Selasa, November 17, 2009

Along dan Kak Long/Kalut

Kedua-dua isi filem ini khabarnya diangkat daripada naskah teater. Walau bagaimanapun, bak cakap orang putih, “I don’t give a damn”. (Sebab filem bukan sekadar cerita dan lakonan).

Rata-rata bila ditanya, ramai yang suka Kalut (2009) berbanding Along dan Kak Long (AKL) (2009). Salah satu sebabnya adalah kerana AKL ‘bosan giler’. Di sini, ia menampakkan persepsi audiens terhadap dua bentuk filem yang berbeza. AKL dikatakan bosan kerana ia adalah jenis filem dengan struktur mendatar yang bercakap dari mula sampai habis. Kalut pula dengan struktur tipikal piramid – eksposisi, klimaks, resolusi – penuh aksi.

Secara peribadi, dalam konteks kedua filem ini (sahaja), AKL jauh lebih menarik. Perlaksanaannya kemas dengan pemilihan ruang yang terkawal kena dengan skalanya. Malah keseluruhan filem ini lancar walaupun meloncat-loncat dari satu ruang ke ruang yang lain. Fluidity ini tidak menyakitkan mata (dan secara tidak langsung menggunapakai bahasa filem). Oleh kerana AKL ini berdiri dengan struktur mendatar ala filem-filem Woody Allen, di sinilah kelemahan utama filem ini terserlah. Pengisiannya tidak ada umph!

Ada beberapa isu yang dibuka dengan menarik antaranya tentang ‘nasi lemak rendang babi’. Along (loan shark) lakonan Azam ini ingin beli resipi Kak Long (peniaga nasi lemak) yang dilakonkan oleh Mislina untuk buka restorannya sendiri. Cuma Along ini ingin inovasikan nasi lemak rendang ayam kepada nasi lemak rendang babi. Kak Long kata tak boleh, sebab nasi lemak 'Melayu punya', haram makan. Along balas, tetapi nasi lemak ini hanya dijual di dalam restoran Cina miliknya untuk orang bukan Melayu (atau Islam?). Kemudian Kak Long balas kembali berkenaan sensitiviti dan moral, lantas Along tadi terus menyerah. Ini serius potong… (isu ini sebenarnya boleh dikupas sebaik babak 'borak pasal babi' Jules dan Vincent dalam Pulp Fiction).

Menggunakan latar ruang yang minimum (kebanyakannya di gerai nasi lemak Kak Long), dengan itu variasi dan eksplorasi syot terserlah di dalam AKL. Segala macam teknik (yang berpatutan) dicurahkan ke dalam filem ini. Satu syot yang 'agak' ikonik adalah semasa di dalam ruang gelap di mana kamera diletakkan di dalam keadaan subjektif (POV) mangsa mengadap Along, lalu terawang-awang turun jatuh ke bawah. Di sini ‘aksi itu reaksi’ (terhadap kamera) telah berjaya dilaksanakan oleh Azam (Along). Tidak pasti samada jurukamera itu benar-benar tertidur atau disengajakan, ia cukup berkesan.

Akhirnya AKL ini ditamatkan dengan konfiden tanpa keberadaan 'ekor' ala filem-filem Shuhaimi Baba. Cuba mengamalkan dasar kritikan membina (constructive criticism), ada baiknya saya tidak sentuh tentang filem Kalut. Ianya sangat sukar, Lol.


Ridhwan Saidi