Jumaat, September 11, 2009

Primitif-Modenis

Manusia hidup dengan ilusi mahu memenuhi segala keinginan dan naluri. Jika kita mencari titik tolak bagi semua ini, kita akan menemukan erti kehidupan itu demi mencapai ‘kebahagiaan’. Praktis kebebasan, keadilan, toleransi, tolong-menolong dan saling mempercayai antara satu sama lain juga antara usaha manusia mengecap bahagia. Lalu, kebahagiaan ini kita sandarkan pada pelbagai cara. Ada orang menyandarkan kebahagiaan pada manusia lain, dengan berkeluarga misalnya, atau bersahabat. Ada pula yang meletakkan makna ‘bahagia’ ini pada harta benda dan wang ringgit. Ada yang cuba mencari Tuhan, lalu mematikan segala punca nafsu, dengan menjejaki denai ‘hakikat’. Apabila ditemukan ‘kebenaran’ itu, dia bahagia. Malah, tak sikit pula yang langsung pesimis dengan kehidupan, pergi ke harkat yang lagi ekstrim dengan membunuh diri. Ada juga yang terpaksa ditunjukkan jalan ke ‘rumah bahagia’ di Tanjung Rambutan. Maka berbahagialah kau di sana…

Maka tak hairanlah, jika doktrin Schopenhauerean diambil kira, kehidupan manusia itu sentiasa dimusuhi oleh kesengsaraan, kemurungan, kekecewaan dan kehancuran. Atas alasan untuk melepasi sekatan musuh jahat ini, manusia mengaplikasikan tiga jalan menuju kebahagiaan iaitu estetika, etika dan eskatika. Secara ringkas, estetika lahir bila mana manusia cuba lari dari sengsara, dengan melampiaskan berahi seni. Untuk itu, manusia mula mendengar muzik, misalnya, yang pada anggapannya estetika seni muzik itu mampu merawat kesengsaraannya tadi. Jika proses ini gagal, mungkin kerana bosan, manusia akan beralih kepada etika. Etika ini muncul saat manusia teringat bahawa kehidupan di dunia ini turut melibatkan orang lain. Ego peribadi dihenyak sampai leper saat manusia menyedari akan ada juga manusia lain yang menderita. Sebab itu, sangat ‘bermoral’ bagi manusia yang bersimpati dengan penderitaan orang lain. Untuk terus melupuskan kejahatan dan kesengsaraan, seterusnya, manusia akan bergerak menuju ke lorong eskatika. Lorong ini bermakna manusia hidup dalam ‘self-denial’ terhadap kehidupan duniawi, kerana memilih jalan spiritual. Kali ini, bukan saja ego, malah nafsu turut dibunuh. Contoh susuk yang seperti ini ialah Siddhārtha Gautama yang telah bermeditasi di bawah pohon Bodhi selama enam tahun. Sama juga dengan para sufi mistik.

Begitu juga dengan modeniti, ia lahir dari penat lelah manusia untuk lolos dari sengsara. Hidup dikatakan akan menjadi lebih mudah, lebih pantas, dengan bantuan sains dan teknologi. Jadi, modeniti menolak putaran dunia semakin laju atas kepercayaan ini dan seperti kain baju di dalam mesin basuh, kita pun terputar di dalamnya. Tapi apakah ada teras bagi modeniti yang kita pakai hari ini? Jawapan saya ada iaitu; materialisme. Inilah paradok maha zalim dunia moden acuan sistem hari ini.

Justeru, kita boleh lihat ada sesetengah manusia yang siang malam kerjanya mengumpul harta. Ini juga perlu dibaca sebagai salah satu percubaan untuk keluar dari ‘kesengsaraan’. Maksudnya, andaikata seseorang itu dapat memiliki apa yang dihajati; kereta besar, rumah besar, TV plasma, set sofa, jam tangan, kasut, baju, atau apa saja yang baginya akan memberikan kepuasan, dia akan mengecap ‘bahagia’. Kerana itu, bukanlah suatu yang pelik, andai dia gagal memenuhi keinginannya itu, dia akan merasa gelisah atau tak puas hati, hidup jadi tak tenteram. Ini bukan juga satu kesalahan, kerana atas tiket bahagia, kita akan lakukan apa saja yang terdaya. Ini lumrah. Namun begitu, ada juga yang, kerana tak tahan menunggu lama mencapai tujuan itu, memilih jalan singkat, lalu tak malu untuk bergelumang dengan rasuah. Jelas sekali, hidup ini sentiasa dibayangi bayang-bayang sengsara.

Namun, dalam hal ini saya juga punya pandangan sendiri. Dalam konteks dunia hari ini, saya menyifatkan manusia yang menempel pada keberadaan materi secara taksub sebagai manusia ‘primitif-modenis’, yakni tahap moden yang paling rendah dalam skala modeniti. Dengan peranan materi, manusia ini cuba ‘mengesahkan’ kehadiran mereka dalam dunia ‘moden.’ Misalnya, apabila dia memiliki motokar besar, barulah dia rasa dia ‘ada’. Eureka! I have, therefore I am! Inilah juga mimpi-mimpi yang cuba dijual melalui ‘bisnes’ MLM (multi level marketing). Sebab itu, dalam iklan MLM ini, mamat-minah yang dimitoskan sudah ‘berjaya’ akan kelihatan menebeng di sisi motokar-motokar mewah ‘mereka’ dengan penuh bangga. Sangat ironi kerana takrif ‘moden’ yang dipakai jauh menyimpang kerana moden yang sebenar lebih menjurus ke arah ‘kesederhanaan’ dalam hidup.

Saya fikir, sekiranya kita kembali ke zaman batu, manusia ‘primitif-modenis’ ini sama dengan manusia primitif yang belum pandai berpakaian, atau paling cikai sekalipun, hanya tahu memakai cawat untuk menutup ahem mereka. Dia fikir, dia advance. Tapi sebenarnya tidak, atau tak cukup advance. Ini kerana, advance-nya itu hanya berharap pada produk-produk mutakhir yang bertaburan di pasaran. Mutu citarasa sebenarnya mungkin rendah. Tapi kalau dia cuba tampil berfesyen, gayanya sungguh horrible. Tak mustahil, jika dia perempuan, solekannya mengerikan, gincu bibir merah menyala senyala cili merah, celak mata macam pontianak, anting-anting sebesar dulang dan muka ditapuk tepung gomak serupa artis ‘black metal’.

Atau, kita lihat bagaimana rumah-rumah banglo orang kaya di negara ini yang rata-rata bercirikan senibina Neo-Klasikal. Rumah besar bagak, dengan tiang ‘Roman’ atau ‘Greek’ palsu, berserta ukiran-ukiran kosmetik yang dibentuk dari acuan. Tiang besar biasanya dibina di bahagian anjung, menuju ke pintu masuk utama ini boleh disifatkan sebagai lambang keangkuhan pemiliknya. Sedang orang Greek dan Rom dulu membina tiang sebegitu lengkap dengan hukum dan falsafahnya yang tersendiri. Sebaliknya, tiang pseudo Greek/Rom klasik ini pula dibina dengan acuan, seumpama membuat biskut raya. Bagi saya sendiri, orang kaya sebegini sebenarnya tiada citarasa, sebaliknya dia hanya mampu membeli citarasa kerana kelebihan wang yang dimiliki.

Sindrom primitif-modenis ini lebih mudah menyerang golongan berada, atau berkemampuan. Sebabnya, merekalah yang paling terdedah dengan materialisme. Mereka akan diuji, apa barangan yang patut dibeli, apa yang patut ditangguhkan dan apa yang patut tak dihiraukan terus. Di sini, rasional akan berpencak bersama nafsu dan ego. Lalu bagaimana pula dengan golongan yang kurang berkemampuan atau, miskin? Nah, ibarat sebuah tim bola sepak, saya meletakkan golongan ini di ‘bangku simpanan’. Alasannya, kerana kurangnya daya beli, mereka tidak teruji sepenuhnya oleh asakan dunia ‘materialisme moden’. Namun, mereka tetap juga berpotensi. Untuk menguji potensi mereka, hadiahkan mereka dengan sejumlah wang besar dan lihat bagaimana wang ini diuruskan. Saya agak, kala ini mereka juga akan mula mengeluarkan taring primitif-moden mereka. Buktinya, ingat semula bagaimana tak lama dulu, sekumpulan peneroka felda menerima durian runtuh dari kerajaan kerana tanah mereka mahu dibangunkan. Ada peneroka yang menerima sampai jutaan ringgit. Lihat, bagaimana wang yang banyak itu dikecah-kecahkan dengan membeli barang yang bukan-bukan, termasuklah rakus mengumpul mesin bernama kereta. Tapi, bukankah lebih afdal sekiranya – selain menyimpan – duit yang banyak itu dilaburkan untuk pendidikan anak-anak mereka, misalnya?

Saya tak tahu kalau manusia primitif-modenis memangnya kontang spiritual. Hidup dirasakan kosong, lalu dia percaya dengan membeli barangan atau aksesori baru, hidupnya kembali ‘terisi’. Dia sebenarnya bukan sengaja, tapi umpama ‘Mat Gian’, hidupnya perlu suntikan steroid materialisme – dia mesti! Kalau tak, dia akan gelisah. Jadi, dia wajib berbelanja sakan, wajib menjadi konsumer yang maha aktif. Kesinambungan hidupnya akan sentiasa bergantung kepada barangan. Bertambah sial, modeniti yang relatif berpaksikan budaya konsumer ini akan mengasak, mendera dan menyeksa hidupnya sehari-hari menerusi lambakan iklan-iklan. Kasihan pun ada, bila lihat kehidupan terlalu bergantung harap kepada barang-barang, yang mungkin terhasil dari besi, plastik, kain, kulit haiwan, tembaga, kaca, kayu, gentian atau kertas yang bila dihumban ke dalam unggun api, akan hangus menjadi abu. Sedangkan kalau barang hilang pun dia sudah menggelabah gila! Jadi, di manakah letak duduknya nilai sebagai manusia?

Oleh itu, untuk membebaskan diri dari sial ‘primitif-moden’ tadi, nak tak nak, dia mesti melakukan ‘pencerahan diri’ (jangan guna "fair & lovely") atau ‘self-revolution’ dengan mengimbangi, atau mengurangi, kalaupun memang mustahil secara total, kebergantungan atau ketagihan terhadap materi. Di tahap ini, beban ‘primitif-moden’ meringan, lalu menjulang manusia ke tingkat yang lebih tinggi. Ruang kosong yang ditinggalkan primitif-moden tadi akan diisi oleh kekacakan intelektual, dan spiritual. Di sini, kesedaran intelek dan spiritual tadi akan menawan keborosan nafsu dan ego dengan merasionalkan setiap tindakan. Manusia jenis ini tak perlu risau jika gagal tampil anggun, dengan fesyen dan aksesori yang ‘terkini’ mahupun flamboyant. Dia bukannya menolak materi, cuma tak terlampau kemaruk atau gila materi. Tapi awas, boleh jadi spesis orang semacam ni boleh jadi terlalu selektif bahkan…ah, mungkin terlampau cerewet!

Kerana kesedaran intelek (juga spiritual) yang lebih baik, manusia ini juga akan lebih menghargai apa yang bersifat semulajadi. Natural, pure and simple. Segala bentuk kepuraan akan ditendang ke luar tingkap. Unsur kosmetik akan dihanyutkan ke Sungai Klang. Dia tampil yakin berbekalkan mentaliti yang dirasakannya lebih “superior” berbanding orang yang bergaya secara berlebihan tapi otaknya kosong dan nafsunya boros. Dia percaya, dia mampu melihat apa yang tak mampu dilihat orang lain. Citarasanya meningkat bila mana yang menjadi agenda bukan hanya kecantikan luaran, tapi juga dalaman. Bahkan seharusnya, luahan sikap modenisme secara am tak hanya bergantung kepada tindakan luaran yang kaku membeku, dan tak hanya bersandar pada objek fizikal semata-mata. Modeniti juga tak sepadan dengan kehidupan serba kompleks akibat melayan nafsu dan ego, sehingga hidup sentiasa diulit pelbagai masalah seperti beban hutang kad kredit. Sebaliknya, modeniti seharusnya menjadikan hidup kita lebih mudah dan ringkas, serta elegant, dari segi sikap, perilaku, cara pandang dan idea kita terhadap kehidupan, termasuk menyaring sesuatu yang tidak penting dan bukan keperluan yang begitu mendesak.


Mohd Ikhwan Abu Bakar – berpura-pura ‘moden.’