Dalam industri filem tempatan, kita selalu dihamburkan dengan retorik “Sokonglah industri filem tempatan.” Kemudian ditambah lagi dengan “Kalau bukan kita yang sokong, siapa lagi?”. Rasionalnya, dengan mentaliti sebegini, usah mimpi mahu ke persada dunia. Dalam negara pun masih terkial-kial menagih simpati masyarakat.
Secara peribadi, saya menerajang slogan ini. Hakikatnya bukan industri filem tempatan yang disokong, yang disokong melalui tiket RM10 itu adalah para pemodal. Dalam diam kita membantu individu-individu kapitalis ini tukar kereta atau perabot baru rumah mereka setiap bulan. 50% hasil dari jualan tiket sah-sah terus masuk poket tokey sinepleks. Soalan matematik mudah: jika kamu (seorang pengarah) bikin filem yang meletup satu Malaysia memungut kutipan tiket RM20 juta. Teka berapa tokey sinepleks dapat? RM10 juta! Tapi tunggu dulu, kamu itu pengarah yang makan gaji, separuh lagi keuntungan yang belum dikebas itu masuk ke dalam poket produser pula. Celaka bukan? Silap-silap, gaji kamu sudah dibayar lump sum RM2000. Buruh-buruh yang dikerah membuat ‘macam-macam’ kerja pula dibayar RM1000. Royalti jualan tiket dan DVD? Mana ada beb.
Kitaran ini jika kita lihat secara holistik, ianya adalah eksploitasi buruh secara maksima. Kapitalis ini mengerah tenaga para buruh tadi untuk menyiapkan filem, dari pra-produksi sehingga pasca-produksi. Setelah siap, filem ini ditayangkan kembali kepada para buruh. ‘Dari buruh kepada buruh’ ini sudah betul, cuma mereka telah dicabul oleh kedua kapitalis itu tadi (tokey panggung dan produser.) Kedua mereka ini juga berganding bahu saling bantu membantu tanpa prejudis kaum. Penonton-penonton Melayu, Cina, India, Sikh, dan lain-lain semuanya dianggap serupa, sama, sebagai satu, iaitu 1Konsumer. Takkan kakak atau abang jaga kaunter tiket itu menghalang sesuatu kaum itu daripada menonton filem? Atau diwujudkan undang-undang bahawa orang Melayu hanya boleh menonton filem Melayu, gila apa. Kenapa ini tidak berlaku? Kerana mereka ingin mengaut keuntungan maksima. Kepentingan mereka hanyalah jumlah jualan tiket. Malah tiada juga kekangan yang menghalang seseorang individu itu daripada membeli semua tiket wayang. Tak percaya, cuba anda beli semua tiket panggung, tapi tonton seorang diri, ok saja tiada masalah. Tokey panggung tetap untung.
Melalui hujah di atas boleh saya katakan bahawa industri filem negara adalah perniagaan — untung rugi — semata-mata. Majikan menggajikan pekerja. Pekerja ikut kata majikan. Dan anehnya dalam konteks perniagaan, siapa yang lebih pandai menarik (rujuk: memanipulasi) perhatian orang ramai agar membeli, dialah yang menang bukan? Jadi apa kejadahnya mereka perlu menagih simpati atas semangat ‘kekitaan’? Ambil contoh ketika kita sedang memandu kereta di lebuhraya menuju ke rumah makwe/pakwe. Tangki minyak hampir kosong. Di depan ada stesen minyak Shell, Caltex, Petronas, BP, dan Esso. Yang mana satu pilihan kamu? Semestinya kita tidak akan memilih Petronas kerana minyaknya lebih cepat ditelan enjin bukan? Siapa yang memberikan perkhidmatan yang terbaik, (berbanding yang lain,) itu yang kita pilih. Pilihan dan rasa percaya ini adalah konsep utama yang ditanam dalam konsumerasi. Nak berniaga, betul-betul berniaga-lah. Apahal minta disokong pula?
Berbalik kepada industri filem tempatan, kenapa ia tidak maju-maju? Kerana hasil keuntungan tadi masuk ke dalam poket kapitalis-lah! Keuntungan itu tidak dipusing kembali untuk fasiliti seperti studio. Hey, mahu ke persada dunia, tapi ‘industri studio’ tidak diwujudkan. Malaywood pun Malaywood-lah, tidakkah mereka sedar bahawa sistem studio ini sama seperti kilang. Bila ada kilang baru-lah produktif dengan peralatan dan kecekapan di bawah satu bumbung. Ini bantai shoot outdoor yang semestinya menelan belanja yang lebih tinggi. Ia-lah semua benda perlu disewa, malah peralatan sepenting kamera pun! Pabila sistem studio ini diwujudkan, sewajarnya hak pekerja lebih jelas dan teratur. Janganlah pula buruh-buruh ini merelakan diri ditindas oleh majikan. Gaji rendah? Protes saja!
Ridhwan Saidi
p/s: Beli tiket ‘filem tempatan’ secara online tapi tak nak tonton, sebagai tanda sokongan.