Jumaat, November 24, 2017

Apa Buat 2017?

JANUARI 2017
  1. Latihan playlet Melihat Setan Bekerja di rumah, lakonan Irfan ‘Kecik’ Zakwan dan Fahmi Harun
  2. 8 track Malam Elektrik oleh Joni Atari di Soundcloud
  3. Meeting pertama TEATER MODULAR (set 1) di Rahmath, Alam Budiman
  4. 9 track Axis Gemala Naga oleh Joni Atari di Soundcloud (diikuti kompilasi muzik lain)
  5. Cerpen Protes Alam di Cukaria
  6. Buku PENGEMBARAAN SHELL-SEARCHING SEEKOR UMANG-UMANG ROCK N’ ROLL DAN LAIN-LAIN CERITA terbit
  7. Pementasan playlet Melihat Setan Bekerja di Markas, Kota Damansara
  8. Temasya Wayang Budiman: join diskusi meja bulat Matinya Kritikan Filem di Malaysia dan tayangan filpen ROTI TISU di PKAF, Alam Budiman
  9. Meeting Kota Peta di NU Sentral
  10. Sesi praktis Joni Atari pertama (diikuti sesi praktis lain)

FEBRUARI 2017
  1. Bikin zine UnRepresented KL untuk Kota Peta
  2. Pameran Kota Peta di Ruang, ThinkCity kelolaan LiteraCity
  3. Jadi panelis diskusi City As Character bersama Adriana Manan (UnRepresented KL) dan Doris dan Huei Miin (BOOKU)
  4. Makan nasi Vanggey, Kampung Attap atas rekomendasi Elkay
  5. Shoot filpen Bual Santai Sebelum Bola lakonan Hery Harith dan Hafiz Sahhudi
  6. Joni Atari live set di Lotus Club 7 di 2, Hang Kasturi
  7. Litzin Kerja Tangan #12 menampilkan Nadia J. Mahfix sebagai kaver
  8. Piknik di Lake Garden bersama para penulis (rata-rata)
  9. 3 track Voltan Menjerit oleh Joni Atari di Soundcloud

MAC 2017
  1. Tayangan filem Ma’ Rosa oleh Brillante Mendoza dengan kehadiran pengarah
  2. 1 track Invasi Berukera oleh Joni Atari di Soundcloud
  3. Slide presentation 10 Novel dan Filem Yang Mesti Anda Tonton Sebelum Invasi Berukera (DLL.) sempena Speculative Scenario: Sci-Fi Lo-KL di APW, Bangsar
  4. Bikin zine TEATER MODULAR (set 1)
  5. TEATER MODULAR (set 1) berlangsung di Revolution Stage dengan sesi bual santai, pengarah: Fahmi Harun, Sak Don, Walid Ali dan Qiu Qatina
  6. Tayangan filpen Retrospektif Binfilem di Pudgi, Sepang (dengan sesi praktis Joni Atari petangnya)
  7. Litzin Kerja Tangan #13 (terakhir) menampilkan Ezzmer Daruh sebagai kaver

APRIL 2017
  1. Joni Atari live set di Kota Kata, Maju Junction
  2. Joni Atari live set di If Walls Could Talk, Gaslight Cafe, Bukit Damansara
  3. Membaca buku The Empty Space oleh Peter Brook
  4. Tayangan filpen Retrospektif Binfilem di Pitching Centre, Platinum Sentral
  5. Makan mee kicap di Kafe Kapitol, Kuala Lumpur
  6. LiteraTur versi makanan (Sogo–Chow Kit–Kampung Attap) bersama student UM bawah kelolaan Show Ying Xin
  7. Dengar ceramah Christopher Doyle di Wisma MCA

MEI 2017
  1. Joni Atari X spoken word artist live set di Urbanscapes, Art For Grabs kelolaan Melizarani T. Selva
  2. Berangkat ke Makassar International Writers Festival
  3. Jadi panelis forum Giving Voices to the Voiceless bersama Xu Xi, Lawrence Ypil dan Devi Asmarani
  4. Mendengar dan melihat Sapardi Djoko Damono dan Afrizal Malna berpuisi dan berbicara
  5. Menonton filem Another Trip To The Moon dengan sesi bual santai bersama Ismail Basbeth dan Aan Mansyur
  6. Sembahyang Jumaat bersama Shaz Johar di Masjid Cheng Ho
  7. Beli gitar letrik dengan Lokman Hakim di kawasan terpencil
  8. Sewaktu di Makassar, pameran Ilham Contemporary Forum 2009-2017 dilancarkan
  9. Pertemuan Penggiat Teater Indie di Kakiseni, TTDI

JUN 2017
  1. CD Pusara Digital oleh Joni Atari terbit
  2. Buat makan-makan di rumah, Alam Budiman
  3. Menyertai kelas The New Play Project kelolaan KLPAC selama 6 bulan bagi skrip teater MAUTOPIA
  4. Meeting pertama TEATER MODULAR (set 2) di Ras Balouch

JULAI 2017
  1. TEATER MODULAR menerima geran INXO Arts Fund
  2. Makan nasi daun pisang & utappam dengan Émilia Giudicelli di Sri Paandi
  3. Shoot filpen EMPU lakonan Mia Sabrina dan Fara Kafli
  4. Sesi Meet The Curators bagi pameran Ilham Contemporary Forum 2009-2017 di bawah kelolaan Lee Weng Choy dan Rahel Joseph
  5. Joni Atari live set di Switch On, Johor Bahru kelolaan Goh Lee Kwang
  6. Bersama para pengarah TEATER MODULAR site visit Makespace, Kuala Lumpur

OGOS 2017
  1. Mononton LANGKAU di Pentas 2, KLPAC
  2. Menonton TEATER DI SAWAH PADI, MUZIKAL UDA DAN DARA oleh Dinsman di Sungai Besar
  3. Menonton siri tivi TWIN PEAKS musim satu
  4. Sesi masterclass The New Play Project bersama Haresh Sharma di KLPAC
  5. Sesi masterclass The New Play Project bersama Nam Ron di KLPAC
  6. Buku STEREOGRAF: 33 Esei terbit

SEPTEMBER 2017
  1. Tayangan filem Ridhwan Saidi’s Collected Shorts di Ilham Gallery, berserta sesi bual santai
  2. BENGKEL MODULAR bermula disertai Hannan, Fida dan Rashid di Quill City Mall
  3. Pementasan playlet Neraka Blackout hasil BENGKEL MODULAR selama dua hari
  4. Sesi reading showcase dan bengkel playwriting di Teater Ekamatra, Aliwal Arts Centre, Singapura atas jemputan Alfian Sa’at
  5. Menonton Duality di Bangunan PAM, Bangsar

OKTOBER 2017
  1. Bikin zine TEATER MODULAR (set 2)
  2. TEATER MODULAR berlangsung di Makespace, KL (dengan sari kata bahasa Inggeris oleh Alfian Sa’at) diikuti sesi bual santai, pengarah: Mia Sabrina, Qiu Qatina, Nana dan Walid Ali
  3. 4 track Memecut Ke Dalam Terowong oleh Joni Atari di Soundcloud
  4. Menjadi panel (tentang crowdfunding) rancangan tivi PM Live, secara langsung di Astro

NOVEMBER 2017
  1. Sesi bacaan skrip playlet TEATER MODULAR (set 3) oleh Amirul dan Adenna di rumah
  2. TEATER MODULAR menerima geran Krishen Jit ASTRO Fund
  3. Membaca Bunga di Atas Batu oleh Sitor Situmorang
  4. Menjadi juri Slamokrasi, pertandingan slam poetry
  5. Slide presentation TEATER MODULAR sempena Pecha Kucha di GDP, Bukit Damansara
  6. Sesi reading showcase MAUTOPIA rahsia di KLPAC, dengan sesi bual santai

DISEMBER 2017
  1. Akan datang!
  2. Slide presentation TEATER MODULAR di Universiti Malaya
  3. Sesi masterclass The New Play Project bersama Jo Kukathas di KLPAC
  4. Menonton ANGKAT di Auditorium Malay Heritage Centre, Singapura
  5. Meeting pertama TEATER MODULAR (set 3) di...

Ridhwan Saidi

Isnin, November 13, 2017

Set Rekaan Teater Yang Sustainable, Mengelak Pembaziran dan Sampah

Cara paling mudah untuk elak pembaziran dan penghasilan sampah dalam rekaan set teater adalah dengan menggunakan sampah itu sendiri. Sampah ini tak secara literal barang yang terbuang, tetapi boleh jadi barang yang kurang digunapakai, barang-barang yang terkunci di dalam stor.

Sewaktu pementasan Teater Modular bulan Mac lalu di Revolution Stage, kita rata-rata guna tiga kiub putih. Lucunya kita ada dua set kiub-kiub putih ini. Mulanya kita mahu pakai kiub yang dibawa dari rumah Sak Don, tapi kemudian mendapati di RS sendiri sudah ada kiub. Kami berkeputusan pilih kiub RS sebab permukaannya lebih kukuh untuk Amirul Syakir pijak dan lompat. Bagi pementasan Malam Pertama pula, meja dan cawan yang dimasukkan memang sudah ada di lokasi. Pokoknya dalam Teater Modular kita menggunakan apa yang sudah ada di lokasi, dan ini berulang sewaktu di Makespace.

Makespace lebih mengujakan sebab ia sudah ada ruang stor, jadi ada banyak barang yang boleh kita pilih dan pakai untuk buat set. Pendek kata set rekaan bagi Teater Modular tak pernah jadi isu untuk saya fikirkan sangat. Tapi oleh kerana pementasan ketiga nanti di black box, DPAC, ia buat saya kembali gusar. Saya perlu fikirkan bagaimana untuk gunakan ruang di dalam itu.

Mulanya saya cadang untuk jadikan struktur kerusi audien yang bertingkat itu sebagai set, lalu audien sebenarnya hanya berdiri atau duduk di tempat lain, tetapi ia tidak masuk dengan skrip yang telah saya tulis, dan kalau saya paksa idea ini ia akan jadi gimik semata. Maka dengan itu saya fikir, Teater Modular perlu kembali percaya kepada cerita, dan posisi audien di dalam keadaan yang paling konvensional. Untuk menyeimbangkan konvesi ini, apa yang boleh kita buat dengan hamparan lantai dan dinding black box ini nanti?

Tidak seperti Makespace dan RS yang sudah ada barang-barang di dalamnya untuk kita guna, dengan ruang DPAC yang lebih formal, kita kena masukkan barang-barang dari luar. Approach ini saya perlu berhati-hati, sebab potensi untuk hasilkan sampah pasca pementasan itu tinggi. Malah ketika di Makespace, saya ada beli karpet berwarna cokelat, dan karpet itu sekarang sedang terbentang di ruang tamu saya. Jika ia tidak dibentang, saya tidak tahu mahu bubuh karpet ini di mana. Ia sudah tentu ada elemen nostalgik sikit, sebab di atas karpet ini sudah ramai orang pijak dan duduk. Apabila melihat kucing-kucing peliharaan saya mencakar dan berguling di atas karpet cokelat ini, ia mengingatkan saya pada pementasan Teater Modular di Makespace.


Ridhwan Saidi

Menjadi Didaktik

Didaktik bawa konotasi tak baik, literal dan terlalu permukaan bagi kebanyakan penggiat seni Malaysia tapi bukan untuk saya. Saya juga pernah rasa untuk jadi didaktik itu tidak kool, tapi bila difikirkan, semasa berusia 20an sudah pasti kita semua tak mahu jadi didaktik sangat. 

Saya pertama kali menerima idea untuk menjadi didaktik ini ketika di awal 30an sewaktu bertemu dengan Mohsen Makhmalbaf di Singapura. Kami ditayangkan sebuah dokumentari mengenai bagaimana dia membangunkan sekolah filem bermula dengan keluarga, kawan-kawan dan para jirannya di rumah, diikuti sesi bual bicara.

Menjadi didaktik adalah dengan mengajar, dan pelajaran terbaik adalah dengan menjadi cikgu. Sebab bila kita nak mengajar kita kena tahu, dan sebenarnya kadang-kadang pengetahuan baru yang kita dapat, bila kita beritahu orang lain, bukan orang lain itu yang ingat atau belajar, tapi diri kita yang paling ingat dan belajar.

Mohsen Makhmalbaf seorang pembikin filem Iran. Sewaktu berusia 17 tahun dia tikam seorang anggota polis dan lalu dipenjarakan (untuk dihukum mati) hingga usianya 22 tahun. Dia dibebaskan sewaktu revolusi Iran. Selama ini dia buta huruf dan antara benda terawal dia lakukan selepas keluar penjara adalah menonton wayang gambar. Lepas itu dia buat keputusan untuk menjadi pembikin filem. Dia mula belajar membaca. 

Filem A Moment of Innocence (1996) merupakan lakonan semula babaknya ketika remaja sewaktu menikam anggota polis yang lalu menyebabkan dirinya terpenjara. Dalam hal ini, dia telah mendapatkan kembali anggota polis yang ditikamnya sebagai pelakon. Mereka berdua telah melakukan sesi casting bagi watak mereka sewaktu mereka muda. Ia berakhir dengan imej roti dan bunga.

Suatu hari anak perempuannya Samira Makhmalbaf tak mahu pergi sekolah dan ingin bikin filem seperti bapanya. Mohsen menyuruh Samira pergi sekolah, atau paling kurang habiskan sekolah dulu, dan sebaiknya mengelak dari jadi pembikin filem kerana hidupnya akan merana dengan menjadi pembikin filem, tetapi Samira berdegil. Samira suatu ketika ambil keputusan untuk bunuh diri, jika dia tidak dibenarkan untuk bikin filem. Di dalam situasi ini, Mohsen membenarkan Samira untuk bikin filem, tetapi perlu melalui siri pelajaran di rumahnya. Kerana bagi Mohsen, sentiasa berbaloi untuk hidup dan lakukan sesuatu seperti bikin filem, daripada membazirkan nyawa yang telah diberi. 

Samira waktu itu sekolah menengah ada adik perempuan bernama Hana Makhmalbaf (masih bersekolah rendah), yang juga kadang-kadang terlewat pergi sekolah sebab mengikuti kelas filem di rumah.

Kelas filem yang diajar Mohsen ini bukan pelajaran formal, jadi mereka belajar tentang seni, tentang lukisan, tentang puisi dan secara fizikal mereka berenang, kayuh basikal dan seumpamanya. Dalam sesi kayuh basikal ini, isteri Mohsen, Marzieh Meshkini yang turut mengikuti kelas ini, tak reti kayuh basikal. Pengalaman ini, untuk kayuh basikal sejauh beberapa kilometer, telah meninggalkan kesan buat dirinya, lalu terhasil filem The Day I Became a Woman (2000). 

Mohsen ada menyimpulkan bahawa karyanya ada tiga elemen iaitu poetic, didactic dan satu lagi saya kurang ingat. Mulanya saya terkejut kerana dia mahu karyanya didaktik, tetapi saya boleh faham sebab dia mahu ramai orang-orang yang buta huruf seperti dirinya dulu, boleh nikmati filem. Untuk menjadi didaktik adalah untuk merapatkan jurang antara karya/pengkarya dengan orang ramai. Walaupun kadar buta huruf di Malaysia rendah tapi itu tak bermakna dengan kebolehan untuk baca huruf, membolehkan seseorang itu boleh baca karya yang melibatkan pelbagai deria.

Kerana itu dengan Teater Modular saya jelas mahu ia didaktik, paling ketara dengan kewujudan Bengkel Modular (yang wujud secara impromptu setelah diberi ruang oleh Kakiseni) dan dalam siri pementasan sendiri, setiap kali habis, sesi bual santai ibarat playlet kelima di mana kegusaran atau salah faham sekurang-kurangnya boleh dilontarkan ke tengah. Saya tidak mahu ada audien yang pulang dalam keadaan sesat dan tidak faham. Dan kefahaman ini datang via empati, di mana audien dapat memahami apa niat dan proses di sebalik apa yang sudah dipentaskan. Pementasan itu sendiri boleh bercakap dengan sendiri, tetapi kadang-kala ada berlaku salah terjemahan, kerana teater melibatkan penulis, pengarah, pelakon, jadi tentu ada arah berbeza yang ditawarkan setiap orang yang terlibat.

Beberapa kali sewaktu sesi bual santai, ada audien yang mengatakan bahawa pada mulanya dia tidak faham dan sedikit lost, tetapi setelah mendengar perbualan dan keterangan, dia mula dapat sesuatu… dapat konteks, dapat perasaan, dapat rasionaliti di sebalik setiap perlaksanaan. Sudah tentu ini menggembirakan saya, dan poin kenapa sesi ini fundamental.

Ada yang merasakan sesi bual santai ini add on kepada pementasan, tetapi itu tanggapan yang salah. Telah banyak kali saya nyatakan bahawa sesi bual santai ini playlet kelima persembahan (dengan saya sebagai director.) Ideanya adalah bagaimana kita boleh improve silence dengan kata-kata. Kadang-kala kita cemarkan kekosongan dengan bunyi-bunyian, maka dalam sesi bual santai ini saya akan cuba regulate pertanyaan dan pandangan, agar ia bermanfaat bagi keseluruhan program Teater Modular.

Sewaktu pementasan Mac saya tak tahu apa-apa fasal teater, tetapi saya cepat belajar, dan kini meski sudah tahu serba sedikit, saya masih ada banyak benda untuk teroka. Hampir setahun (ya, ketika esei ini ditulis ia baru 8 bulan) bersama Teater Modular, ia semacam kelas-kilat-pantas mempelajari teater, dan saya rasa proses ini juga boleh dialami oleh orang ramai dengan semudah menjadi audien dan menyertai sesi bual santai.

Ada yang merasakan saya bertanggungjawab penuh terhadap pementasan Teater Modular, dan memang benar saya bertanggungjawab (selaku produser) terhadap keseluruhan kesan pementasan, tetapi dari segi teks, perlu kita ingat bahawa apabila melibatkan ciptaan teater, suara penulis, pengarah dan pelakon akan beramalgamasi. Jadi untuk kunci pendapat anda terhadap teks tulisan saya selepas menonton teater, bukan tindakan terbaik kerana ia bukan pengalaman penuh teks tersebut. Anda kena baca skrip yang sudah kami cetak dalam zine, ini langkah pertama dalam usaha untuk mengelakkan anda melakukan generalisasi yang terpesong.

Kedua, dalam teater, masih (dan sentiasa!) ada ruang bagi para pengarah dan pelakon subvert, enhance, revert dan macam-macam efek tindakan lain yang boleh diterap. Jadi anda perlu ada kefahaman proses ini. Ini persis apabila ada wartawan atau media menemubual anda, dan anda cakap sesuatu, tetapi apabila ia keluar ke media cetak, apa yang anda cakap tak begitu sama dengan apa yang tercetak. Ini semestinya tergantung kepada kepekaan dan kebijakan wartawan tersebut.

Ketiga, untuk kritikal terhadap tulisan saya dan diri saya secara menyeluruh, cara paling baik adalah dengan terus membaca novel-novel saya. Syukur saya juga seorang novelis, jadi saya sudah mendedahkan diri saya di kala saya belum mahu jadi didaktik dan di usia hujung 20an. Ia satu period dan barangkali di usia 30an ini saya cuma mahu bikin teater, dan siapa tahu di usia 40an nanti, saya cuba bikin filem pula, dan kemudian di usia 50an, saya akan kembali menulis dan sudah tentu, saya sebagai novelis di usia 20an tak akan sama dengan saya sebagai novelis di usia 50an. Ideanya adalah untuk mendapatkan kejernihan dan clarity kata-kata. Ia buat kita kembali kepada cahaya puisi. 


Ridhwan Saidi