmati oleh orang lain tidak kira berapa usia buku tersebut. Jika buku itu sudah berusia ratusan atau ribuan tahun, sudah tentu ia sudah jadi artifak sejarah dan fragile. Tapi jika ia masih dalam lingkungan puluhan tahun (dan dalam kondisi elok: dalam erti kata ia masih terjilid dan tidak terburai) buku sentiasa boleh dibaca. Jika bukan oleh generasi hari ini, tentu generasi masa depan.
Tidak semestinya juga koleksi buku kita sebesar pustaka. Kuantiti, meski beri impresi yang gah sekilas pandang, dan terutama di dalam foto, tetapi sama penting juga jenis dan kualiti buku-buku tersebut. Kualiti ini bukan dari segi nilai baik buruk satu-satu buku tersebut. Kualiti di sini dalam konteks variasi bahan bacaan yang kita ada—range apresiasi kita.
Ia bermula dengan bahasa. Kebiasaannya kita menyimpan lebih banyak buku-buku yang boleh kita baca. Buku-buku yang asing bagi kita, tak bermakna untuk kita selagi dalam hidup ini kita tak kuasai bahasa tersebut. Saya ada banyak buku foto Jepun. Ia bergambar jadi saya boleh nikmati visualnya, tetapi teks yang disertakan di luar penguasaan bahasa saya.
Buku juga ada banyak bentuk dan pengisian. Pelbagai genre novel, bentuk puisi, cabang ilmu, dan tak hanya ia saling berbeza, kadang-kala ia saling bertindan. Buku bantu diri, manual pengguna, foto-foto, ilustrasi, tentang masa lepas, tentang masa depan, sesuatu yang topikal, sesuatu yang ketinggalan, ramalan.
Adakah untuk baca cuma satu jenis buku membuatkan ia ibarat kita percaya kepada satu dogma dan ideologi? Kerana itu seorang pembaca kena terbuka. Apresiasinya terhadap kepelbagaian ini perlu dirai. Jika buku benar sebuah taman, maka pokok-pokok pilihannya perlu beraneka. Ada kaktus yang tajam, ada periuk kera yang karnivor, ada mawar yang harum, ada bunga kertas yang merebak, ada pokok cili yang pedas, ada split leaf philodendron yang hipster, ada bunga matahari yang memandang cahaya, ada buluh yang miang, ada lumut yang licin, ada lidah buaya yang elok untuk kulit, wajah dan rambut… dan seumpamanya.
Ridhwan Saidi