Ahad, Disember 31, 2017

Apa beza teater dengan performance art?

Teater ada displin lakon (Grotowski buang semua elemen lain teater dan yang tinggal cuma lakonan), tetapi dalam performance art kita tak pasti jika artis itu ada niat untuk berlakon. Setahu saya tidak (rujuk kenyataan Marina di bawah). Jadi kita boleh mula dari sini, walaupun boleh saja di masa depan (atau ia sudah berlaku?) teater tanpa niat lakonan dan performance art dengan niat lakon.

“To be a performance artist, you have to hate theatre. Theatre is fake: there is a black box, you pay for a ticket, and you sit in the dark and see somebody playing somebody else's life. The knife is not real, the blood is not real, and the emotions are not real. Performance is just the opposite: the knife is real, the blood is real, and the emotions are real.” – Marina Abramovich

Selain itu, biasanya teater normal untuk bertiket dan berbayar, bermakna audien datang dan bayar tiket itu bukan sesuatu yang janggal, tetapi untuk performance art, biasanya artis dikomisen oleh galeri atau badan seni untuk mengaksikan performance art tersebut. Jadi di sini hubungan antara mereka yang beraksi dan mereka yang menyaksi agak berbeza, sebab tertib dan cara tontonnya berbeza.

Performance art biasanya melanggar norma dan mahu mengganggu atau beri kesan drastik kepada audien, dan ini berkesan dengan sistem komisen tadi. Andai performance itu bertiket dan berbayar, apresiasi audien terhadap werk tersebut akan jadi berbeza, ia cenderung dibenci. Maka kerana itu teater perlu ada appeal atau permukaan yang menghargai bagi setiap tiket yang dibeli—ia secara tak langsung mendekati sistem komoditi.

Seni teater perlu muncul dalam perkiraan jual beli tiket ini. Psikologi audien apabila bertiket, akan menggugat—kenapa mereka tengok teater sedangkan tiket itu boleh bertukar dengan dua kotak rokok atau isi petrol kereta selama sehari, misalnya?

Sudah tentu ada juga teater yang dikomisen, lalu menjadi percuma, tetapi ada juga yang tetap kenakan tiket selepas dikomisen, boleh jadi sebab ia norma untuk masuk menonton teater dengan membayar sedikit tiket. Malah produksi student juga akan kenakan sedikit tiket untuk buat syarat. Saya suspek ini kerana rata-rata teater berlaku dalam ruang tertutup seperti black box etc. maka aliran keluar masuk manusia boleh dikawal, lantas, kita buat saja ia bertiket kerana sesungguhnya ia spesial untuk berada di dalam ruang tersebut.

Teater ada sejak zaman purba dan mempunyai esensi yang stabil iaitu displin lakon dan drama, tetapi performance art masih baru dan sifatnya meminjam dari aktiviti seharian mahu pun dari medium seni lain. Maka kita boleh kata performance art tiada elemen fundamental yang menjadi esensinya. Ia boleh jadi apa sahaja menurut artis tersebut, dan displin (jika ada) datang dari cabang-cabang ilmu dan seni berbeza. Dan oleh kerana ia tiada asas, maka istilah interdisciplinary atau multidisciplinary normal digunakan. Ia digunakan kerana ia medium yang tak berdisplin.

Sementara teater ada displin lakon. Dan lakonan ini mesti diulang? (dan kerana itu banyak show) manakala performance art biasanya berlaku cuma sekali. Displin lakon ini senang saya bayangkan ibarat martial arts. Ada kung fu, ada tae kwan do, ada silat, ada banyak bentuk, falsafah dan keindahan tersendiri dan ini belum lagi jika bentuk-bentuk itu berpecah kepada cabang-cabang yang lebih kecil. Rata-rata martial arts ini, oleh kerana ia satu displin, ia biasanya terkeluar ke dalam gaya hidup si pengamalnya. Ini sama dengan displin lakon, di mana ia akan sebati dengan kehidupan pengamalnya. Kita tak lagi nampak beza hidup dan lakon.


Ridhwan Saidi

Rabu, Disember 27, 2017

10 Teater Terbaik Kami Tonton 2017

Prakata
Dua teater yang berkongsi tempat 10 dan 8 bukan mahu menyimpulkan bahawa ia berkongsi tempat atau sama-sama baik, sebaliknya kedua-dua kombinasi teater tersebut perlu ditonton dan hanya apabila ini berlaku, ia menjadi lebih baik. Melalui dialog tersembunyi, kita dapat lihat bagaimana dua emosi berbeza terhubung. Dua kombinasi ini kebetulan di antara teater Inggeris dan teater Melayu (satu kerana merujuk teks sama dan satu lagi dalam konteks lokasi), tetapi ada sesuatu yang buat kedua teater ini seakan ingin bercakap di antara satu sama lain. Hanya dengan posisi Audien kita boleh dengar perbualan halus ini.

10. Swordfish + Concubine & Bangsawan Dendam Laksamana 
Dua teater dari teks Sejarah Melayu yang boleh kita ambil iktibar dari pelaksanaannya. Satu dalam bahasa Inggeris berfokus pada kisah Singapura dilanggar todak hingga Singapura diserang Majapahit manakala satu lagi dalam bahasa Melayu tentang pengakhiran susur galur raja-raja Melaka yang turun di Bukit Siguntang. Kedua-duanya tentang kejatuhan Kerajaan akibat tentangan ahli keluarga yang dihukum Sultan (atas skil retorik dan pujukan pembesar, untuk beri idea ia bukan idea asli Sultan?)—Sang Rajuna Tapa anak perempuannya disula di ruang awam dan Megat Sri Rama isterinya dibelah perutnya dan kelihatan bayi kelahirannya sedang makan buah nangka lalu turut dibunuh. Kedua-dua tentangan ini juga dibalas dengan sumpahan Sultan (dengan kuasa tuhan) di mana Sang Rajuna Tapa menjadi batu, manakala Megat Sri Rama dan keturunannya akan muntah darah jika menjejakkan kaki ke tanah Johor. Ironi apabila imej terkuat pementasan ini merupakan elemen berlawanan—dalam Swordfish + Concubine adegan syair (meski offbeat), manakala dalam Dendam Laksamana adegan beku persis lukisan ‘pop’ Renaissance ketika Megat Sri Rama menikam Sultan Mahmud—elemen Melayu dalam teater Inggeris dan elemen Inggeris dalam teater Melayu. 

8. Teater di Sawah Padi: Uda dan Dara & Duality, PAM
Satu teater beri kita bau padi, gerai burger dan deretan rumah kampung untuk mendekatkan kita dengan alam, manakala satu lagi beri kita nuansa posh, jamban canggih dan kemewahan senibina ofis di tengah kota. Satu teater beri kita erti tua, gila dan matang via Utih, manakala satu teater beri kita segerombolan anak muda yang emo, yang menari untuk ekspres diri. Ruang sebagai katalis cerita. Dalam Duality ruang terbaik ialah bilik persalinan mereka yang persis akuarium, manakala dalam Uda dan Dara, sawah padi dan patung orang-orang di belakang pentas yang diselimuti kegelapan misteri.

6. L5-7-44 
Teater site-specific dalam erti kata ia membawa tema kematian dengan nombor 44 ke dalam bangunan MCA yang mana in general, persatuan orang Cina lebih superstitious dan suka nombor 88—sebuah provokasi halus. Ia menawarkan atmosfera sci-fi—dingin dan kaku, tetapi masih ada unsur kelima seakan setan, berjalan dan menari. Ia persis melangkah masuk ke dalam kepala seseorang. Pengalamannya baik, tetapi dalam konteks cerita, ada sesuatu yang tidak masak dan habis.

5. The Pillowman
Teater dengan teks yang kuat akan membantu aktor menolak dirinya ke daerah-daerah yang lebih asing, dalam konteks cerita ini, ke daerah bedtime story dan folk horror yang gelap. Ia sebuah cerita yang meraikan cerita, dan koheren sebagai satu teks. Semoga banyak teks lokal yang menguasai medium cerita seperti ini, yang mana susur galurnya sudah pasti datang dari Shahrazad. Walaupun sebagai cerita ia koheren dan masak, tetapi dari segi pengalaman ada sesuatu yang tidak cukup. Kami suspek ia tidak begitu nyambung dengan konteks setempat. Ia sebuah aktiviti (berlakon dan berteater), tetapi kenapa? Ia tiba kepada kami bahawa, jika cerita sesebuah teater itu baik, ia masih bukan pengalaman teater yang baik. Ini kerana cerita yang baik juga secara mudah boleh ditemui di dalam buku dan filem. Sebaliknya apa yang teater boleh tawarkan di luar kerangka cerita dan penceritaan yang baik? Ruang-ruang di antara teks.

4. Pertemuan Penggiat Teater, JKKN
Sebuah pertemuan bagi membincangkan mengenai ‘mengindustrikan teater’ yang bertukar menjadi ‘teater’ apabila pengendali mikrofon di bahagian audien melakukan kudeta terhadap moderator, di mana moderator itu hanya buka dua soalan buat audien, tetapi pengendali mikrofon itu beri ruang kepada lebih kurang sepuluh orang. Di sini kita dapat saksikan mentaliti berpersatuan anti-persatuan, rintihan kekecewaan dan nostalgia, kebagusan diri vs penggiat muda yang lemah, bangsawan yang tidak ‘bangsa’wan, gerakan teater indie di luar vs mereka di dalam buih, sokongan, disokong, menyokong dan banyak lagi. Di atas pentas, moderator dan para panelis ada beri sedikit insight tentang ekonomi dan janaan industri seni di Lembah Klang, pensejarahan dan kisah peribadi sebagai anekdot. Perkataan otai dilempar dan meski majoriti yang bercakap orang tua, tiada yang lebih otai dari Rahman B. (ketika ini 86 tahun) yang menjadi audien terakhir bercakap. Keresahan Rahman B. melangkaui kegusaran diri dan ego, tetapi terhadap zuriat tradisi yang terputus. Untuk menyaksikan ini di depan mata, ia menggerakkan.

3. Engaging Theatre, BFM
Rancangan bual bicara 6 episod di radio yang membuka pintu bagi penggiat dan peminat teater dalam mendalami seni teater. Perkongsian pengetahuan dan kepekaan yang jelas dan padu, dari zaman Greek, ke era Elizabethan, ke Ibsen, ke Peter Brook, Grotowski, Robert Wilson, yang lokal, yang global, dan lain-lain serta ruang-ruang dicelahnya. Bahawa teater seperti cerita dan puisi, menggerakkan kita. Menurut Ridhwan Saidi, kewujudan siaran ini memberi inspirasi buat mereka yang baru terdedah dengan teater seperti dirinya—mereka yang mendengar.

2. Langkau
Teater dengan rasa sekarang dan semasa. Di mana gerakan tubuh dan cerita bergerak seiring. Kepekaan pascamodennya adakala mengaburi cerita dan keterbukaannya (appeal) terhadap audien, seperti judulnya yang tidak membuatkan orang berminat atau teruja untuk mengetahui lebih lanjut, apa yang ingin dilangkau. Kami tak tertarik untuk tonton pada awalnya hingga tiba saat-saat akhir. Ia ada sensibiliti yang nampak seperti tak terkawal, tetapi terkawal. Seperti bermain dan menari, ada sistem dan syarat yang mengongkong gerakan kita, tetapi di dalam sistem dan kongkongan itu, ia beri kita nikmat tertentu. Ia buat kita sedar teater itu fun dan playful.

1. Teater Modular 
Teater Modular mengubah cara teater Malaysia dibikin. Instead of teater dibikin per show, teater juga boleh diolah sebagai satu program dan preset. Teater Modular sebagai work-in-progress yang terdedah buat audien bertiket. Teater open-source yang mana gubahan bentuknya boleh berubah dari playlet ke full-length play. Teater yang mana untuk setiap restage adalah ibarat menekan butang refresh. Teater yang menawarkan skrip penuh via zine dengan sesi bual santai ibarat playlet kelima. Teater yang menawarkan harapan dan kekecewaan. Teater yang tidak takut. Teater yang meraikan amatur. Teater yang meraikan ruang. Teater yang meraikan audien. Teater yang meraikan cerita. Teater yang meraikan teater. Rata-rata elemen yang sudah disebutkan di atas seperti penggunaan lokasi, kepekaan ruang, penguasaan cerita dan kemesraan audien, bertemu di dalam teater ini dan kerana itu ia berada di nombor satu. 2017 ialah tahun kewujudan Teater Modular, dan ia belum pun berakhir.


Senarai pengarah/penggerak/moderator yang terlibat (menurut kronologi): Kee Thuan Chye, Pat Ibrahim, Dinsman, Vinna Law, Shane Capri, Christopher Ling, Anne James, Zakaria Ariffin, A. Wahab Hamzah, Izan Satrina, Sakrani Shamsuddin, Lim Soon Heng, Jo Kukathas, Zalfian Fuzi, Fasyali Fadzly, Fahmi Harun, Sak Don, Walid Ali, Qiu Qatina, Mia Sabrina Mahadir, Nana… 

Pascakata
Senarai ini bukan untuk dijadikan rujukan serius, sebab ada teater yang kami tak tengok, dan ada juga teater yang kami tengok tapi tak dimasukkan sebab kami kena buat pilihan. Apa pun poin senarai ini adalah supaya kami sendiri tak lupa apa yang berlaku di tahun 2017. Dan di sini kami juga menggesa mereka yang rajin tengok teater untuk buat senarai mereka, sebab rata-rata yang kami tengok majoritinya di Kuala Lumpur. Apa pula cerita di Pulau Pinang, atau Ipoh, atau Kuching atau di mana-mana tempat lain dalam Malaysia? Bagaimana dengan teater dalam bahasa Cina (Mandarin, Kantonis, Hakka, Hokkien…) dan India (Tamil, Hindi kalau ada)? Teater pekerja asing, perlukah pekerja asing berteater?

Walaupun kami sedar kepentingan untuk mempelbagaikan pilihan, tapi kami tak jadikan itu sebagai benda utama dalam pilihan kami, sebab ia bukan kesedaran utama kami bila nak buat senarai ni. Bila kami terpanggil untuk tengok teater, kami terpanggil barangkali sebab orang cakap best, sebab poster, sebab teaser trailer, sebab pelakon, sebab ruang, sebab pengarah, sebab cerita? Sebabnya boleh jadi macam-macam, dan kadang-kala kita tak rancang tapi takdir memberikan kita tiket complimentary atau dibelanja. Hal-hal sebegini yang buat kami terperangkap dalam teater bersama orang lain, lalu menjurus kepada senarai ini. Walau bagaimanapun kami terbuka dengan konsep teater itu sendiri, dan kerana itu Pertemuan Penggiat Teater di JKKN dan siaran radio Engaging Theatre kami pilih, sebab ia bagus, malah lebih bagus dari rata-rata persembahan/pementasan teater. ‘Teater’ kata kunci di sini. Di waktu ‘teatrikal’ dianggap fesyen lama, kami sentiasa meletakkan teater dulu, dan kata-kata sokongan lain seperti immersive, site-specific, devised, technical show, collaborative effort, post-dramatic… sebagai gimik promosi (memberi impresi bahawa mereka bukan sedang buat teater biasa-biasa, dan lebih kreatif dari sekadar tawarkan cerita). Kami tak pedulikan gimik, yang kami mahu cuma teater.

Dan melalui senarai ini, ia meletakkan si pemilih sebagai audien di posisi yang berkuasa. Kuasa ini sekuat kuasa seorang director. Senarai ini akan dedahkan diri penulis, dan menampakkan direction (tak sekadar memeta dan melakukan survey). Hanya di dalam posisi audien, kita boleh garap suatu naratif peribadi, dan bila naratif-naratif peribadi ini jadi banyak, ia akan membentuk suatu naratif besar yang kompleks dan meriah. Ia bukan soal satu pementasan teater kena masukkan semua benda untuk jadi inklusif, tetapi sebaliknya kita selaku audien yang saring dan pilih untuk tonton apa. Tak semua orang boleh jadi director, tetapi setiap orang boleh jadi audien—Audien sebagai kurator dalam skala kehidupan domestik seharian. 


Ilham Sani & Roy Osmera
Ilham Sani, lahir 1979, seorang pelukis abstrak kelahiran Pulau Pinang. Karyanya Depth of the Dark Red Sea telah dipamerkan di Young Malaysian Arts Award.  
Roy Osmera, lahir 1981, seorang pencinta seni dan penulis kasual yang sedang menyiapkan magnum opusnya Dewa Neon, sebuah novel setebal 1,234 muka surat. 
P/s: Artikel ini telah diterbitkan dengan kebenaran penulis asal. Klik link untuk ke artikel asal di instagram.