Rabu, Ogos 07, 2013

Dwi: Borges X Carax


Dikemuka atau dirangsang oleh pantulan di dalam cermin-cermin dan di dalam air dan oleh kembar-kembar, idea Dwi menjadi kebiasaan di kebanyakan negara. Boleh dikatakan ayat-ayat seperti Seorang kawan adalah diri kita yang lagi satu oleh Pythagoras atau Kenalilah dirimu Platonik yang terinspirasi daripadanya. Di Jerman Dwi ini dipanggil Doppelganger, yang bermaksud ‘pejalan berganda’. Di Scotland terdapat seorang penjemput, yang datang untuk menjemput manusia untuk membawanya kepada kematian dirinya; terdapat juga perkataan Scot wraith bagi sebuah jelmaan yang akan dilihat oleh seorang manusia yang menyamai dirinya sebelum meninggal dunia. Untuk bertemu diri sendiri adalah, oleh itu, mengalamatkan kengerian. Sebuah balada tragis ‘Ticonderoga’ oleh Robert Louis Stevenson mengisahkan tentang lagenda berkenaan tema ini. Terdapat juga lukisan aneh oleh Rosseti (‘How They Met Themselves’) di mana sepasang kekasih bertemu dengan diri mereka di dalam kelam senja rimba. Kita juga boleh rujuk contoh-contoh dari Hawthorne (‘Howe's Masquerade’), Dostoyevsky, Alfred de Musset, James (‘The Jolly Corner’), Kleist, Chesterton (‘The Mirror of Madmen’), dan Hearn (Some Chinese Ghosts).

Masyarakat purba Egypt percaya bahawa Dwi ini, ka, adalah pasangan seiras, memiliki ciri jalan yang sama dan pakaian yang sama. Bukan hanya manusia, tetapi dewa-dewa dan binatang-binatang, batu-batu dan pohon-pohon, kerusi-kerusi dan pisau-pisau punya ka masing-masing, yang halimunan kecuali bagi pawang-pawang terpilih yang mampu melihat Dwi-Dwi tuhan-tuhan mereka dan telah dikurniakan kepada mereka ilmu dari masa lepas dan dari masa akan datang.

Bagi orang-orang Yahudi kewujudan Dwi seseorang bukan satu petanda tentang kematian yang berlaku. Sebaliknya, ia adalah bukti memiliki kuasa-kuasa meramal. Ini diterangkan oleh Gershom Scholem. Sebuah lagenda yang direkod di dalam Talmud mengisahkan tentang seorang lelaki yang, sedang mencari Tuhan, bertemu dengan dirinya.

Di dalam kisah ‘William Wilson’ oleh Poe, Dwi ini merupakan nurani watak utama. Dia bunuh ia lalu mati. Dengan cara yang serupa, Dorian Gray dalam novel Wilde menikam potretnya lalu bertemu dengan kematiannya. Di dalam puisi-puisi Yeats Dwi ini ialah sisi kita yang lagi satu, berlawanan kita, seseorang yang melengkapkan kita, seseorang yang kita tidak boleh dan tidak akan jadi.

Plutarch menulis bahawa orang-orang Yunani memberi diri sendiri nama lain kepada duta raja.


JL Borges (Dari Book of Imaginary Beings)

terjemahan Ridhwan