Apakah ada pesan yang ingin saudara sampaikan lewat majalah kami? Atau lain-lainnya barangkali.
Lebih dulu tanggalkan lambang partai saudara dan duduklah dengan baik dalam gedung teater?
– Arifin C. Noer, Minggu Pagi (1966)
Duduklah dengan baik.
Sesetengah produksi teater gelisah apabila audien menjadi pasif, maka mereka menggunakan pendekatan yang memerlukan partisipasi audien. Paling asas di sini, audien perlu bergerak secara fizikal kerana secara visual dan literal pergerakan kelihatan berlaku. Lebih rinci, kadang-kala audien disuruh melakukan sesuatu agar tidak sekadar pergerakan fizikal, malah audien diberi tanggungjawab untuk berfikir. Ada masalah di sini jika ia tidak ditangani dengan betul.
Pertama sekali apabila pementasan itu gagal menawarkan sesuatu yang lebih mendalam, ia akan jadi gimik. Ini normal sepertimana banyak cerita gagal disampaikan dengan berkesan. Ada yang ceritanya bermasalah, dan ada juga cara ia diceritakan yang bermasalah. Ini walau bagaimana pun lebih melibatkan pementasan dengan asas cerita. Rata-rata pementasan yang berakhir dengan gimik pula menjadikan konsep dan idea sebagai asas.
Untuk menjadikan audien aktif juga biasanya meletakkan audien di dalam bahaya, dengan performer/pemain sebagai status quo. Ini amat digemari bagi mereka yang masih ditakuk experimental dan bermain di luar kerangka ruang teater—‘luar kerangka’ ini istilah yang mereka gemari. Terdapat garis halus di sini di mana ia menuju happening atau prank, di mana audien = mangsa. Oleh kerana tiada cerita ditawarkan, maka proses yang berlangsung itu akan jadi teks. Audien perlu sporting dan memaksa diri melakukan apa yang perlu dilakukan. Kadang-kala audien boleh tarik diri ke ruang pemerhati, hanya jika ruang ini disediakan.
Kita perlu kembali fahami apa yang dimaksudkan dengan audien yang pasif ini. Adakah dengan tidak menggerakkan tubuh, ia pasif secara menyeluruh? Sudah tentu tidak, dan konotasi pasif ini tidak penuh. Oleh kerana saya peminat wayang gambar, ia jelas kepada saya bahawa untuk duduk diam di dalam ruang gelap dengan satu sumber cahaya, mendekatkan saya dengan ruang solitud, dan di dalam solitud ini, sesuatu berlaku. Sesuatu yang sama kita dapati sewaktu membaca buku, atau berdoa.
Tindak menonton wayang di dalam gelap, atau membaca buku, atau berdoa ini, semua bersifat kerohanian. Pergerakan berlaku di dalam dimensi minda. Kita mematikan atau menghentikan gerakan-gerakan atau fakulti-fakulti lain, dalam memberi tumpuan. Ia hal yang sama apabila kita menumpukan fokus terhadap gerakan tubuh, di mana pada satu tahap, minda kita ditutup dan gerakan itu bukan lagi di dalam kawalan. Ini biasa diaksikan oleh mereka yang menari dan memuja.
Selain itu, tubuh audien yang kaku akan fokus terhadap pementasan. Dan poin tindakbalas atau perhubungan yang dimahukan dalam audien yang aktif, sebenarnya juga boleh berlaku pada audien yang kita panggil pasif ini. Ini berlaku di Wayang Budiman dan Teater Modular di mana selepas tamat persembahan—‘persembahan’ bukan istilah yang mereka gemari—sesi bual santai berlangsung. Dan ini tidak terhad kepada perhubungan dua hala antara pembikin dengan audien atau audien dengan audien, tetapi ia boleh berterusan apabila audien itu bersendirian, di dalam solitud, memikirkan teater yang baru ditontonnya. Sebuah monolog dalaman.
Sekali lagi ‘monolog’ bukan istilah yang mereka gemari, mereka gemar ‘dialog’. Tetapi kita perlu sentiasa ingat bahawa dialog sebenar berlaku apabila dua monolog dalaman bertemu.
ridhwan saidi