Isnin, Jun 20, 2011

Broga Rendezvous Short Film

Poster Utama

Mini Poster Pelakon A

Script reading / Rehearsal

Projek sukaseronok ini telah digerakkan secara sedar kelmarin bagi hari pertama penggambaran di sempadan Selangor-Negeri Sembilan. Kru yang terdiri daripada lapan orang ini menariknya mempunyai dua orang jurukamera. Hal ini pernah diborakkan bersama Mislina tentang, 'apa yang akan terjadi sekiranya seorang pengarah dengan dua jurukamera berbeza menghasilkan filpen yang sama'. Kita ingin lihat berapa jauh kesan yang ditinggalkan oleh seseorang jurukamera itu di dalam penghasilan sebuah filpen. Walau bagaimanapun dalam projek BROGA RENDEZVOUS, keberadaan dua orang jurukamera ini merupakan satu kolaborasi semata-mata. Minggu pertama seorang di Thailand, minggu kedua pula seorang di Bali. Tetapi masih menarik bagi saya kerana kedua-duanya saya temui di sekolah yang berbeza, seorang sekolah senibina manakala seorang lagi sekolah seni persembahan.

Muzik yang akan terhasil daripada filpen muda ini juga menarik pada saya kerana di kalangan kru terdiri daripada seorang post-rocker, DJ dan pemain rebab. Entah apa yang akan berlaku mendebarkan.

Kamera 1: Muzammil

Kamera 2: Syamil

Krew

Dalam masa yang sama, saya terinspirasi dengan Nina Paley di mana dalam alam open-source yang serba luas dan pantas ini, orang ramai boleh turut serta terlibat atau membantu dengan menyalurkan dana. Jika dahulu seorang seniman dibantu oleh golongan hartawan, kini ia berubah kepada jemaah orang ramai (kerana hartawan hari ini lebih berminat untuk menjadi seniman).

Projek ini akan terus berjalan dengan lagi dua hujung minggu (kru ada yang bekerja siang) proses penggambaran di beberapa lokasi: bilik tidur, kelab malam, tepi jalan dan sekolah. (Babak kelab malam ini penting kerana saya ingin menebus dosa-dosa pembikin filem tempatan yang cenderung merosakkan akhlak kelab malam yang digarap secara hambar.) Dengan bantuan anda, ia akan disalurkan ke petrol dan makan minum. Buat masa sekarang, ia bergerak tanpa apa-apa bajet, malah saya sendiri pun sedikit struggle menunggu royalti pertama daripada Fixi ha ha. Jadi sebarang bantuan dalam bentuk kewangan dapat melancarkan pergerakan produksi BROGA RENDEZVOUS. Diharap dengan kredit di akhir filpen dan poster dapat membuatkan anda sukaseronok sekali.

RM 10 -- Kredit 'Thanks' di akhir filpen.
RM 50 -- Kredit 'Thanks' di akhir filpen berserta mini poster (saiz A3) pelakon A atau B.
RM 100 -- Kredit 'Special Thanks' di akhir filpen berserta poster (saiz A2) utama.
RM 500 -- Kredit 'Executive Producer' di akhir filpen berserta poster utama, mini poster pelakon A dan B.

Emel: binfilem at gmail dot com atau Facebook untuk keterangan lanjut serta sebarang kemusykilan.

Mini Poster Pelakon B

Ridhwan Saidi
P/s: Tarikh akhir menderma ialah 7hb Julai 2011 bersamaan tarikh akhir penyertaan Jogja-Netpac Asian Film Festival. Kami bercadang menghantar filpen ini ke situ. Lepas tu ada projek lain pula ;-)