Ahad, Februari 20, 2011

Hikayat Melayu Minimalas

Lebih kurang seratus tahun dahulu, berlaku revolusi citarasa estetika bani Melayu Melaysia daripada ukiran kerawang kepada rekaan minimal IKEA, daripada basikal tua dengan loceng tangan kepada basikal bergear-tetap tanpa brek, daripada berbulu pubik kepada tidak berbulu pubik. Fundamental tauhid estetika ini berubah kerana HIASAN yang berserabut itu tidak lagi dianggap indah sebaliknya ditukarganti dengan FUNGSI yang lebih rasional—pada takah radikal, hiasan dianggap jenayah!

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Adapun mereka yang menggelarkan diri mereka Minimalis ini telah melakukan pemberontakan tanggal 13 Mei 2020 untuk menjatuhkan puak Hiasanis. Ia tidak ambil masa yang lama untuk menjatuhkan Melayu Hiasanis yang pada ketika itu malas membaca buku. Mereka telah dilenyapkan secara perlahan-lahan menggunakan teknologi kuno Internet oleh golongan Melayu Minimalis yang rajin membaca blog. Ini boleh dikesan 150 tahun dahulu apabila lukisan-lukisan abstrak yang dibawa oleh pelukis-pelukis yang berpendidikan dari Barat telah dikeji oleh para pelukis vernakular alam natural. Mereka yang meraikan alam kesemulajadian ini adalah puak Hiasanis. Ukiran kerawang dan corak batik mereka berilhamkan alam persekitaran. Mereka yang memuja pohon-pohon, kucing-kucing, sungai-sungai, bukit-bukit, tanah-tanah ini di dalam karya mereka ternyata sesat!

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Tidak! Menteri Perdana dan kuncu-kuncu korupnya tidak terusik. Ini bukan peralihan tampuk kuasa seperti di Tunisia, Mesir, Itali dan Albania sebaliknya sekadar peralihan citarasa estetika. Malah melalui Menteri Perdana dan sekutu-sekutu media yang turut sama melanggan mazhab Minimalis, ini telah menjadikan mereka yang masih bertaqwa pada mazhab Hiasanis itu terpinggir dan terdedah kepada bahaya. Majoriti rakyat menerima pembaharuan yang direstui pemimpin kesayangan mereka itu. Setiap malam Jumaat juga Menteri Perdana akan mengayuh basikal bergear-tetapnya bersama rakyat yang baru melanggan mazhab Minimalis di sekitar Petrajaya. Ia satu kemenangan revolusi citarasa yang indah. Lebih sejuta pelanggan baru mazhab Minimalis berkumpul di Petrajaya bersama basikal bergear-tetap mereka yang tidak berbrek, bebas wayar, bebas hiasan.

Ini berbeza pula bagi mereka yang masih berpegang kepada mazhab nenek moyang Hiasanis yang masih mengekalkan tradisi. Nyawa mereka terancam acap kali pemeriksaan mengejut dilakukan pada Hari Raya Aidil Fitri pertama. Langsir-langsir yang bercorak melangkaui skala Mn, melebihi satu warna akan dikenakan tindakan undang-undang malah jatuh sesat. Corak flora atau fauna diharamkan sama sekali, yang dimakruhkan hanyalah corak segiempat sama, segitiga sama, bulat atau garisan lurus bersudut 90 darjah. Malah kain batik pelangi yang digunakan sebagai panji oleh puak Hiasanis ketika pemberontakan mereka dahulu telah pun pupus pada ketika ini.

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan gerakan reformasi yang telah menuntut pembaharuan di dalam mazhab Minimalis. Ini ternyata satu bentuk penghidupan semula semangat sesat puak Hiasanis. Mereka yang menggelarkan diri mereka Melayu Minimalas ini telah berkata menggunakan intuisi mereka yang tidak tetap itu, bahawa mazhab Minimalis yang kita langgani ini atas sebab kemalasan umat Melayu itu sendiri. Kata mereka, kita yang meraikan semangat kesederhanaan minimalisme ini sebenarnya pemalas! Menyamakan kita dengan puak Hiasanis yang telah kita tewaskan seratus tahun dahulu. Ini sudah tentu ajaran sesat yang cuba dilakukan untuk memesongkan tauhid pelanggan-pelanggan mazhab Minimalis kita. Jika benar dakwaan mereka itu, mengapa saudara dan saudari berhimpun di pagi Sabtu ini di pusat membeli belah terbesar di Asia? Jika tidak kerana kerajinan? Maka dengan itu wajarlah saudara dan saudari Minimalis sekalian memerhatikan tindak-tanduk kawan-kawan dan ahli keluarga jika mendapati sesuatu yang di luar tabii berlaku. Maka laporkanlah ia ke pihak-pihak berwajib bagi membendung gejala tidak sihat ini.

Mereka Melayu Minimalas ini dengan lantangnya mengkritik bahawa iPhone 8 dengan rekaan minimal yang kita wajib ada ini sebagai jerat kontrak kepada agama Kapitalisme. Ini bagaimanapun berlandaskan emosi mereka yang bersentimentalkan agama Sosialisme semata-mata. Jadi janganlah kita mudah termakan hasutan mereka yang bercitarasa rendah itu. Lebih teruk, mereka juga telah mengatakan bahawa mazhab Minimalis yang kita langgan ini bersifat anti-manusia. Berani sungguh mereka menuduh semangat minimalisme itu mematikan semangat kemanusiaan. Tuduh mereka rekaan yang minimal ini tidak ergonomik. Tuduh mereka rekaan kita yang sempurna bulat atau berbucu menghina kesemulajadian alam ciptaan Tuhan. Malah mereka menafikan nabi Brockmann junjungan kita dengan mengangkat Gaudi sebagai nabi mereka. Lebih gasar, mereka membiarkan bulu pubik mereka tumbuh meliar seperti alam semulajadi yang kian pupus di luar sana.

Sidang Sabtu yang dihormati sekalian,

Jika ada di antara kawan-kawan atau ahli keluarga saudara dan saudari yang menampakkan ciri-ciri Minimalas ini—yang berbulu pubik atau yang memakai seluar dalam bercorak batik pelangi—pastikan tindakan undang-undang diambil, laporkan kepada pihak berwajib, kerana ini sesungguhnya memalukan tanah air tercinta kita yang demokratiyyah.


Ridhwan Saidi