Khamis, Mac 28, 2013

Dahan Emas

Sedang temuduga berlangsung aku makin yakin yang aku tak akan dipilih untuk kerja ini. Dari pengalamanku keadaan ini telah membuat aku secara luar biasa sensitif terhadap kebenaran-kebenaran yang terselindung di sebalik keformalan mereka, seperti penembak curi di belakang medan perang. Pada mulanya, aku telah menyalahkan diri sendiri ke atas kegagalanku: aku tentu telah memakai jaket yang salah, terdapat kesan kotor pada tali leherku, aku telah memancung soalan sekali dua. Aku buat yang terbaik untuk memperbetulkan kesilapanku – berpakaian selekeh, terlalu bersemangat, sedikit rasa biadap kerana merasakan diri terlalu bagus untuk apa yang ditawarkan. Aku jadi kemas, sopan, rendah diri. Tetapi hasil temuduga tetap sama. Jadi aku buat keputusan untuk angkuh. Aku masuk ke dalam bilik temuduga dengan rambut yang dibiar serabai, tali kasutku tak diikat, zip seluarku tertutup separuh. Aku mencemuh mereka yang bersut dengan wajah kosong di hujung meja, dan beritahu dia apa yang tak kena dengan firmanya dan apa yang akan aku buat, jika diberi dua hari bersama beberapa orang pembantu. Kadang-kala aku petik jari di bawah hidungnya. Tuahku tetap tak berubah. Kemudian aku cuba berpura-pura. Aku fasih mewasiatkan penemuduga itu, naik saksi bahawa komitmen abadi akan diberi untuk kerja-kerja agung fotostat invois, membungkus makanan anjing berbentuk tulang, menjual alat ganti traktor, membotol jus oren sintetik yang, aku diberitahu, ‘hanya mengandungi jus oren segar.’ Mataku bercahaya dengan kejujuran, aku merayu agar diberi peluang untuk menunjukkan dedikasiku terhadap kerja-kerja tersebut. Ia tak pernah diberi kepada aku. Setelah sekian lama aku putus asa. Aku masih pergi temuduga, untuk membuktikan bahawa aku masih hidup, tetapi aku tak lagi berharap. Aku sedang merenung ke dalam wajah hambar si penemuduga – wajah yang sama telah aku lihat di sebalik ratusan meja dan lebih seratus kemeja putih – cukup yakin bahawa aku akan gagal lagi, semasa punca kepada segala masalah datang kepadaku. Ia cukup mudah hingga aku marahkan diri sendiri kerana tidak menyedarinya sebelum ini.

Wajah yang sama. Di setiap temuduga ada wajah hambar yang sama. Ini mustahil – tetapi ia benar. Aku pasti. Dan akhirnya, tak dapat menahan gembira, aku kata. ‘Ini kau, kan?’

‘Maafkan saya?’ Nadanya kaku.

Wajahnya berubah, kini memandang dengan penuh rasa benci. ‘Ya,’ dia mengaku, dengan muka tak malu. ‘Biasanya korang semua mana perasan.’

‘Tapi kenapa?’

Dia mengabaikan soalanku. ‘Saya akan beritahu ini,’ katanya spontan. ‘Awak telah membuatkan hidup saya sibuk. Sesetengah orang buatkan kerja saya jadi senang; saya suka cabaran. Lihat dari sudut pandang saya. Saya mesti tahu lebih awal ke mana kamu akan pergi seterusnya. Saya mesti selangkah di hadapan, mengurus dengan betul, supaya saya boleh berada di sini, di belakang meja ini, semasa kamu masuk. Malah ada malam-malam di mana saya tak dapat tidur. Oh, ya. Pujian harus diberi kepada yang patut.’

Aku ingin tanya bagaimana pengurusan yang betul dibuat, dan lagi beberapa hal, tetapi aku tak pasti jika dia akan jawab. Maka aku kata, ‘Sekarang aku dah buka topeng kau, aku rasa kau akan pergi dan...’

‘Jangan harap la der,’ dia potong. ‘Ia tak akan mengubah apa-apa.’

‘Kau dah gagal,’ aku cemuh. ‘Kau akan dibuang kerja, kau akan tanam anggur macam aku, malah diorang mungkin akan tugaskan seorang penemuduga untuk kau!’

‘Temuduga ini tamat,’ katanya, wajahnya licin dan tak bermakna. ‘Saya takut kamu tak akan bahagia di sini, En... En...’

‘Bye,’ ejek aku, yakin dengan kekalahannya, dipenuhi nikmat suka gila.


Pada sesi temuduga keesokan harinya, aku masih dalam keadaan girang. Aku berpakaian kemas (aku telah buat keputusan untuk kembali kepada strategi ini untuk sementara waktu), dan bersiul di dalam lif sementara ia bawa aku ke sebuah bilik di mana aku perlu beradu untuk mendapatkan kerja. Semasa aku dipanggil untuk masuk ke dalam bilik, ia terasa seperti aku telah ditumbuk pada batang hidung.

‘Seterusnya!’ Suara itu datang dari pintu bilik rapat separa, dan aku tahu aku telah tewas. Dia tidak senyum semasa aku masuk. Setiap inci profesional, dia mula komen resume aku. Aku rasa ketika itu aku mula sedar yang aku kena bunuh dirinya.


Aku merancang pembunuhan itu berminggu-minggu, minggu-minggu di mana aku menghadiri empat lagi sesi temuduga dengan antagonis zalim aku. Sekurang-kurangnya, aku cuba rancang; tetapi aku tak dapat fikir satu cara pun untuk melakukan perkara itu tanpa tertangkap. Terdapat diari meja, surat-surat, fail-fail. Semua orang pasti tahu dengan siapa dia berada di dalam bilik, jika aku berjaya bunuh dan lari tanpa ditangkap. Ada masanya aku terfikir untuk mengabaikan rancangan tersebut, tetapi masa berlalu, kerana aku tahu bahawa satu-satunya jalan alternatif kepada membunuh ialah bunuh diri, dan aku suka hidup.

Jadi satu hari aku fikir, ‘Pergi mampus,’ dan pergi ke sesi temubual dengan sebilah pisau roti di dalam poket. ‘Seterusnya,’ suara itu panggil, dan aku masuk ke dalam dan kelar lehernya. Darah memercik merata, dan seorang kerani, mendengar dengusan matinya, tiba dan berdiri di hadapan pintu, menghalang laluan aku. Aku cuba menentukan samada aku patut atau tidak bunuh dirinya, juga.

Sebuah pintu terbuka di sebalik meja penemuduga. Aku tak pernah perasan sebarang pintu di dalam mana-mana bilik sebelum ini. Sebuah pintu putih pada dinding putih. Tetapi mungkin ia telah lama berada di situ, kerana mana mungkin sesiapa boleh tahu aku akan pilih hari ini, bilik ini? Ya, masalahnya cuma aku yang tidak peka.

Penemubual itu terbaring berbusa, menggerenyet, dll, di atas lantai dengan pisau roti tersangkut pada kerongkongnya. Seorang lelaki melangkah boneka hampir mati itu lalu menghulurkan tangan kanannya. Aku capai, secara automatik. Aku diselubungi darah – bukan pemandangan cantik, ini aku jamin.

‘Kami sekarang di dalam satu situasi’ kata lelaki itu, ‘Saya gembira untuk mengumumkan, bahawa, jika awak berminat, untuk berkerja di sini.’

Misi-misi masuk membawa mayat keluar. Dua orang tukang cuci masuk lalu mula menyental dinding-dinding dan permaidani, yang, kemerahan, tidak lagi kotor. Teman baruku tarik laci dan ambil pakaian bersih lalu memberinya kepadaku.

‘Kerja apa?’ Akhirnya aku bertanya.

Lelaki baru itu berdiri di belakang kerusi penemubual.

‘Ada jawatan kosong,’ katanya, sedikit kesal tetapi masih dapat menerima hakikat. ‘Ia kerja dengan gaji lumayan.’

Aku duduk di atas kerusi dan membetulkan diri. Wajahku jadi hambar, licin, tidak berperasaan. Aku termenung membayangkan berapa lama akan diambil sebelum seseorang datang bertemuku dengan sebilah pisau roti di dalam poket.


Salman Rushdie
The Golden Bough
terjemahan Ridhwan Saidi