Jumaat, April 14, 2017

Reviu Teater Gadis Jalan Burmah


Teater ini dipentaskan di Five Arts Centre, TTDI arahan Ashraf Zain, tulisan Redza Minhat. Ini merupakan kali ketiga teks ini dipentaskan dan kali ini terajunya Farah Rani sebagai Kartini Shuib berusia 42 tahun. Dari segi garapan ada beberapa hal yang mengusik saya, pertama sekali slanga Utara yang tak jadi dan ini perkara pertama yang saya kesan seawal karakter Kartini ini bersuara (saya tidak peka sangat dengan loghat dan slanga, tetapi bagi pementasan ini ia terlalu ketara) dan kedua, di awal kisah kita dipaparkan Kartini menanggalkan baju dalam dari dalam baju kelawarnya, tetapi kemudian kita sedari Kartini masih memakai baju dalam di dalam baju kelawarnya. Ia satu efek yang pelik dibuat di awal kisah, kerana ia mahu kita masuk dan percaya ke dalam cerita (yang bakal diriwayatkan Kartini) tetapi dalam masa sama kita rasa ia sedang dibuat-buat. Baju dalam dan loghat ini menjarakkan kita tetapi ia juga boleh disengajakan kerana lama-kelamaan kita tetap akan terserap masuk ke dalam monolog ini.

Menolak efek tadi, kita akan mengikuti Kartini buat kek harijadi yang ke 42-nya di dapur. Selain itu kita juga tahu ada karakter ibunya di rumah tersebut tetapi tidak pernah masuk ke dapur. Kartini ini akan menceritakan pengalaman hidupnya berhubungan dengan lelaki-lelaki kerana pada usianya itu, ibu dan sanak-saudaranya masih menekan dirinya untuk berkahwin. Monolog ini hampir mendekati bebelan tetapi ia bukan bebelan sebenar. Penceritaan Kartini ini masih ikut kronologi dan berstruktur manakala bebelan sebenar boleh kita alami dari contohnya novel Kepulangan oleh Fatimah Busu. Bebelan lebih organik dan bebas, dan boleh ke mana-mana tanpa menurut kronologi waktu. Menariknya di dalam Kepulangan kita ikuti bebelan ini dari perspektif seorang ibu yang mahu anak perempuan bongsunya berkahwin manakala di dalam Gadis Jalan Rumah, kita sedang dengar pengkisahan seorang anak perempuan yang tidak mahu berkahwin atas desakan ibunya.

Konflik Kartini ini dengan mereka yang berada di sekitarnya, terutama yang memaksanya untuk berkahwin. Dari kisahnya ini kita dapat kenal beberapa orang lelaki yang pernah menjadi kekasihnya. Tetapi satu hal yang saya perasan, watak lelaki mat salleh yang menjadi kekasih Kartini sewaktu di KL paling tiada masalah antara semua. Mat salleh ini digambarkan kuat menipu dengan kata-kata sebagai bisnes tetapi ia tidak pernah menjadi masalah bagi Kartini. Malah sebelum mat salleh ini mati di dalam kemalangan jalan raya (bersama Kartini yang terselamat), Kartini sedang dalam proses mencapai orgasma. Ia beri idea yang kehidupannya indah sebelum takdir ambil sesuatu dari dirinya. Buat seketika, antagonis bagi Kartini bukan saja masyarakat sekelilingnya tetapi juga takdir. 

Kartini akhirnya pulang ke Penang untuk tinggal bersama ibunya. Dia juga bertemu dengan kawan baiknya sewaktu sekolah, Lili(?) yang telah berkahwin dan tidak pernah tidur sebilik bersama suaminya(?). Saya kurang jelas apa berlaku di sini tetapi, sejurus selepas itu Kartini ambil keputusan untuk menghubungi kekasih lamanya waktu sekolah, Syed Sesuatu. Pada momen ini ada banyak benda tidak kena. Watak ibu tidak lagi bercakap dengan Kartini meninggalkan dirinya berseorangan di dapur. Syed Sesuatu itu rupanya suami orang yang membantutkan usaha Kartini untuk berkahwin. Dan usaha ini juga aneh, kerana di penghujung kisah ini, Kartini memilih untuk berkahwin meski tiada lagi tekanan-tekanan dari luar seperti ibu dan makciknya. Tekanan itu datang dari dalam diri Kartini sendiri, dan ada satu ketika saya merasakan yang watak Kartini ini gila, kerana percakapannya dengan audien yang memecahkan dinding keempat ini tidak waras jika Kartini itu benar-benar berada di dapur rumahnya, di Penang.

Selain itu, usahanya untuk pulang ke rumahnya di Penang ini, menemukan ia dengan kawan waktu sekolah, ditambah usaha mencari kembali cinta pertama waktu sekolah, ia seolah Kartini ingin menjadikan nostalgia sebagai penyelamat. Lagi pula di akhir kisah, tepung yang diadun Kartini untuk sambutan harijadinya tidak menjadi, dan Kartini menjerit memanggil ibunya persis anak kecil.

Pendek kata, naratif cerita ini bermula dengan kita digambarkan dengan satu watak wanita dewasa yang ingin membuktikan kematangan dan kebebasannya kepada kita (ia bermula dengan tarian dan nyanyian), tetapi lama-kelamaan di penghujungnya wanita itu berkubu dengan nostalgia dan kembali menjadi anak kecil yang bergantung kepada ibunya. Ia tragis dan sebuah teks yang sedih. Watak Kartini ini sebenarnya sedang diseksa (atau terseksa?). Bukan untuk menyamakan wanita dengan kek, tetapi proses pembuatan kek dan mengadun tepung ini secara analogi sama dengan perjalanan hidup Kartini di dalam pementasan ini. Ia tidak berakhir dengan kek yang biasa diasosiasi dengan kegembiraan seperti harijadi dan perkahwinan. Tepung yang tak siap diadun ini imej terakhir yang kita lihat di atas meja semasa Kartini keluar pentas. Tepung ini mahu jadi kek sepertimana Kartini mahu berkahwin.