Khamis, Mac 28, 2013

Dahan Emas

Sedang temuduga berlangsung aku makin yakin yang aku tak akan dipilih untuk kerja ini. Dari pengalamanku keadaan ini telah membuat aku secara luar biasa sensitif terhadap kebenaran-kebenaran yang terselindung di sebalik keformalan mereka, seperti penembak curi di belakang medan perang. Pada mulanya, aku telah menyalahkan diri sendiri ke atas kegagalanku: aku tentu telah memakai jaket yang salah, terdapat kesan kotor pada tali leherku, aku telah memancung soalan sekali dua. Aku buat yang terbaik untuk memperbetulkan kesilapanku – berpakaian selekeh, terlalu bersemangat, sedikit rasa biadap kerana merasakan diri terlalu bagus untuk apa yang ditawarkan. Aku jadi kemas, sopan, rendah diri. Tetapi hasil temuduga tetap sama. Jadi aku buat keputusan untuk angkuh. Aku masuk ke dalam bilik temuduga dengan rambut yang dibiar serabai, tali kasutku tak diikat, zip seluarku tertutup separuh. Aku mencemuh mereka yang bersut dengan wajah kosong di hujung meja, dan beritahu dia apa yang tak kena dengan firmanya dan apa yang akan aku buat, jika diberi dua hari bersama beberapa orang pembantu. Kadang-kala aku petik jari di bawah hidungnya. Tuahku tetap tak berubah. Kemudian aku cuba berpura-pura. Aku fasih mewasiatkan penemuduga itu, naik saksi bahawa komitmen abadi akan diberi untuk kerja-kerja agung fotostat invois, membungkus makanan anjing berbentuk tulang, menjual alat ganti traktor, membotol jus oren sintetik yang, aku diberitahu, ‘hanya mengandungi jus oren segar.’ Mataku bercahaya dengan kejujuran, aku merayu agar diberi peluang untuk menunjukkan dedikasiku terhadap kerja-kerja tersebut. Ia tak pernah diberi kepada aku. Setelah sekian lama aku putus asa. Aku masih pergi temuduga, untuk membuktikan bahawa aku masih hidup, tetapi aku tak lagi berharap. Aku sedang merenung ke dalam wajah hambar si penemuduga – wajah yang sama telah aku lihat di sebalik ratusan meja dan lebih seratus kemeja putih – cukup yakin bahawa aku akan gagal lagi, semasa punca kepada segala masalah datang kepadaku. Ia cukup mudah hingga aku marahkan diri sendiri kerana tidak menyedarinya sebelum ini.

Wajah yang sama. Di setiap temuduga ada wajah hambar yang sama. Ini mustahil – tetapi ia benar. Aku pasti. Dan akhirnya, tak dapat menahan gembira, aku kata. ‘Ini kau, kan?’

‘Maafkan saya?’ Nadanya kaku.

Wajahnya berubah, kini memandang dengan penuh rasa benci. ‘Ya,’ dia mengaku, dengan muka tak malu. ‘Biasanya korang semua mana perasan.’

‘Tapi kenapa?’

Dia mengabaikan soalanku. ‘Saya akan beritahu ini,’ katanya spontan. ‘Awak telah membuatkan hidup saya sibuk. Sesetengah orang buatkan kerja saya jadi senang; saya suka cabaran. Lihat dari sudut pandang saya. Saya mesti tahu lebih awal ke mana kamu akan pergi seterusnya. Saya mesti selangkah di hadapan, mengurus dengan betul, supaya saya boleh berada di sini, di belakang meja ini, semasa kamu masuk. Malah ada malam-malam di mana saya tak dapat tidur. Oh, ya. Pujian harus diberi kepada yang patut.’

Aku ingin tanya bagaimana pengurusan yang betul dibuat, dan lagi beberapa hal, tetapi aku tak pasti jika dia akan jawab. Maka aku kata, ‘Sekarang aku dah buka topeng kau, aku rasa kau akan pergi dan...’

‘Jangan harap la der,’ dia potong. ‘Ia tak akan mengubah apa-apa.’

‘Kau dah gagal,’ aku cemuh. ‘Kau akan dibuang kerja, kau akan tanam anggur macam aku, malah diorang mungkin akan tugaskan seorang penemuduga untuk kau!’

‘Temuduga ini tamat,’ katanya, wajahnya licin dan tak bermakna. ‘Saya takut kamu tak akan bahagia di sini, En... En...’

‘Bye,’ ejek aku, yakin dengan kekalahannya, dipenuhi nikmat suka gila.


Pada sesi temuduga keesokan harinya, aku masih dalam keadaan girang. Aku berpakaian kemas (aku telah buat keputusan untuk kembali kepada strategi ini untuk sementara waktu), dan bersiul di dalam lif sementara ia bawa aku ke sebuah bilik di mana aku perlu beradu untuk mendapatkan kerja. Semasa aku dipanggil untuk masuk ke dalam bilik, ia terasa seperti aku telah ditumbuk pada batang hidung.

‘Seterusnya!’ Suara itu datang dari pintu bilik rapat separa, dan aku tahu aku telah tewas. Dia tidak senyum semasa aku masuk. Setiap inci profesional, dia mula komen resume aku. Aku rasa ketika itu aku mula sedar yang aku kena bunuh dirinya.


Aku merancang pembunuhan itu berminggu-minggu, minggu-minggu di mana aku menghadiri empat lagi sesi temuduga dengan antagonis zalim aku. Sekurang-kurangnya, aku cuba rancang; tetapi aku tak dapat fikir satu cara pun untuk melakukan perkara itu tanpa tertangkap. Terdapat diari meja, surat-surat, fail-fail. Semua orang pasti tahu dengan siapa dia berada di dalam bilik, jika aku berjaya bunuh dan lari tanpa ditangkap. Ada masanya aku terfikir untuk mengabaikan rancangan tersebut, tetapi masa berlalu, kerana aku tahu bahawa satu-satunya jalan alternatif kepada membunuh ialah bunuh diri, dan aku suka hidup.

Jadi satu hari aku fikir, ‘Pergi mampus,’ dan pergi ke sesi temubual dengan sebilah pisau roti di dalam poket. ‘Seterusnya,’ suara itu panggil, dan aku masuk ke dalam dan kelar lehernya. Darah memercik merata, dan seorang kerani, mendengar dengusan matinya, tiba dan berdiri di hadapan pintu, menghalang laluan aku. Aku cuba menentukan samada aku patut atau tidak bunuh dirinya, juga.

Sebuah pintu terbuka di sebalik meja penemuduga. Aku tak pernah perasan sebarang pintu di dalam mana-mana bilik sebelum ini. Sebuah pintu putih pada dinding putih. Tetapi mungkin ia telah lama berada di situ, kerana mana mungkin sesiapa boleh tahu aku akan pilih hari ini, bilik ini? Ya, masalahnya cuma aku yang tidak peka.

Penemubual itu terbaring berbusa, menggerenyet, dll, di atas lantai dengan pisau roti tersangkut pada kerongkongnya. Seorang lelaki melangkah boneka hampir mati itu lalu menghulurkan tangan kanannya. Aku capai, secara automatik. Aku diselubungi darah – bukan pemandangan cantik, ini aku jamin.

‘Kami sekarang di dalam satu situasi’ kata lelaki itu, ‘Saya gembira untuk mengumumkan, bahawa, jika awak berminat, untuk berkerja di sini.’

Misi-misi masuk membawa mayat keluar. Dua orang tukang cuci masuk lalu mula menyental dinding-dinding dan permaidani, yang, kemerahan, tidak lagi kotor. Teman baruku tarik laci dan ambil pakaian bersih lalu memberinya kepadaku.

‘Kerja apa?’ Akhirnya aku bertanya.

Lelaki baru itu berdiri di belakang kerusi penemubual.

‘Ada jawatan kosong,’ katanya, sedikit kesal tetapi masih dapat menerima hakikat. ‘Ia kerja dengan gaji lumayan.’

Aku duduk di atas kerusi dan membetulkan diri. Wajahku jadi hambar, licin, tidak berperasaan. Aku termenung membayangkan berapa lama akan diambil sebelum seseorang datang bertemuku dengan sebilah pisau roti di dalam poket.


Salman Rushdie
The Golden Bough
terjemahan Ridhwan Saidi

Rabu, Mac 27, 2013

Yudi Be Goode

http://jalantelawi.com/2012/01/lima-bintang-ridwan-saidi/

Semasa ulasan ini keluar 2 tahun lepas, saya berasa runsing campur marah. Marah ini marah tipikal bilamana ia kritikan bersifat peribadi (dan semua kritikan secara alami sifatnya sebegitu), jadi untuk berasa marah itu rasanya biasa meski saya sendiri tidak pasti terhadap apa, semacam ada suatu hawa kejahatan sedang menyelubung diri. Tapi betul ke saya marah? Saya pun dah lupa, tapi mari kita bayangkan saja saya marah selepas membaca ulasan tersebut. Baru drama spektra ye dok?

Tapi menariknya, unsur runsing yang datang sekali dengan marah itu—Runsing ni betul—Jujur saya tidak tangkap malah ingat apa yang cuba kritikan ini sampaikan. Apa yang saya dapat ketika itu hanya si penulis, iaini Wahyudi Yunos atau nama manjanya Yudi, ingin buktikan kepada saya bahawa ke-fanboy-an Salleh Ben Joned-nya jauh lebih tinggi martabatnya daripada saya. Sebuah kritikan patronizing tipikal.

Saya sedar jika saya balas dengan perasaan marah ia tak akan bawa saya ke mana-mana, jadi saya tunggu hingga suatu masa yang saya rasa cocok untuk beri surat balas, iaitu sekarang. Entah apa yang merasuk saya untuk tiba-tiba buat surat balas ini pun saya tak tahu. Barangkali saya secara tak sengaja bertemu dengan siri temubual Yudi di blog dan melihat gambarnya! Ini petikan temubual tersebut:

“Ianya lebih berbentuk beragam dan saya menyifatkan sastera dan seni itu sudah menjadi eskapisme kerana ketika tertekan membuat ‘programming’, saya berkarya.”
“Hasil karya sastera yang dicipta dengan tekanan jiwa pengarangnya sebenarnya memiliki nilai keindahan,” jelasnya yang mengikuti jurusan elektrik di sebuah universiti tempatan.”

Kata kunci ‘tekanan’ ini membuatkan saya tersenyum lebar. Entah mengapa 2 potong kenyataan ini membuatkan saya rasa, Ek eleh budak ni, berlagak je lebih rupanya masa reviu Amerika dulu, cis!

Semasa ulasan Amerika itu keluar, diselubung amarah (ya marah ni, marah!), saya cuba mencari teman untuk merungkai apa permasalahan mamat ni, saya cuba untuk memahami, (untuk masuk ke dalam kasutnya yang berakhir dengan Anak Argot, Stereo Genmai), tetapi berakhir dengan individu-individu yang menggeleng kepala.

“Sori aku tak baca, panjang sangat la.”

“Tulisan dia bosan seh, aku tak boleh baca.”

“Ulasan dia macam keling mabuk doh, tak faham aku.”

Semua petikan ni betul kecuali mungkin yang nombor tiga. Tetapi ideanya begitu, betapa tak best-nya reviu Yudi membuatkan teman-teman saya tak baca. Kita konon nak berkongsi amarah, tapi diorang tak baca pulak dah, potong stim betui!

Dan kerunsingan saya bertambah runsing. Separa migrain, saya telan aspirin. Kritikan itu takdelah panjang mana, tapi tak mampu dibaca teman-teman saya yang membaca Amerika. Kemarahan saya (jika betul ada) berakhir menjadi sesuatu yang tenang. Kita nak berkongsi amarah ni, berkomunikasi tetapi member malas baca pula ulasan tersebut. Atau benarkah ulasan itu benar-benar bosan? Ini mengingatkan saya kepada sebuah ulasan ringkas Hafiz Jelir kepada Wan Nor Azriq mengenai betapa terawang-awangnya esei Azriq di dalam Kata3 (Samada betul atau tidak itu lain cerita). Pokoknya perasaan yang sama membelenggu saya semasa berhadapan dengan reviu Yudi ini. Saya berkali-kali, seratus kali baca pun (kalau ambil literal tak tau la nak kata) sebenarnya tak ingat atau tangkap apa-apa. Bak kata pepatah, jiwa kacau. Apa kejadah mamat ni cuba sampaikan? Semacam amnesia, setiap kali baca saya semacam kali pertama membaca, Eh bila masa dia tulis ni, tadi takde? Pendek kata tak best dan takde poin atau prosa yang boleh kita genggam. Nak main emosi marah yang remeh dan mudah pun semacam kita marah dengan angin. Ia tak werk.

Malah selepas 2 tahun, saya baca kembali lagi dan lagi, saya masih tak dapat masuk apa yang ingin ia perkatakan, tiada imej atau gambaran atau idea atau emosi selain cuba membuktikan bahawa dirinya benar, dengan gaya tipikal mamat falsafah menulis, dan saya selaku subjeknya dihukum salah. Itu saja ke atau saya dan teman-teman saya ini pembaca yang lemah? Atau apakah kritikan ini apa yang Yudi tulis sebagai, sesuatu yang tak berbaloi langsung untuk disebutkan tentangnya?

Usah gundah, jangan risau Yudi. Saya sedang sebut dan hype kan balik perihal kritikan ini agar kita kembali ingat kepada... sesuatu yang ‘berbaloi’ dibaca: sebuah ulasan buku lima bintang... atau lebih afdal kita jujur dan bersetuju bahawa Lima Bintang Ridwan Saidi bukanlah sebuah ulasan buku yang berbaloi dibaca. Betul kan? Hilang gitu je. Tajuk pun sinikal yang entah apa-apa, kreatif sikit. Sinikal itu satu, salah faham itu pun satu. Saya ingat lagi lima bintang ini Yudi ambil dari sesuatu yang saya tulis berkenaan Amerika bahawa betapa saya bersyukur dapat menerima lima jenis bintang di Goodreads, dan bukannya bersyukur sebab dapat lima bintang. Saya rasa macam rendah betul mental budak Yudi ni kalau saya suka lima bintang semata. Tapi itulah, benda yang silap, dan dikokok pemalsafah bising akan dianggap benar kalau tak dibetulkan. Jadi ya, tolong ya Yudi, awak ni benda yang saya tulis literal pun salah faham apatah lagi yang berpintal.

2 tahun berlalu dan kritikan ini kalau tak silap saya sempat bernyawa selama beberapa malam. Dan betapa riak dan angkuhnya Yudi ini berlagak bahawa esei SBJ itu asalnya dalam bahasa Inggeris walhal ia dari bahasa Melayu. Fakta tak betul, pun masih ego menyalak ish ish ish.

Wahai awak ehem ehem bro Yudi, kita tahu awak akan baca entri ini secara pantas, dengan idea bahawa tulisan kita ni tak berbaloi dibaca. Atau barangkali awak dengar fasal entri ini dari bebudak cerdik warung Diskopi (tak kisahlah Diskopi mana), lantas tanpa baca, membuat kesimpulan sendiri persis ulasan buku awak yang kita (dalam erti sebenar) tidak tahu berdiri di atas apa. Ia tidak padu, tiada impak, malah tak lebih sekadar politiking awak semata dalam mewakili suara terpendam budak-budak cerdik warung Diskopi. Dan Diskopi ini pun bikin saya runsing, apakah Diskopi ini Diskopi yang sama dengan sebuah blog yang merayakan ideologi humanisme revolusioner itu? Nama sama la der, konfius dol!

Penggunaan udang di sebalik mee maggi itu pun, I faham you cuba bersinikal bahawa hidangan novel yang I sediakan melalui Amerika tak lebih sekadar udang halimunan yang tidak wujud, di sebalik hidangan murba lagi picis mee maggi (yang dieja maggie dengan E, yang I pasti mereka yang dibesarkan dengan maggi seperti I tahu mengejanya dengan betul, sedangkan you barangkali dibesarkan dengan makanan-makanan cukup zat dan penuh khasiat). I faham ni tetapi ia tak berkesan kepada I—I tak tahu nak bereaksi bagaimana—kerana dalam Cekik I dah meraikan kepicisan maggi. I gemar hal-hal B-grade, thrashy dan pulp. I tak pasti apakah you menyangka I seperti mereka yang bermentaliti skema yang I pasti, cukup sensitif jika karya mereka digelar sampah atau picisan. I tiada isu dengan hal ini malah, I gemar makan maggi—dengan udang/tanpa udang.

Hal penterjemahan esei SBJ itu juga suatu delusi yang dialami Yudi, yang merasakan dirinya adalah Penterjemah/Pengarang dengan capital P, meski ‘Pengarang sudah mati’ Barthes disalak sebagai solekan pop budak cerdik. Yudi benar-benar percaya bahawa penggunaan kata ganti diri berbeza itu datang dari terjemahan SBJ-nya (malah idea bahawa keseluruhan novel ini diilhami esei tersebut tidak betul), sedangkan ketika itu saya tahu Yudi ini si penterjemah kepada esei Naskah Percuma tersebut dan saya cuma bermain (secara tiba-tiba Yudi mesej di FB untuk tahu kenapa saya menukar-nukar kata ganti nama di dalam Amerika) dan main saya ini diambil serius lantas menjadikan saya semakin runsing. Tetapi semestinya main ini tak diterimapakai Yudi dan budak-budak cerdik warung Diskopi kerana mereka sudah bosan dengan permainan ini, katanya-lah.

Malah alasan skizo itu tidak waras bagi saya kerana kata ganti nama adalah kata ganti nama, dalam bahasa Inggeris ada I dan you, tetapi dalam bahasa Melayu ada pelbagai, tetapi masih dengan maksud yang sama bagi kata ganti diri pertama, kedua dan ketiga. Apakah pembaca akan prejudis dengan ejaan, atau terus genggam makna? Ini antara apa yang saya kupas semasa Bedah Buku Amerika di Balai Seni (selain bermain dengan word processing).

Yudi juga mengupas tentang Baik-Jahat di dalam Amerika dengan dakwahnya: “Tidakkah si penulis terfikir, sebagai seorang yang menggambarkan dirinya hendak melanggar disiplin penulisan, dia masih gagal melepasi disiplin pemikirannya?” yang pada saya hanya you seorang saja setakat ini yang nampak Baik-Jahat itu. You sebagai pengkritik menggunakan talam moraliti you untuk membentuk sesuatu yang you rasa Benar-Salah. Tidakkah ini menyempitkan displin pemikiran you?

Yudi, Yudi.

Dan sejak bila pula saya beriya hendak langgar displin penulisan? Saya tak ambil pot pun pasal scene penulisan tempatan mahu pun dunia. Rasanya awak yang beria nak langgar displin penulisan kerana awak rajin membeli buku dari Texteca, sedangkan saya lebih gemar membaca apa yang terhampar di depan mata.

Pengulangan kota kotor itu rasanya bukan suatu masalah. Saya faham Yudi ni minat puisi, emo, deep dan seni. Pengulangan kata menampakkan penulisnya tak kaya kosa kata; kepersisan kata-kata dalam menyampaikan sebuah rasa atau emosi atau makna atau bunyi atau dan dan dan dengan tepat dan jitu dan benar, ini semua domain sastra yang mungkin saya pernah secara tak sengaja terlangkah masuk, atau sekadar beri salam di luar. Saya tidak begitu beriya untuk masuk domain sastra ini pun, kerana saya lebih menyenangi sesuatu yang sampah dan picisan dan kodi dan cincai dan semestinya canggih.

Kritikan Yudi ini ditutup dengan petikan kata SBJ: “So, scribblers and bullshitters of Malaysia, unite! In one homogoneous voice, be canggih and cincai all the way to the year 2020. You have nothing to lose but your brains”.

Bila saya baca kembali, petikan ini semacam lemau. Serius, saya faham nada sinikal Salleh (sepertimana Yudi panggil SBJ Salleh, ya Salleh, macam kawan baik dan betapa rapatnya hubungan mentor-menti mereka), tetapi petikan ini seperti telah dimamah zaman, atau saya macam tak boleh relate dengan petikan tersebut. Apakah benar saya tergolong di dalam golongan tersebut? Saya suka puisi SBJ, tetapi petikannya, prosanya yang ini (mungkin tanpa konteks menyeluruh), maaf kata, tetapi seperti tidak bermaya untuk ditujukan kepada saya atau tidak betul, tidak tepat, tidak persis,  tidak jitu? Saya semacam mahu beralah dengan Yudi pun ada, takpelah, awak nak SBJ, ambil-lah, saya beralah. Betul ni awak, ikhlas.

Mengenangkan kembali ini, saya faham mengapa Yudi seperti anak kecil (dan sifat ini jelas pada budak budak emo tanpa sense of humor—yang saya tulis dalam Amerika), tak suka bila penulis kegemarannya diilhami (tak kisah betul atau tidak) oleh penulis lain, ditambah kebetulan Amerika ini mendapat tempat di hati kebanyakan insan (yang boleh dikira jari), maka Yudi semacam ada satu tanggungjawab sosial untuk menyedarkan masyarakat (atau budak-budak cerdik seangkatannya) yang mana permata, yang mana kaca (Amerika ini pada saya Swarovski je kot). Kritikan seni memang sebegitu pun, stail nak tentukan yang mana betul dan mana tidak, oleh seseorang (dalam kes ini Yudi) yang merasakan dirinya benar, dan apakah ia sekadar berakhir di situ saja? Ya kot, dan mungkin boleh saya tambah bahawa sesuatu karya seperti Amerika, yang semacam punya asas penerimaan yang kuat perlu diuji, atau dilambung keluar dari daerah stabil, kita faham lah benda ni. Cuma takkan itu saja? Apa pun akhir kata, dakwah saya kepada Yudi: Jangan cemburu ya Yudi, kita penulis ni sama-sama cari rezeki, tak perlu lah ada hasad dengki dan busuk hati, rilex-rilex sudah, banyakkan beristighfar, bila jiwa tak tenang atau punggung terasa panas ambil wuduk ya? Trimas.


Ridhwan
PS: Yang jenis tak suka orang lain tulis stail penulis kegemaran dia (contoh: Bukowski, Henry Miller, etc) pun ada jumpa seketul dua dekat Goodreads. Menda la, stail nak hakmilikkan pengarang, ingat penulisan ni macam jual beli tanah ke?
PPS: Saya percaya hubungan pembaca dengan karya persis hubungan suami/isteri dimana mas kahwinnya sebanyak RM25 untuk Amerika. Saya tiada urusan masuk campur ke dalam rumah tangga orang. Tetapi sebagai citizen, kezaliman yang berlaku di antara suami/isteri bukan sesuatu yang boleh dibiar. Sebagai contoh Salmah terlihat couple bergaduh dan bertumbuk di dalam kereta, dia minta tolong seorang pak cik dengan fizikal yang lebih sasa untuk meleraikan pasangan tersebut. Darah mengalir dari hidung, mata lebam, ini keganasan waktu siang di ruang terbuka. Tetapi apa pak cik sasa tu kata? “Ini hal rumah tangga orang dik, kita tak perlu masuk campur.” Salmah gusar dan memandangkan ulasan Yudi ini berbaur jahat terhadap sebuah karya yang innocent, maka wajar bagi saya menulis surat balas dan masuk campur ke dalam hubungan penuh rasa bencinya itu, yang berlaku di ruang awam terbuka.