Isnin, Disember 21, 2009

Komedi Dalam Keganasan

Ingatan saya masih segar, lebih 15 tahun lalu saya dan abang saya berkongsi kegemaran menonton rancangan gusti WWF (World Wrestling Faderation) bersama tok saya. Rancangan bersiaran setiap petang Sabtu, 6.30, melalui siaran televisyen Singapura. Apa yang menyeronokkan bukannya aksi-aksi ganas yang dilihat dengan penuh minat. Kecuali tok saya yang agak passionate, kami tidak. Kami hanya memandang rancangan itu tak lebih sekadar hiburan kosong yang melawakkan. Itulah sebabnya mengapa saya secara peribadi menyukai rancangan gusti pada waktu itu. Aksi-aksi ganas seperti terjun tiruk untuk menghentak lawan, humban lawan ke luar gelanggang, jotos kepala lawan bertubi-tubi, hempuk kepala lawan dengan kerusi lipat, serkup kepala dengan tong sampah, sepak, terajang, henyak, tenyeh, sekeh, lempang dan sebagainya bagi saya tak lebih sekadar lawak. Saya tak merasai unsur ‘ganas’ di sebalik paparan-pararan ganas di skrin televisyen itu. Lagipun kenyataannya, bukan saya yang berasa sakit.

Sekarang saya sudah menjatuhkan talak tiga terhadap rancangan gusti. Bukannya apa, bosan. Tapi minat beralih secara serius menonton filem pula. Bukannya serius sangat pun. Setidak-tidaknya, saya bertemu dengan nikmat estetika keganasan bernaratif dalam pelbagai bentuk, gaya dan warna yang jauh lebih menarik. Penyampaian estetika ganas dalam filem yang saya maksudkan adalah seperti muka ditinju bertubi-tubi sehingga berlumuran darah yang boleh dilihat dengan berkesan dalam filem seperti ‘Raging Bull’ (1980). Secara serius, ia mesti dihasilkan seganas mungkin dengan mewujudkan percikan darah bagi menandakan betapa kuatnya tumbukan tersebut dan bagi menimbulkan kesan sensasi keganasan buat yang menonton. Satu lagi contoh, kepala dibedil dengan pump gun sehingga pecah bersepai. Letupan pump gun wajib kuat berdentum dan berapi dan berasap dan kepala yang dihentam wajib berlumuran darah dan ditunjukkan serpihan-serpihan kepala yang mengerikan.

Ekspresi ganas seperti ini mesti dikendalikan dengan bersungguh-sungguh tanpa tolak-ansur hanya kerana mahu dianggap ‘tak seberapa ganas jika dibandingkan dengan…’ atau ‘…tak meminggirkan ciri-ciri ketimuran.’ Jika tidak, babak-babak ganas tadi akan bertukar menjadi lawak bangang. Bunyian tembakan pistol yang tiada beza dengan ledakan puluru getah atau tembakan puluru yang mengenai badan kereta namun bahagian yang terkena tembakan itu tak sompek pasti akan mengundang rasa kehairanan sekaligus lawak yang bukan kepalang. Ia umpama menggantikan pump gun dengan batang ubi kayu.

Justeru kita juga lazim mendengar cakap-cakap di media bercetak mahupun elektronik di negara ini yang cukup pantang dengan elemen keganasan dalam filem. Cakap-cakap seperti ini juga tak asing di media-media luar negara. Tak dinafikan, apa yang dilihat di skrin itu sungguh ganas seadanya. Lebih-lebih lagi jika babak ganas itu dilihat dari filem-filem Barat terutamanya Hollywood. Ruginya penonton tempatan menjadi mangsa menonton filem yang telah dikerat-kerat atau filem bernuansa ganas tadi tak ditayangkan terus atas alasan-alasan moral. Di sini, perspektif penonton cuba diolah dengan mensabitkan dunia Barat dengan ‘keganasan.’ Malangnya mereka yang bersetuju dengan pandangan tersebut barangkali terlupa yang keganasan bukan milik mutlak dunia Barat. Kenyataannya, unsur keganasan bersepah di mana-mana. Keganasan seperti rasa cinta, tak mengenal sempadan geografi. Tak percaya, buka televisyen anda sekarang!

Kita tak perlukan medium filem untuk bersuai-kenal dengan keganasan kerana keganasan sebenar berlaku di dunia nyata. Keganasan wujud di merata tempat dengan punca-punca tertentu yang boleh dikaji secara terperinci jika kita membuat kajian sosiologi di sesuatu tempat yang berlakunya keganasan tadi. Ke-tidak-seimbangan ekonomi antara faktor utama yang merangsang psikologi seseorang ke arah potensi perilaku-perilaku ganas. Hukum “survival of the fittest?” Very likely! Menonton rancangan gusti di rumah dalam keadaan selesa dan santai tak mungkin mengakibatkan sebarang perubahan sikap mendadak untuk berperilaku ganas. Saya meletakkan diri saya sebagai bukti. Begitu juga dengan mendengar muzik ‘ganas’, ia bukan alasan munasabah untuk berperangai ganas tak tentu hala. Melainkan, anda memang sangat kebudak-budakan dengan hingus masih meleleh-leleh tanda anda masih gagal berfikir secara matang dan rasional.

Hakikatnya, keganasan yang tersidai di bingkai empat segi filem adalah salah satu hukum estetika penting dalam seni perfileman. Paparan-paparan keganasan tadi bertujuan menyampaikan makna selain menyambung nyawa naratif sesebuah filem. Ia serupa dengan elemen seram, lawak, seks dll. Paling penting, estetika ganas dalam filem lebih terkesan lantaran imej-imej ganas itu boleh bergerak dan berbunyi yang langsung menjadikannya lebih real. Dua kekurangannya, ia tak boleh dihidu dan dijamah. Ini berbeza dengan lukisan imej ganas di atas kanvas misalnya, walau macam mana ganas gambaran yang dilukis, ianya tetap bersifat pegun. Sensasi keganasan yang statik dan pasif kurang menarik dan berkesan jika nak dibandingkan dengan paparan keganasan menerusi medium filem.

Setiap babak ganas tadi dilihat mengikut perspektif yang berbeza-beza. Perbezaan perspektif pandangan terhasil berdasarkan permikiran individu yang melihatnya. Pandangan paling umum berkenaan adegan-adegan ganas dalam filem adalah adegan ganas bakal meninggalkan kesan-kesan negatif kepada penonton. Adegan ini tak patut ditayangkan di skrin lantaran imej-imejnya yang tak senonoh itu bakal mempengaruhi orang yang menontonnya berperilaku serupa seperti dalam adegan ganas yang telah ditonton. Jadi, kesimpulan mentah yang digoreng, adegan ganas tadi akan merosakkan moral masyarakat dan ianya perlu diblok dari dipertontonkan kepada khalayak umum.

Adegan-adegan ganas sebenarnya mempunyai unsur komedi yang terselit di celah minda pra-sedar. Jika kita terus hanyut dengan imej-imej ganas terbabit, minda pra-sedar kita pada dasarnya telah ditawan oleh imej-imej itu. Kita insan yang lemah bila menyerahkan kesedaran minda untuk ditakluki oleh filem. Maka itu timbulnya kemungkinan-kemungkinan kita turut menjejaki perbuatan-perbuatan yang dilihat dari sesebuah filem itu kerana minda telah ditakluk oleh imej. Kesannya, ia menyebabkan kita melihat aksi-aksi ganas itu dari perspektif yang begitu serius. Bila aksi ganas terbabit dilihat secara serius, kesudahannya kita menuduh filem ganas itu mampu mendatangkan kesan negatif.

Dengan meraikan perbezaan idea dan pendapat tanpa berpura-pura ‘liberal,’ dan bukan menghentam peribadi seseorang tanpa hujung pangkal dan sebarang bukti saheh lagi tepat secara hingus-hingusan, saya memilih untuk memandang dari sisi yang berbeza dari pandangan umum tadi. Secara peribadi, tak semua babak-babak ganas dalam filem perlu dipandang dengan terlalu serius. Asasnya, kita wajar menyedari yang itu semua hanyalah lakonan semata-mata. Bagi saya, daripada imej-imej ganas ini dilihat sebagai ‘ganas’, ada baiknya ia ditukar-ganti sebagai komedi. Maka saya memilih untuk melihat keganasan dalam filem sebagai salah satu elemen yang mampu menimbulkan gelak ketawa.

Sepertimana perihalnya waktu saya menonton filem ‘Natural Born Killers’ (1994), walaupun sarat dengan imej-imej ganas, namun filem itu saya tonton diiringi gelak ketawa. ‘From Dusk Till Dawn’ (1996) pula antara filem aksi separa seram yang saya anggap sebagai komedi. Vampire yang mengamuk langsung tak menakutkan sebaliknya melawakkan. Saya tak boleh lupa watak “Sex Machine” yang cuba menutup mulutnya kerana giginya mula ditumbuhi taring ketika dia perlahan-lahan berubah menjadi vampire. Memang ia filem yang mengarut tapi, hei, that’s a real movie la! Pertama kali melihat babak kulit kepala dihiris dan disiat seperti menyiang ikan dalam ‘Inglourious Basterds’ juga tak menimbulkan rasa ‘eeee…’ sebaliknya saya terus tertawa. Adegan seperti itu tak mungkin dapat saya nikmati dengan seronok jika ia berlaku betul-betul di depan mata saya, atau imejnya sekadar terhampar di atas kanvas. Jadi filem memberi saya peluang emas untuk ketawa melihat babak sebegitu kerana saya sedar ia bukan ‘realiti.’ Dalam kata lain, medium filem memberi saya ruang untuk melihat keganasan dalam perspektif yang berbeza tanpa berdepan resiko dituduh sebagai tak berperi kemanusiaan.

Namun, ia tak terhad kepada elemen ganas sahaja, elemen seram dan seks juga berupaya menimbulkan kesan lawak jenaka. Penontonan filem tak semestinya dilihat secara serius dalam segenap segi. Dan ‘tak serius’ ini pula tak semestinya diperangkap oleh filem bercorak komedi. Ia berbalik semula kepada seni penontonan. Kalau sekelompok masyarakat itu pasif minda dan kering sense of humor, bukan keganjilan jika filem selain yang bukan genre komedi terus ditangkap dalam perspektif yang terlampau keseriusannya. Jadi, semua genre telah dibekukan kepada dua, serius dan tak serius. Komedi tak serius, yang lain-lain itu semuanya serius. Lalu, kepada yang serius mahu meninggalkan otak di luar sinema, mereka akan memilih filem ‘tak serius’ mungkin tak perlu risau minda dipengaruhi oleh elemen-elemen negatif yang bakal terhidang dari filem-filem yang serius termasuk filem-filem bercorak ganas. Oleh itu, kepada sesiapa yang stim ketika menonton ‘Bruno,’ percayalah, anda juga terlalu serius orangnya.


Mohd Ikhwan Abu Bakar