Sabtu, Februari 26, 2011

Filem Cereka 70 Minit Pertama

Selalunya apa yang saya mahu lakukan, saya laksanakan tanpa berlengah menghalalkan segala ketidakrasionalan. Seperti membikin filpen tanpa bajet secara mengejut, ataupun menulis novel. Saya sentiasa tidak bersabar dengan masa depan. Tetapi tidaklah bermakna saya meletakkan harapan yang menggunung, saya bukan jenis orang yang begitu. Saya ini rasanya cukup bertenang. Saya sentiasa ada kesedaran dalaman bahawa harapan itu punca nombor satu kekecewaan, jadi saya sentiasa meredhakan apa yang telah, sedang dan akan terjadi. Tetapi ini bukanlah sesuatu yang pelik, sebab nama saya Ridhwan yang bermaksud ‘keredhaan.’

Saya sentiasa meraikan kespontanan dan kerawakan. Walau bagaimanapun bukanlah bermakna saya ini tidak mendamba orde dan mengejar kesempurnaan. Terutama sekali di dalam penghasilan filpen. Ada yang menasihati saya agar menaiktarafkan kualiti produksi. Ini saya faham, tetapi memang dari mula saya menolak sistem produksi ini. Ada benda lain yang ingin saya uji selain daripada ‘kualiti produksi’ yang boleh dibeli dengan wang ringgit itu. Lihat saja filem-filem dengan produksi berbajet dan pembikinan yang bersungguh seperti Krayon, Haq dan seumpamanya. Kualiti produksinya boleh dikira elok dan bersih tetapi…? Lebih-lebih lagi buat filpen, saya merasakan kualiti produksi itu bukan satu keutamaan. Filpen adalah tempat kamu mencuba-cuba. Gelanggang sebenarnya, nah… Filem cereka!

Saya sudah hilang kiraan berapa jumlah filpen saya, ada yang segan ditunjuk dan ada yang entah apa-apa. Tetapi ini semua adalah persediaan dan pembelajaran saya dalam menghasilkan filem cereka. Seperti kata Picasso, “Tuhan cipta zirafah, kemudian Tuhan cipta kuda belang pula,” saya cuba macam-macam untuk kenal diri. Saya belajar untuk yakin dengan sepenuh hati, apa yang saya rasakan betul. Tak dinafikan kita selalu dipengaruhi oleh orang lain. Bak kata pepatah, “kawan-kawan terdekat kamu merupakan satu bentuk cerminan.” Kita secara bawah sedar menggunakan perkataan yang kawan kita guna, atau paling tidak kita akan terikut dengan tindak-tanduk kawan kita. 

Dalam kes saya, saya merasakan filpen Ah Long dan Cekik yang paling dekat dengan diri. Selepas itu saya bukannya menghasilkan filpen-filpen yang gagal macam Tan Chui Mui—All My Failed Attempts. Sebaliknya saya mula menghasilkan filpen-filpen yang mengada-ada. Ini saya sedari melalui kemasukan anasir ‘lakonan’ ke dalam filpen saya. Bukanlah bermakna pelakon-pelakon di dalam filpen saya tidak bagus, mereka ini bagus, cuma saya merasakan potensi sebenar diri saya terletak pada permainan simbol-simbol. Saya perasan saya berkebolehan untuk berpolitik dan bererotik dengan menggunakan simbol. Jika ada pelakon pun, nanti saya akan menggunakan ia sebagai alat untuk membentuk simbol.

Ada sebabnya kenapa saya cuba bentuk-bentuk lain. Pada mulanya saya kurang selesa dengan label ‘eksperimental’. Yelah, pada waktu menghasilkan Ah Long dan Cekik itu, saya sedang kebosanan dan kelaparan seorang diri hidup di dalam loteng tak bertingkap. Saya terjumpa mode video pada kamera prosumer saya dan mula rakam. Kemudian sunting dalam Adobe Premiere Elements. Sebelum itu di waktu persekolahan saya ada cuba-cuba menyunting video-video papan selaju bersama rakan-rakan. Jadi, saya bukanlah bermula dari tidak tahu apa-apa. Saya rasa pembikinan filpen tersebut berlaku secara spontan, dan label ‘eksperimental’ itu kedengaran seperti mengada-ada. Macam ni, kamu tibai rakam apa-apa, lalu berselindung di sebalik label ‘eksperimental’. Ianya seperti terlalu mudah. Macam kamu malas buat kerja lepas tu berselindung di sebalik label ‘minimalis’. Mengelat betul! Walau bagaimanapun macam eksperimental, minimalis ini ada yang betul dan ada yang tipu. Jadi kita ini selaku manusia seharusnya mencari jalan yang betul!

Kelmarin Fasyali ada menceritakan kepada saya mengenai minimalisme di dalam seni teater. Entah apa nama tokoh itu, mula menolak prop dan set kerana beliau percaya bahawa kekuatan teater terletak pada lakonan. Seorang pelakon sepatutnya boleh mewujudkan prop dan dunianya sehingga membuatkan penonton boleh rasa kewujudan prop dan dunia tersebut walaupun tak ada secara zahirnya. Lebih kurang… Mengetahui ini, menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa lakonan bukan anasir terpenting di dalam sesebuah filem. Malah saya juga menolak idea bahawa cerita/story, isi/content dan karakter adalah anasir-anasir utama sesebuah filem.

Ramai orang kebiasaannya memberikan komen seperti, “filem si polan itu takde content.” Ini bermaksud, filem itu tak ada mesej tersirat atau ‘moral of the story’ atau entah apa yang mereka fikirkan. Bagi saya yang terdidik dengan ilmu senibina pula, saya tidak percaya dengan konsep ‘tak ada content’ ini. Bagi saya semua bentuk/form secara semulajadinya mempunyai isi/content. Begini, di dalam senibina ianya dipanggil bentuk/form dan ruang/space. Space ini serupa macam content dalam konteks filem. Dalam filem barangkali kamu perlukan penglihatan laduni untuk melihat isi/content, tetapi tidak mengapa, ada cara yang lebih mudah. Melalui senibina kamu hanya perlu menggunakan kedua biji mata kamu. Bentuk/form ini adalah benda-benda yang ‘ada’, solid dan boleh disentuh, manakala ruang/space pula adalah benda-benda yang ‘tak ada’, void dan tak boleh disentuh. Boleh dianalogikan, mereka yang rasional dan politikal melihat sisi-sisi bentuk/form ini. Bagi mereka yang intuitif dan erotik pula melihat sisi-sisi ruang/space. Mahu tidak mahu, saya percaya semua filem mempunyai isi/content, cuma kualitinya yang boleh kita pertikaikan. Macam ruang tempat letak kereta, kualitinya yang teruk tetapi ‘ruang/space’ tetap wujud!

Kemudian kita ada cerita/story dan karakter pula. Karakter ini nadinya digerakkan oleh lakonan. Dan lakonan ini datangnya daripada teater, jadi bukanlah keutamaan filem khususnya. Cerita pula, datangnya daripada novel, juga bukanlah keutamaan filem khususnya. Anasir-anasir ini hanya sekadar pinjaman daripada cabang seni lain. Bukanlah bermakna saya menolak semua ini dan menjadi ultra-filem, tetapi di dalam penghasilan filpen, bukankah lebih baik jika kita cari dan kenal dengan medium filem itu sendiri? Kalau nak fokus lakonan baik buat teater sebabak. Kalau nak fokus cerita baik tulis cerpen. Malah jika kamu lihat filpen-filpen awal pembikin filem Hollywood seperti Steven Spielberg, Robert Zemeckis, Christopher Nolan dan seumpamanya, boleh jadi secara klisenya ramai penonton yang akan mengeluh, “tak faham.”

Walaupun mereka yang mempunyai alasan ‘tak faham’ ini tak patut dilayankan sangat, tetapi filem bukan sekadar kefahaman. Filem juga ada sisi-sisi kerasaannya. Keghairahan itu bukannya sesuatu yang patut kamu fahami. Memetik kata-kata U-wei Shaari yang ditemubual Bissme:

“Semua seni wajib ada dua anasir – politik dan erotik. Tetapi bukan erotik yang bermaksud kelucahan. Erotik di sini bermaksud keghairahan.”

Sepuluh tahun sebelum itu, sekolah senibina saya digelar “school of thought and senses.” Benda ini lebih kurang sama. Atau nama ruangan komen di blog ini satu ketika dahulu iaitu “fikirasa” yang merupakan kata majmuk fikir dan rasa. Ianya adalah dualiti timbal balik antara otak/brain dan ‘hati’ (jantung)/heart. Kalau jantung berhenti, jawapannya mati. Kalau otak berhenti, jawapannya koma. Bagi mereka yang rasional, mereka percaya otak (melalui medulla oblongata) mengawal degupan jantung/heart. Bagi mereka yang spiritual pula, mereka percaya gelombang degupan jantung dan pernafasan yang mengawal otak. Sama macam kereta, takde bateri (cas letrik macam otak) tak boleh start, takde enjin (jantung yang mengepam petrol) pun tak boleh start. Terpulang pada kamu samada mahu pilih mati atau koma.


Ridhwan Saidi
P/s: Asal nak tulis fasal projek filem cereka pertama tapi mengarut ke tempat lain, cis!