Isnin, Disember 28, 2009

Keganasan Dalam Komedi

Saya sentiasa ambil serius dengan apa-apa yang dilabelkan sebagai “komedi”. Walaupun ironinya di negara ini, label komedi ini sinonim dengan ‘filem tak serius’. Senang kata filem komedi perlu senang, mudah, tidak perlu berfikir, seronok, gila-gila dan segera (katanya). Tapi apa yang saya nampak selama ini majoritinya hanyalah kebebalan, kebengapan, kegelabahan, dan kebingitan.

Dalam filem komedi tempatan, jika ada watak nerd, watak nerd ini selalunya dipaparkan dengan begitu hodoh sekali. Akira Kurosawa sudah langgar archetype samurai dengan sifat pemalas, kuat tidur, pengotor dll. P. Ramlee pun bikin perkara yang sama dengan archetype pendekar dalam Pendekar Bujang Lapok (contohnya). Kenapa tidak archetypenerd bangang’ ini dilanggar? Sebab saya yakin pemahaman sutradara (yang tidak membaca buku) terhadap golongan nerd selalunya teruk, asyik-asyik bodoh-bodoh alang. Atau sebenarnya kewujudan watak nerd ini adalah umpama ‘village idiot’, cuma dalam konteks “urban” (yang disalahtafsir sebagai bandar)? Maka teruskanlah gaya komedi konservatif you all itu.

Dengan masyarakat kita yang majoritinya sifar empati (seperti langgar binatang dengan kereta tanpa rasa apa-apa), kebodohan sesuatu karakter itu adalah nikmat bagi mereka yang menonton. Ini membuaikan rasa bahawa yang menonton itu relatifnya bijak. Sebab itu filem-filem komedi ‘lawak bodoh’ atau ‘lawak kostum’ sentiasa mendapat tempat di hati audiens/konsumer tegar kita.

Malah masyarakat kita juga sentiasa terkejar-kejar mahu cepat. Dengan itu lawak-lawak itu perlu digelakkan secepat mungkin di dalam sinepleks. Tiada aftertaste. Ini berbeza dengan filem terakhir yang saya tonton di panggung iaitu The Inglourious Basterds (2009). Sewaktu menonton memang wujud macam-macam feel termasuk kelakar itu sendiri, tetapi selepas keluar panggung (sehingga sekarang), bila difikirkan kembali, filem ini sebenarnya benar-benar lawak. (Sembang pasal tikus dan tupai?!) Ini kerana Quentin Tarantino ada sense of humor, seangkatan dengan Lars Von Trier, Werner Herzog dll. Tidak seperti mereka yang seangkatan Andrey Tarkovsky yang jauh lebih serius. Serius yang saya maksudkan di sini adalah dalam erti kata sebenar (bukannya yang poyo serius).

Baru-baru ini saya ada tertonton filem Antoo Fighter di kaca televisyen, dan Ajami Hashim ada mengaitkan/menyamakan filem ini dengan filem-filem Mat Sentol. Serius, ini ralat serius. Mat Sentol ada sense of humor, punya taste, hey ‘telefon dalam peti ais’, sultan di usung ke hulu ke hilir, semua ini ada makna. Menyamakan Antoo Fighter dengan filem-filem Mat Sentol ibarat menyamakan ia dengan filem-filem Mamat Khalid. Ini kerana sense of humor Mat Sentol dan Mamat Khalid dekat.

Kedua-duanya bedal/hentam dalam skala setempat (malah filem-filem komedi P. Ramlee pun). Bagaimana bijaknya Mamat Khalid menembusi LPF dalam Kala Malam Bulan Mengambang (2008) dengan Kuswadinata sepenuh-penuh skrin menunjukkan jari hantu ‘fuck you!’. Cuma soalnya kepada siapa? Saya tahu kepada siapa syot ini ditujukan, sebab Kuswadinata datang berpakaian lengkap macam pendekar Melayu, tetapi sebenarnya hampeh tak boleh diharap. Haha.

Walaupun kita tahu sense of humor seseorang individu itu, tetapi akhirnya ia bergantung kepada perlaksanaan sesebuah filem tersebut, samada berkesan atau tidak kepada diri masing-masing. Saya suka Man Laksa (2006) dan Kala Malam Bulan Mengambang, tetapi benci Zombi Kampung Pisang (2007). Kadang-kadang ada juga filem yang dilaksanakan dengan begitu bergaya sekali, tetapi idea yang dibawa songsang, (satu hal pula). Contohnya Forest Gump (1994) dan Papadom (2009).

Pokoknya unsur humor ini berbalik kepada intelektualiti. Filem yang menghina intelektualiti seangkatan Antoo Fighter haram disamakan dengan filem-filem yang meraikan intelektualiti. Semestinya di antaranya terdapat filem-filem yang tenggelam timbul a.k.a mahu selamat. Filem-filem jenis ini kebiasaannya adalah imitasi eh silap, peniruan dan pengajukan gaya komedi dari luar semata-mata. Filem-filem jenis ini kebiasaannya dikaburkan dengan tangkapan imej-imej “cantik”. Filem-filem jenis ini selalunya saya humban sekali dengan filem-filem yang menghina intelektualiti.

Selain filem, saya juga selalunya sakit hati apabila tertonton rancangan-rancangan komedi tempatan di kaca televisyen. Kebanyakannya kering kontang. Saya boleh terima jenaka prank Just For Laugh Gags atau pun Candid Camera, ia mewujudkan situasi yang kelakar. Kadang-kadang yang buat ia kelakar adalah reaksi orang ramai yang melihat situasi tersebut.

Ini berlawanan dengan rancangan prank vernakular seperti Bang Bang Boom dan Wakenabeb. Dajal orang semata-mata (tanpa idea yang bijak) dengan metod yang ganas, malah lebih ganas dari filem Salo (1975), (Salo punya idea dan ianya fiksyen). Hanya mereka yang sifar empati dapat menikmati rancangan sifar idea sebegini.

Saya pernah tertonton di mana seorang lelaki biasa (bukan selebriti) di’lawak’kan kerana telah bersubahat mengedar dadah entah berapa kilo. Berbelas-belas pseudo-polis mengepung, membuli dan memalukan lelaki tersebut. Ianya bukan dilakonkan (walaupun ada prank yang dilakonkan). Mereka yang sifar empati pasti menganggap situasi ini – lelaki yang sedang cuak dan ketakutan – kelakar, terutamanya pengacara rancangan ini yang rasa diri mereka cool (bluek!). Bagi saya ini adalah keganasan yang dilakukan ke atas orang awam.

Selalunya sesuatu perkara yang dibawa masuk ke negara ini (seperti rancangan prank) kehilangan idea dan jiwanya. Terbaru, flash mob. Saya tahu dan berminat dengan flash mob ini sejak 2000+. Bagi saya ia adalah gabungan prank (practical joke), performance art dan demonstrasi jalanan. Flash mob terawal yang saya ketahui melalui internet dulu berupa menjadi patung (tidak bergerak) ataupun berbaring selama 10 saat di tempat awam pada masa yang ditetapkan.

Ya, daripada meraikan keganasan menggunakan komedi, lebih baik komedi digunakan untuk menentang keganasan. Saya dan Dewa pernah berborak tentang betapa seriusnya demonstrasi jalanan tempatan. Melaungkan slogan, nama Tuhan, banner, ataupun t-shirt dengan warna yang sama. Ianya tidak cukup ikonik, tidak memberikan impak dan membosankan. Kenapa tidak puluhan ribu demonstran jalanan ini memakai topeng plastik Guy Fawkes macam filem V for Vendetta (2005)? Pertama, ianya lebih seronok dan kelakar. Kedua, ianya praktikal dalam menyembunyikan identiti serta mengurangkan kesan gas pemedih mata dan air berasid kepada kulit muka. Ketiga, ia sendiri adalah satu kenyataan jelas, simbolik dan pasti mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia terutamanya bilangan hit yang tinggi di Youtube. Ini baru menarik, menyeronokkan dan hebat!

Cuma kepada yang bawa anak kecil, adik-beradik ataupun makwe, dalam keadaan kelam-kabut anda memang takkan jumpa kembali mereka yang tersayang ketika itu, sebab semua muka sama.


Ridhwan Saidi