Khamis, November 19, 2009

Wayang Gua Plato

Kita sedia maklum bahawa Modeniti menolak tradisi seperti rujukan sejarah, aristocratic order, hiasan berkerawang/berbunga dll. Penolakan ini adalah demi mencari ‘kesempurnaan dan keharmonian ruang dan bentuk’ atas nama keindahan sejagat (global). Akhirnya kesempurnaan (kebenaran) ini ditemui iaitu International Style (dalam konteks senibina). Walau bagaimanapun kesempurnaan dan kebenaran ini sebenarnya dibina dan dikonstruk.

Rasionalnya ia adalah satu bentuk kenyataan intelektual (tesis). Form follow function, pure form, truth to material, ornament is a crime, less is more, ini semua dikonstruk sehingga satu tahap, apabila ia lengkap, ia terlupa akan manusia. Peraturan-peraturan sejagat ini umpama moral yang ditentukan dan dilaksanakan secara paksa. Bangunan-bangunan moden yang terpaksa dibina berlandaskan peraturan-peraturan tadi akhirnya kehilangan nilai-nilai kemanusiaan. Ini mematikan rasa dan jiwa.

Dari kelemahan-kelemahan ini munculnya satu reaksi (antitesis) yang menolak Modeniti dan meraikan kembali hiasan tradisi lokal (mulanya) melalui intuisi, gerak hati, perasaan dll. dipanggil Pasca Moden. Keindahan sejagat dan objektif tadi telah berubah menjadi subjektif (setiap individu ada citarasa tersendiri). Jika kesempurnaan (kebenaran) itu boleh dikonstruk, maka ia juga boleh dirobohkan: deconstruction. Selain itu moral Modeniti tadi juga ditolak lantas membawa Pasca Moden ini ke jalan yang nihil. “Ada 360 darjah, kenapa kekal kepada satu?” – Zaha Hadid. Atau, "ada ramai gadis di dalam dunia ini, kenapa kekal kepada satu?"

(Perlu diingat gerakan-gerakan ini berlaku selari dengan persekitaran semasa.)

Kini memasuki abad yang ke 21 (tatkala semua orang sudah hidup selesa dan semakin bijak, ‘kan?’), sintesis kepada kedua Modeniti dan Pasca Modeniti itu berlaku, ia dipanggil Super Modeniti. Bak kata pepatah orang tua, “buang yang keruh, ambil yang jernih”. Super Modeniti ini kembali kepada pemikiran rasional Modeniti dan dalam masa yang sama menjamin kebebasan dan citarasa individu Pasca Moden. Pendek kata kalau Modeniti itu totalitarianism dan Pasca Modeniti itu anarki, maka Super Modeniti ini terletak di antaranya iaitu centrism (jangan keliru dengan ‘lalang’).

Jika Modeniti menjadikan tradisi dan sejarah sebagai rujukan (untuk ditolak), Super Modeniti pula menyatakan bahawa teknologi hari ini berubah terlampau pantas sehingga tradisi dan sejarah tidak lagi relevan untuk dijadikan rujukan. 'Ilmu masa lalu sentiasa kurang daripada hari ini'. Pasca Moden – deconstruction – pula telah menyimpulkan bahawa kesempurnaan (kebenaran) itu boleh dikonstruk dan dirobohkan, maka kualiti, nilai dan identiti kesempurnaan (kebenaran) itu tidak lagi penting. Sebaliknya 'kesempurnaan dan kebenaran yang diperlukan' digunapakai dalam Super Modeniti. Ini umpama kotak carian Google di mana kamu cari apa yang kamu mahukan sahaja (berasaskan rasional sekaligus menjamin kebebasan individu).

Pokoknya ketiga-tiga keluarga Moden ini memerlukan masyarakat yang sudah keluar gua. Bermula dengan Modeniti selari dengan kegemilangan revolusi industri, ini-lah waktu di mana sepatutnya kesemua mereka yang terikat di dalam gua beramai-ramai (menggunakan snowball effect) membebaskan sesama sendiri keluar naik ke dunia nyata. Cuma di negara saya ini, kini, majoriti masyarakat masih menetap di dalam gua. Tanpa diikat atau digari, semua duduk di atas kerusi urut Ogawa sambil menonton bayang-bayang sinema fantasi. Bila diajak keluar naik ke atas tak mahu, katanya selesa di dalam gua, haram jadah!

(Siapa yang konstruk keselesaan di dalam gua ini? Saya tahu, kamu tahu :-)


Ridhwan Saidi