Khamis, Mac 01, 2018

Tiga Teater: At the Ark at Eight, Mambo Horse dan Alang Rentak Seribu

Sama ada produksi teater ini profesional atau amatur, dari kolektif hingga ke aktiviti kolej universiti, saya sentiasa rasa orang yang menggerakkan dan membuat teater ini sama comel. Untuk berkumpul dan buat sesuatu. Hasilnya boleh jadi hambar atau lucu atau pelik atau menarik. Semua ini saya terima dengan tangan terbuka selagi saya sudah ada di situ.

Apa yang ingin saya sentuh ialah teks/skrip. Saya fikir penting untuk selesaikan teks terlebih dahulu, sebelum ambil kisah dengan hal-hal lain seperti pengarahan dan lakonan. Kebanyakan waktu, teks/asas yang tidak kuat dipentaskan. Dalam kes ini, semua teks lokal berikut sudah teruji dan sudah banyak kali dipentaskan, masih, saya akan komen apa yang saya rasa.


1

AT THE ARK AT EIGHT oleh The St. Petersburg Masterskaya Theatre, adaptasi dari buku kanak-kanak Jerman berjudul Meet At The Ark At Eight oleh Ulrich Hub di Pentas 1, KLPAC. Saya suka play ini dalam erti kata ia boleh jadi lebih menarik dan dekat andai ada playwright lokal lakukan benda yang sama dan kaitkan dengan konteks budaya setempat.

Ia kisah tiga ekor penguin yang dapat dua tiket dari seekor burung merpati untuk naik bahtera Nuh kerana bah besar akan berlaku. Ia dituturkan dalam bahasa Rusia dan saya senang mendengar bunyiannya. Sari kata Inggeris ada dipaparkan. Ia play yang seronok. Cuma dari segi teks hujungnya tak kuat, dan dua adegan akhir berderai selepas kita sudah tahu apa yang merpati itu lupa nak buat.

Hujungnya lemah sebab seluruh teks ini bawa nuansa tak percaya tuhan dan sinikal terhadap dunia beragama, tapi ia dicakap begitu saja tanpa hubungan dengan apa yang telah terjadi sebelum itu. Ia tak profound atau berisi. Malah perasaan saya sewaktu menonton play ini, dekat dengan filem Hollywood lakonan Ben Stiller atau Steve Carrell atau sesuatu. Cerita ini berpotensi untuk jadi Life of Brian (1979), dengan pemahaman dan tulisan yang baik dan mendalam, sebaliknya ia memilih untuk berakhir sebagai sesuatu seperti Evan Almighty (2007). Dua filem ini saya pilih sebagai contoh, dan saya harap anda tau beza kedalaman jenaka.

Walau bagaimanapun, ia pementasan minimal yang memberi inspirasi. Kita rasa ruang di Pentas 1 itu penuh. Ia terisi dengan cerita. Saya tidak pasti jika ada produksi teater lokal yang pernah menggunakan Pentas 1 sebegitu rupa. Ia seakan perlukan keberanian sebab biasanya orang bila masuk pentas paling besar, nak tengok set.


2

MAMBO HORSE arahan Amirul Syakir dan Roshafiq Roslee dari teks Roslee Mansor bertempat di Studio TOP, Saujana Putra. Ia berkisar tentang Mona seorang pelacur di kelab malam bernama Mambo Horse yang menjadi satu-satunya latar dalam pementasan ini. Teks pementasan ini buat saya keliru. Ada beberapa hal luar duga yang membuatkan saya rasa ia berpotensi jadi komedi, tetapi dalam kes ini ia diaksikan secara serius, dan ia memang play yang serius.

Sebagai contoh, ada dua lelaki akan kerap ke Mambo Horse untuk bersama Mona, dan kedua-dua mereka mencintai dan ingin berkahwin dengan Mona. Untuk berkahwin dengan pelacur saya fikir satu benda pelik, dan tak dinyatakan apa niat kedua mereka ini. Yang ketara cuma rasa cinta. Dan sebab ini buat ia jadi semakin pelik. Ada dua orang lelaki mahu kahwini pelacur atas dasar cinta. 

Cinta ini tidak digambarkan, yang digambarkan cuma proposal ajak kahwin. Salah seorang lelaki malah memberikan cek bernilai RM30 ribu (lelaki ini ada beri nuansa ingin menjadi saviour, dalam menyelamatkan Mona dari kancah itu, satu lagi attitude pelik seorang lelaki). Mona walau bagaimanapun tidak berminat, dan jika perlu buat pilihan, dia akan memilih lelaki yang lagi satu, seraya mengoyakkan cek RM30 ribu itu. Hujahnya: kerana dia juga cintakan lelaki lagi satu itu.

Apa pun cinta ini, ia jelas bahawa Mona ini sayangkan dunia Mambo Horse, meski pernah dipukul kerana protes tidak mahu melayan pelanggan. Ia kemudian baru kita diberi back story bahawa Mona ini (spoiler) pernah dirogol bapanya. Malah bapanya menjadi lelaki ketiga dan terakhir yang singgah ke Mambo Horse ini untuk bawa Mona pulang, agar Mona insaf dan keluar dari dunia kotor bernama pelacuran itu. Alasannya tak silap saya, ibunya sedang sakit di rumah.

Mona berkeras mahu terus kekal di situ. Malah Mona terjerumus ke dalam dunia pelacuran setelah dihalau oleh bapanya sendiri, yang telah merogolnya sewaktu remaja hingga hamil (Mona dihalau selepas melahirkan anak, yang dibela oleh bapa dan ibunya). Kita boleh terima alasan Mona sebab memang bapanya punca segala masalah ini, tetapi kemudian bapanya mendedahkan satu rahsia besar, bahawa dia telah tersilap ikut ajaran sesat untuk cepat kaya, yang mana tugasan terakhirnya adalah untuk rogol anak sendiri. Entah mengapa, selepas pengakuan ini, Mona rebah ke kaki stool bar.

Saya tidak pasti apa yang sedang berlaku. Bapanya baru lepaskan dirinya dengan menyalahkan entiti lain (ajaran sesat). Mona ke bilik belakang, dan lelaki yang bukan beri cek RM30 ribu tadi kembali, dan dia terkejut melihat atuknya (bapanya) berada di Mambo Horse. Mona nampak situasi ini dan terkejut mendapati selama ini dia telah bercinta dan dilanggan anak lelakinya sendiri.

Nada tragedi Oedipus Rex jelas, cuma dalam konteks cerita ini, saya lihat ia membuka potensi komedi. Ia ada kejutan luar duga yang aneh. Saya terinspirasi dengan situasi-situasi ini, yang mana dalam tangan saya, akan dijadikan sebagai sesuatu yang lucu.


3

ALANG RENTAK SERIBU oleh Kolej 10 Universiti Malaya, teks oleh Syed Alwi sempena Karnival Teater UM, Panggung Eksperimen. Untuk teks ini, saya lebih berhati-hati dengan membaca kembali skripnya. Saya ada pendapat yang kurang enak mengenai play ini, dan saya perlu pastikan yang ia benar-benar ada dalam teks, dan bukan dari pengalaman pementasan sahaja.

Isu saya terutamanya dengan karakter Alang ini. Dan isu ini bukan sebab lakonan, tapi bagaimana karakter ini dibentuk atas kertas. Alang ini sentiasa hebat, bila berlawan menang, dan setiap percakapannya betul dan tidak pernah salah. Malah ada satu ketika, dialah hakim, dialah juri.

Karakter Alang ini wujud di dunia nyata, dan malah saya ada seorang kenalan yang persis Alang. Ia tukang kerah, ada baktinya, juga penuh helah, dan kadang-kala bingit. Seorang yang asal boleh, selagi kerja gerak. 

Saya boleh faham karakter ini, tetapi sebagai cerita ia tidak boleh kekal dari mula sampai habis. Sebab ia jelas mahu menggambarkan Alang ini sebagai hero kampung. Ia hero dan pemimpin yang tidak diuji. Setiap masalah, ada saja rentak dan helah abstrak yang menyelesaikan masalah itu. Ia tidak adil untuk audien, sebab kita akan tertanya apa kejadahnya seribu rentak alang ini?

Alang umpama regulator, yang memposisikan dirinya sendiri sebagai orang tengah antara pembikin filem dari bandar dengan orang-orang kampungnya. Alang ialah karakter yang mesti hidup dengan orang lain, jika ia berseorangan, ia akan sedar bahawa hidup ini sepi. Alang perlu sentiasa membuat bising, untuk mendedahkan kewujudan dirinya.

Dan setelah membaca teks penuh, saya dapati ada watak hilang dan satu adegan kecil yang tidak berlaku. Baju pelakon dari bandar yang basah itu rupanya diganti dengan baju seseorang yang sedang disidai di ampaian, yang diambil Alang. Dengan situasi ini, Alang sedikit buat salah, tapi ia ada saja cara untuk melepaskan dirinya.

Dari pementasan yang saya tonton, watak Alang sedikit menjengkelkan saya. Pada saya, karakter Alang ini perlu diuji dan perlu merasa kalah. Alang perlu melalui sesuatu hingga sesuatu berlaku kepada dirinya. Dalam konteks drama ini, Alang tetap sama dari monolog awal hingga ke monolog akhir. Ia karakter satu dimensi.

Satu dimensi ini bukan bermaksud Alang ini kayu atau kaku, Alang ini ada mainnya, ada seriusnya, ada serba-serbi benda yang berlawanan, dan emosinya adakala kompleks. Satu dimensi yang saya maksudkan di sini, lebih kepada bagaimana Alang hidup di dalam naratif Alang Rentak Seribu. Alang, dengan karakternya itu, hanya menjadi itu-itu.

Tak hanya itu, ada beberapa elemen lain juga yang membuatkan skrip Alang Rentak Seribu ini lemah. Kewujudan watak cikgu juga membimbangkan. Orang kampung dalam Alang Rentak Seribu ini digambarkan sebagai bodoh (seolah dengan sepenuh hati). Apabila watak cikgu itu muncul, pendapat orang kampung terus berubah. Watak cikgu itu cuma masuk sekali dan ia macam Alang, sentiasa betul dan menjadi voice of reason (yang tak menawarkan hujah atau dipersoalkan). Apabila watak cikgu ini bercakap, audien dan orang kampung perlu terima bulat-bulat.

Watak yang paling berubah dalam teks ini ialah watak pelakon hero dari bandar bernama Zulkifly Iskandar. Ketika Nordin (pengarah filem) bertengkar dan memprovokasi adat dan kepercayaan orang kampung, Zulkifly mempertahankan orang kampung dengan ingin menampar dan bergaduh dengan Nordin.

Situasi ini berlaku di hujung kisah. Dan ini yang buat saya resah. Zulkifly gunakan emosi untuk balas sikap Nordin yang kurang ajar. Zulkifly tidak beri sebab atau sekurang-kurangnya berdebat dulu, dengan provokasi Nordin. Ia menjadi emosional.

Tindak Zulkifly ini juga amat diragui, sebab dia jatuh cinta dengan Mazni (gadis kampung yang dipilih jadi pasangan pelakon). Kita ada orang yang sedang bercinta, dan terus menggunakan aksi fizikal untuk mempertahankan orang kampung. Dialog sebenar antara bandar dan kampung tak berlaku dalam skrip ini.

Ia selepas itu Mazni menangis, dan sedih kerana kedua-dua pihak bergaduh. Entah bagaimana, air mata Mazni mencairkan hati Nordin, dan lalu Nordin meminta maaf dan segalanya menjadi baik-baik. Malah mereka akan buat kenduri dan berkelah selepas semua itu.

Ini yang membuatkan Alang Rentak Seribu ini hambar. Untuk orang bandar seperti Nordin yang telah mengutuk bahawa ketayap dipijak tak apa, tapi orang jatuh dan sakit itu tak elok digelakkan, agak susah untuk percaya yang dia boleh cair (sejurus selepas itu) dengan air mata. Dan sekali lagi di pihak orang kampung, hujah balas dalam teks ini berupa amarah, serangan fizikal dan air mata. Walhal orang bandar, meski provokatif, masih boleh kita anggap rasional. Cuma kita boleh tak setuju dengan cara Nordin yang memprovokasi tiba-tiba sebegitu rupa. Adakah ia menyimpan dendam terhadap adat dan pemikiran kampung? Ia tak digambarkan dalam cerita.

Air mata dan keluhan Mazni menjadi bad taste, kerana ia jalan penyelesaian terakhir bagi teks ini. Air mata itu secara serius digunakan sebagai deus ex machina. Saya boleh terima kalau ia menjadi alat komedi, tapi dalam teks ini ia serius dengan situasi ini. Dan kerana itu energi komedinya tak boleh pergi jauh.

Jika ada satu hal yang saya gemar dengan teks ini: karakter Alang ini ialah orang yang gemar improvisasi. Nordin sebagai pengarah ada menyatakan kepada Zulkifly, untuk buat improvisasi kerana ia bentuk lakonan moden. Ini elemen yang paling metafiksyen tentang teks ini. Seribu rentak Alang itu ialah improvisasi.


Ridhwan Saidi