Rabu, Mac 30, 2011

Jeruk Dalam Botol

"Cubalah start" – kata Normah Damanhuri sambil menyuruh Bidin/Ruby start motosikal.
Saya tidak pasti pada minit ke berapa dialog itu dilontarkan, tetapi lucunya pada ketika itulah saya 'start' masuk ke dalam filem ini. Semua babak-babak gelap sebelum itu bukan tidak penting, ianya penting, cuma saya tak kuasa nak layan depresi berlarutan yang tak berkesudahan. Tidak dinafikan ada beberapa bahagian yang saya sengaja toleh ke tempat lain tanpa segan silu. Kadang-kala entah mengapa saya jadi seronok bila warna-warna cerah mula menggantikan warna hitam yang memenuhi skrin. Alah, macam makan jeruk, jenuhlah kalau asyik layan rasa masam aja. Sebab tu ada jeruk yang datang with a dash of rasa manis. Pendek kata, filem ini kurang manis lah bang!

Tidak dinafikan barisan pelakon di dalam filem ini baik. Cuma saya perasan watak Ghous itu gaya percakapannya serupa macam Khir. Terus sangat seperti tiada intepretasi sendiri. Watak Dina juga kadang-kala menghamburkan gaya percakapan a la teater sang pengarah. Ini serius tak best. Mungkin di lain kali mereka patut ambil semangat Normah, Ogy ataupun Arja Lee yang mana lakonan mereka lebih bermutu.

Satu hal lagi, filem ini banyak rakam sudut dari belakang kepala yang entah mengapa mengingatkan saya kepada filem Enter the Void oleh Gaspar Noe. Tetapi bila difikirkan kembali, perulangan dari sudut belakang kepala ini telah mengiyakan gaya suntingan yang berfragmen. Kita faham bahawa apa yang sedang kita lihat ini adalah suatu koleksi memori yang tersimpan pada pemilik bahu tersebut iaitu Bidin/Ruby (tambahan pula ianya berlandaskan kisah benar – dan kisah benar ini selalunya panjang ceritanya). Jadi ya, filem ini berkesan dari segi itu. Ia berjaya membuatkan kita berempati dengan susuk bernama Bidin/Ruby ini menempuhi segala perit jerih yang dirasakan dialaminya.

Selain itu, melalui garapan Khir Rahman ini, segala persoalan-persoalan yang berlegar-legar di dalam kepala otak kita dijawab pada masa yang tepat. Cuma dengan beberapa baris dialog, dunia filem yang dicipta Khir ini tidak menerajang kita keluar terduduk di atas kerusi panggung. Lubang-lubang plot tertampal rapi (ini suatu keistimewaan bagi filem tempatan, hey filem berbajet 8 juta pun plot berlubang-lubang!)

Malah ruang yang dirakam juga jelas sifatnya. Kita kenal rumah Bidin/Ruby, kita kenal rumah kampung keluarga Bidin/Ruby dan kita kenal rumah mewah Dina. Ianya dilaksanakan secara kecil tetapi terbukti berkesan. Ogy yang tak menang tangan menyambut tetamu waktu kenduri kahwin juga sangat benar semangatnya. Semua ini serius patut dijadikan kayu ukur buat pembikin filem 8 juta.

Cuma tragedi yang digerakkan Khir ini tidak pergi pada takah yang menakjubkan. Ianya tidak ditolak dan dimurnikan. Begini, sebelum menonton filem ini kebetulan saya baru lepas menghadam antara filem tragedi terbaik dunia dari Filipina, iaitu Maynila in the Claws of Neon oleh Lino Brocka. Ada dua bentuk yang ketara di sini dan saya perlu menggunakan muzik sebagai analogi atau metafora atau apa kejadah yang kamu nak panggil.

Jika kamu biasa dengar muzik klasik Barat, ianya dramatik dipenuhi naik turun berskala sana-sini. Ini berbeza dengan musik tradisional Nusantara dimana ia cenderung monotonous—mengkhayalkan dan memabukkan. Inilah perbezaan ketara di antara dua filem ini. Di dalam Maynila, watak protagonis itu dileburkan sedikit demi sedikit dengan berumpankan harapan-harapan kecil (manisan). Berharap sikit–kena tibai, berharap sikit–kena tibai, dan ini diulang sehingga satu tahap ia mencapai klimaks. Seperti melancap, kamu berikan satu usapan nikmat kemudian lepaskan, kemudian kamu ulang lagi. Ianya berlarutan sehingga kamu datang.

Bagi filem Jeruk... eh Anu Dalam Botol ini pula, ianya ibarat satu usapan yang perlahan dari pangkal sampai hujung. Secara sinematiknya kita tak capai. Kita dapat mengenali dan mendekatkan diri dengan karakter-karakter yang ada di dalam filem ini, tetapi itu sajalah... 

Di dalam filem ini juga jika kamu perasan, perempuan-perempuan di sekeliling Bidin/Ruby telah dibelasah dengan teruknya. Ibunya yang punya harapan—hancur. Dina yang punya harapan—hancur. (Bakal) mak mertuanya yang punya harapan—hancur. Dihancurkan oleh seorang transeksual yang sakit, melalui garapan seorang pengarah lelaki, hah!

Watak protagonis atau Bidin/Rudy ini kita dekat tetapi tak faham – setiap tindak-tanduknya saya rasakan 'sakit'. Tiada motivasi mahupun harapan. Dia nak bayar hutang ya, tapi itu hal kecil dan dapat diselesaikan. Malah saya merasakan Bidin/Rudy ini koya depresi, terlebih emo, sehingga satu tahap secara bawah sedar telah berlaku kejam terhadap mereka yang berada disekelilingnya. Dan serius, statement 'maaf' di penghujung filem ini adalah antara pengalaman yang paling evil pernah saya lalui.

Okeylah kalau nak markah, saya bagi 60/100 markah sama macam entah apa tajuk filem tu saya dah lupa.


Ridhwan Saidi
P/s: Evil yang dimaksudkan setaraf dengan pengalaman menonton filem Henry: A Potrait of a Serial Killer. Kepada yang keliru, ini adalah satu pujian.
P/s/s: Ada satu lubang plot yang pada mulanya saya sedikit keliru. Sewaktu babak Bidin/Ruby mandi bogel, saya ada perhatikan payudaranya (walaupun dalam gelap) tetapi ajaib ianya berubah. Filem ini tidak menerangkan ke manakah hilangnya payudaranya itu? Adakah itu payudara hasil pembedahan atau makan jamu atau apa? Kalau melalui pembedahan macam 'jeruk'nya, bagaimana ia boleh ghaib? 10 markah di'potong' untuk ketidaksinambungan ini.