Ahad, Disember 31, 2017

Apa beza teater dengan performance art?

Teater ada displin lakon (Grotowski buang semua elemen lain teater dan yang tinggal cuma lakonan), tetapi dalam performance art kita tak pasti jika artis itu ada niat untuk berlakon. Setahu saya tidak (rujuk kenyataan Marina di bawah). Jadi kita boleh mula dari sini, walaupun boleh saja di masa depan (atau ia sudah berlaku?) teater tanpa niat lakonan dan performance art dengan niat lakon.

“To be a performance artist, you have to hate theatre. Theatre is fake: there is a black box, you pay for a ticket, and you sit in the dark and see somebody playing somebody else's life. The knife is not real, the blood is not real, and the emotions are not real. Performance is just the opposite: the knife is real, the blood is real, and the emotions are real.” – Marina Abramovich

Selain itu, biasanya teater normal untuk bertiket dan berbayar, bermakna audien datang dan bayar tiket itu bukan sesuatu yang janggal, tetapi untuk performance art, biasanya artis dikomisen oleh galeri atau badan seni untuk mengaksikan performance art tersebut. Jadi di sini hubungan antara mereka yang beraksi dan mereka yang menyaksi agak berbeza, sebab tertib dan cara tontonnya berbeza.

Performance art biasanya melanggar norma dan mahu mengganggu atau beri kesan drastik kepada audien, dan ini berkesan dengan sistem komisen tadi. Andai performance itu bertiket dan berbayar, apresiasi audien terhadap werk tersebut akan jadi berbeza, ia cenderung dibenci. Maka kerana itu teater perlu ada appeal atau permukaan yang menghargai bagi setiap tiket yang dibeli—ia secara tak langsung mendekati sistem komoditi.

Seni teater perlu muncul dalam perkiraan jual beli tiket ini. Psikologi audien apabila bertiket, akan menggugat—kenapa mereka tengok teater sedangkan tiket itu boleh bertukar dengan dua kotak rokok atau isi petrol kereta selama sehari, misalnya?

Sudah tentu ada juga teater yang dikomisen, lalu menjadi percuma, tetapi ada juga yang tetap kenakan tiket selepas dikomisen, boleh jadi sebab ia norma untuk masuk menonton teater dengan membayar sedikit tiket. Malah produksi student juga akan kenakan sedikit tiket untuk buat syarat. Saya suspek ini kerana rata-rata teater berlaku dalam ruang tertutup seperti black box etc. maka aliran keluar masuk manusia boleh dikawal, lantas, kita buat saja ia bertiket kerana sesungguhnya ia spesial untuk berada di dalam ruang tersebut.

Teater ada sejak zaman purba dan mempunyai esensi yang stabil iaitu displin lakon dan drama, tetapi performance art masih baru dan sifatnya meminjam dari aktiviti seharian mahu pun dari medium seni lain. Maka kita boleh kata performance art tiada elemen fundamental yang menjadi esensinya. Ia boleh jadi apa sahaja menurut artis tersebut, dan displin (jika ada) datang dari cabang-cabang ilmu dan seni berbeza. Dan oleh kerana ia tiada asas, maka istilah interdisciplinary atau multidisciplinary normal digunakan. Ia digunakan kerana ia medium yang tak berdisplin.

Sementara teater ada displin lakon. Dan lakonan ini mesti diulang? (dan kerana itu banyak show) manakala performance art biasanya berlaku cuma sekali. Displin lakon ini senang saya bayangkan ibarat martial arts. Ada kung fu, ada tae kwan do, ada silat, ada banyak bentuk, falsafah dan keindahan tersendiri dan ini belum lagi jika bentuk-bentuk itu berpecah kepada cabang-cabang yang lebih kecil. Rata-rata martial arts ini, oleh kerana ia satu displin, ia biasanya terkeluar ke dalam gaya hidup si pengamalnya. Ini sama dengan displin lakon, di mana ia akan sebati dengan kehidupan pengamalnya. Kita tak lagi nampak beza hidup dan lakon.


Ridhwan Saidi