Rabu, Jun 28, 2017

Audien Teater Yang Pasif

Apakah ada pesan yang ingin saudara sampaikan lewat majalah kami? Atau lain-lainnya barangkali.
Lebih dulu tanggalkan lambang partai saudara dan duduklah dengan baik dalam gedung teater? 
– Arifin C. Noer, Minggu Pagi (1966)

Duduklah dengan baik.

Sesetengah produksi teater gelisah apabila audien menjadi pasif, maka mereka menggunakan pendekatan yang memerlukan partisipasi audien. Paling asas di sini, audien perlu bergerak secara fizikal kerana secara visual dan literal pergerakan kelihatan berlaku. Lebih rinci, kadang-kala audien disuruh melakukan sesuatu agar tidak sekadar pergerakan fizikal, malah audien diberi tanggungjawab untuk berfikir. Ada masalah di sini jika ia tidak ditangani dengan betul.

Pertama sekali apabila pementasan itu gagal menawarkan sesuatu yang lebih mendalam, ia akan jadi gimik. Ini normal sepertimana banyak cerita gagal disampaikan dengan berkesan. Ada yang ceritanya bermasalah, dan ada juga cara ia diceritakan yang bermasalah. Ini walau bagaimana pun lebih melibatkan pementasan dengan asas cerita. Rata-rata pementasan yang berakhir dengan gimik pula menjadikan konsep dan idea sebagai asas.

Untuk menjadikan audien aktif juga biasanya meletakkan audien di dalam bahaya, dengan performer/pemain sebagai status quo. Ini amat digemari bagi mereka yang masih ditakuk experimental dan bermain di luar kerangka ruang teater—‘luar kerangka’ ini istilah yang mereka gemari. Terdapat garis halus di sini di mana ia menuju happening atau prank, di mana audien = mangsa. Oleh kerana tiada cerita ditawarkan, maka proses yang berlangsung itu akan jadi teks. Audien perlu sporting dan memaksa diri melakukan apa yang perlu dilakukan. Kadang-kala audien boleh tarik diri ke ruang pemerhati, hanya jika ruang ini disediakan.

Kita perlu kembali fahami apa yang dimaksudkan dengan audien yang pasif ini. Adakah dengan tidak menggerakkan tubuh, ia pasif secara menyeluruh? Sudah tentu tidak, dan konotasi pasif ini tidak penuh. Oleh kerana saya peminat wayang gambar, ia jelas kepada saya bahawa untuk duduk diam di dalam ruang gelap dengan satu sumber cahaya, mendekatkan saya dengan ruang solitud, dan di dalam solitud ini, sesuatu berlaku. Sesuatu yang sama kita dapati sewaktu membaca buku, atau berdoa. 

Tindak menonton wayang di dalam gelap, atau membaca buku, atau berdoa ini, semua bersifat kerohanian. Pergerakan berlaku di dalam dimensi minda. Kita mematikan atau menghentikan gerakan-gerakan atau fakulti-fakulti lain, dalam memberi tumpuan. Ia hal yang sama apabila kita menumpukan fokus terhadap gerakan tubuh, di mana pada satu tahap, minda kita ditutup dan gerakan itu bukan lagi di dalam kawalan. Ini biasa diaksikan oleh mereka yang menari dan memuja.

Selain itu, tubuh audien yang kaku akan fokus terhadap pementasan. Dan poin tindakbalas atau perhubungan yang dimahukan dalam audien yang aktif, sebenarnya juga boleh berlaku pada audien yang kita panggil pasif ini. Ini berlaku di Wayang Budiman dan Teater Modular di mana selepas tamat persembahan—‘persembahan’ bukan istilah yang mereka gemari—sesi bual santai berlangsung. Dan ini tidak terhad kepada perhubungan dua hala antara pembikin dengan audien atau audien dengan audien, tetapi ia boleh berterusan apabila audien itu bersendirian, di dalam solitud, memikirkan teater yang baru ditontonnya. Sebuah monolog dalaman.

Sekali lagi ‘monolog’ bukan istilah yang mereka gemari, mereka gemar ‘dialog’. Tetapi kita perlu sentiasa ingat bahawa dialog sebenar berlaku apabila dua monolog dalaman bertemu.

ridhwan saidi

Teater Sebagai Lanjutan Sastra

1
Sebagai novelis pendekatan saya terhadap teater merupakan sebuah lanjutan sastra. Meski ia fesyen lama, ia masih suatu kelebihan buat saya kerana ia melibatkan puisi dan cerita. Penting bagi seseorang terutama produser, pengarah, dramatis atau aktor, untuk sedar bagaimana cerita berkesan dan bagaimana puisi beri kesan. Kerana tanpa cerita dan puisi, biasanya kita akan lari kepada konsep dan idea.

Cara paling mudah dan konvensional untuk propel konsep dan idea ini ke depan adalah dengan cerita. Tanpa cerita, konsep dan idea itu perlu boleh berdiri sendiri. Jika tidak ia akan gagal teroxx. Konsep atau idea itu mesti cukup masak, sepertimana cerita, dan koheren, juga seperti cerita. Jika ia tidak masak dan koheren, ia akan longgar dan bersepah.

Di sini kata kuncinya kematangan. Jadi tidak kira sama ada konsep, idea atau cerita, ia mesti ditangani secara matang dalam menjadikan ia berkesan. Matang di sini bermakna anda sudah jelas apa yang tidak berkesan. Anda boleh duga apa yang berkesan, tetapi hasil dugaan itu berlaku selepas anda mengelak dan membuang segala hal-hal yang tidak berkesan. Rata-rata penciptaan karya berlaku sebegini, kecuali jika anda mendapat wahyu/intuisi/visi penuh.

2
Saya faham perasaan memutuskan teater dari sastra. Ia seperti cubaan memutuskan sinema dari sastra. Kita dapat montaj, suntingan dan pure cinema. Kita faham apa yang istimewanya sinema, tetapi itu tidak bermakna kita tidak gunakan elemen-elemen lain. Begitu juga pendekatan saya terhadap teater. Saya tidak berniat untuk menggunakan pure theatre sahaja, iaitu kewujudan aktor. Meski itu paksinya, tetapi ia tidak bermakna kita perlu menolak elemen-elemen lain, seperti muzik atau permainan cahaya misalnya.

3
Devised theatre merupakan salah satu strategi untuk membebaskan teater dari kerangka teks yang ditulis penulis. Ia satu usaha kolaborasi yang menjadikan aktor lebih aktif dengan terlibat sama dalam proses pembikinan. Kadang-kala perkataan aktor ditukar jadi performer kerana boleh jadi yang melakukannya bukan aktor pun (tidak melibatkan bakat dalam konteks konvensional).

Ia paling cocok bergerak via konsep atau idea yang saya sentuh di atas. Dan rata-rata performans ini menjentik akal, dalam erti kata ia lebih cenderung trigger intelek. Ia tidak bermain sangat dengan domain perasaan. Di mana dengan cerita ia mampu cover intelek dan perasaan. Perasaan ini penting kerana ia boleh digerakkan. Jentikan akal akan buat kita oh! sekejap, tetapi perasaan yang bergolak akan buat kita ingat. Ia persis saya baca buku non-fiction seperti esei mereka yang lebih bijak dari saya, di mana ia buat saya terasa bijak buat beberapa ketika. Tetapi dengan cerita yang moving, saya akan ingat tanpa sebab.

ridhwan saidi

Selasa, Jun 27, 2017

Antara Masjid dan Sinema

Saya mahu teater saya dialami dalam kondisi yang menggabungkan perasaan ketika di masjid dan sinema. Masjid dalam erti kata kita sebagai audien duduk di lantai dan sinema dalam erti kata ia di dalam gelap. Pencahayaannya boleh berubah dengan lampu naked dan sebagainya, dan beberapa kerusi juga boleh ada bagi mereka yang uzur, tetapi pokoknya ia bermula dengan sebuah ruang yang gelap dan majoriti audien duduk di lantai.

Buat masa sekarang saya masih belum ada ruang sendiri untuk menggarap teater sebegini, maka ruang-ruang yang ingin saya guna akan saya pastikan mengiyakan ciri-ciri ini: Ia mesti gelap tanpa bukaan cahaya dan ia mesti lapang dan bersih (audien perlu buka kasut) untuk duduk selesa di lantai.

Saya tak pernah terfikir yang teater ini sesuatu yang suci, tetapi ia ketara pada saya dengan masjid di mana kita sedang mengadap kiblat, ada mihrab dan kubah yang beri sense of geografi, manakala dengan sinema pula kita diberi petunjuk dengan cahaya di dalam gelap. Saya anggap teater sebagai waking dream atau dalam bahasa Melayu saya panggil pancaran angan (meski dream itu mimpi tapi saya guna angan sebab ia berima dengan pancaran). Menonton teater persis melihat mimpi dengan mata terbuka. Di mana kedua mata kita terbuka sekali dengan mata minda. Ia seakan ada beberapa realiti tertindih. Kita dapat rasa kedalaman perasaan.

ridhwan saidi

Jumaat, Jun 23, 2017

Bersila Dalam Teater

Perspektif mata kita apabila memandang ketika sedang duduk di atas kerusi dan ketika sedang bersila berbeza. Pemandangan dalam keadaan bersila ini persis syot tatami Yasujiro Ozu. Kita memerhati dan merenung. Aktor yang berdiri kelihatan lebih tinggi, jika dibanding sewaktu kita duduk di atas kerusi. Sudut dari kerusi lebih mendatar. Dari atas lantai sedikit mendongak.

Pengalaman bersila ini juga ada dua. Pertama ia organik di mana audien memilih sendiri untuk duduk di mana, manakala kedua audien disusun baris demi baris.

Pengalaman pertama ini saya alami sewaktu Teater Modular dan juga sewaktu latihan atau draf teater Mautopia di dalam studio. Malah ada seorang audien yang memasuki ruang Teater Modular yang gelap, terus duduk di hadapan pintu masuk, meski ruang di hadapan masih kosong. Hanya apabila ia menghalang laluan, kami tegur agar ke hadapan kerana masih ada banyak ruang. Di hadapan walau bagaimanapun audien itu masih memilih tempat duduknya sendiri. Ketika studio sempit itu sudah padat, dan masih ada ramai orang di luar, kami turut nyatakan agar audien beranjak sedikit ke hadapan dan merapatkan kedudukan (persis merapatkan saf sembahyang). Ini juga diaksikan audien mengikut kadar kerapatan dan keintiman sesama mereka.

Pengalaman kedua pula sewaktu menonton Gadis Jalan Burmah di mana audien disusun untuk duduk bersila baris demi baris. Sudah ada spot yang perlu diduduki persis sewaktu kita duduk di atas kerusi. 

Di sini, beza paling ketara antara kerusi dengan lantai adalah, kerusi itu sudah menyediakan di mana spot tepat yang boleh kita duduki. Sedangkan dengan lantai ia terbuka dan sentiasa berbeza. Sepanjang tujuh pementasan Teater Modular perletakan punggung audien saya pasti tidak akan sama sepenuhnya. Boleh jadi ada beberapa spot pilihan seperti di tepi dinding yang digemari agar audien boleh bersandar, tetapi masih ketepatannya tidak sama. Deret pertama audien Teater Modular juga lain kadarnya, ada malam-malam yang lebih mendekati ruang mainan aktor dan ada malam-malam di mana deretan lebih berjarak. Taburan data ini boleh kita kaji persis pergerakan pemain bola sepak liga perdana di tivi.

Ia tiba pada saya bahawa untuk audien memilih tempat bersila merupakan langkah pertama audien dalam mengalami teater—satu bentuk partisipasi. Kerana di mana audien itu duduk akan menentukan sejauh mana tatapan yang akan dialaminya. Memilih di hadapan, tengah, kiri, belakang, kanan, dan gabungan-gabungan ini. Malah tidak berupaya memilih kerana ruangan kian penuh, dan ditentukan oleh ruang kosong yang tidak diduduki audien lain, juga merupakan satu pilihan—pilihan takdir, atau nasib? Atau malah lebih baik, ruang kosong itu sebenarnya yang memilih anda.

Ridhwan Saidi