Rabu, September 02, 2009

Relatif Maha Ketara

Kamu pernah tonton filem pendek 10 Minutes (1994) arahan Ahmed Imamovic bukan? Jika belum sila tonton di Youtube. Tidak, di sini saya tidak ingin sembang panjang pasal filpen ini, cuma ia ada bersangkut paut dengan wadah diskusi kita pada kali ini (jari hantu!). Filpen ini memberi kita perspektif relatif dunia yang berlawanan iaitu di sebuah tempat yang aman (Rome) dan satu lagi yang berada diambang peperangan (Sarajevo). Perbezaan nilai ‘nyawa’ dan erti ‘kehidupan’ ditimbang tara. Malah relatif masa selama 10 minit itu pun berbeza.

“Gravitation cannot be held responsible for people falling in love. How on earth can you explain in terms of chemistry and physics so important a biological phenomenon as first love? Put your hand on a stove for a minute and it seems like an hour. Sit with that special girl for an hour and it seems like a minute. That's relativity.” – Albert Einstein

Relatif perbezaan yang maha ketara ini juga wujud di negara saya. Tidak ini bukan pasal perang, sebab negara saya ‘aman damai’, Tapi jurang yang saya maksudkan ini adalah perbezaan pendapatan dalam menampung kos sara hidup. Ini jelas ketara dan kepada yang jahil, orang-orang susah (yang dieksploitasi) di dalam rancangan Bersamamu itu sangat ramai. Cukai/zakat yang kita kumpulkan bersama ini sepatutnya digunakan untuk membantu mereka tadi. Tapi tidak, cukai/zakat ini sebaliknya digunakan untuk melanggan escort a.k.a pelacur elit oleh ‘Yang menjalankan tugas’.

“Itu-lah siapa suruh jadi pemalas, tak bertanggungjawab ke atas diri sendiri,” ujar ‘Yang menjalankan tugas’.

“Padan muka!” tambahnya lagi.

Bukan saja escort, tapi makan, kasut tumit tinggi, arak, pakaian, tol, minyak, kereta, percutian, sauna, spa, perempuan simpanan dan macam-macam lagi dengan selambanya dibelanjakan pakai duit cukai/zakat. Ini bukan soal sekular atau tak sekular, tapi soal cukai/zakat yang digunakan dan amanah yang telah diberikan. Padahal fakir miskin yang sepatutnya menerima bantuan itu tadi memerah keringat membanting tulang bagi mendapatkan sesuap nasi, let's say RM100 sebulan? Bagi ‘Yang menjalankan tugas’ pula, RM100 itu dihabiskan dalam masa seminit, let's say untuk urut batin? Ok, 10 minit.

Bagaimana kritikalnya jurang perbezaan ekonomi individu, begitu juga dengan jurang perbezaan intelektualiti individu. Di negara ini ia sangat besar (dan perlu diingat bahawa ia tidak semestinya dipengaruhi ekonomi — rujuk politikus borjuis, mereka super-bijak bukan?). Saya juga perasan respon ‘kritikal’ terhadap filem umumnya ada dua (selain best/tak best atau ok/tak ok): 1. ‘klise’ dan 2. ‘tak faham’. Bila tak ‘klise’ kata ‘tak faham’, dan bila ‘faham’ kata ‘klise’. Ia berputar-putar setakat itu saja, geram dibuatnya. Ini bukan hanya soal filem, tapi merangkumi segala aspek. Paling terbaru, tindakan ultra-bebal dirayakan di Shah Alam bersama kepala lembu. Tapi ini tidaklah begitu mengejutkan saya sebab ia berlaku di ‘Shah Alam’, “bandar mithali” label saya. Pertama kali jejakkan kaki beberapa tahun dulu, saya langsung tidak berkenan, baik dari segi bentuknya mahupun isinya. Ini apa yang saya percaya ‘pure instinct’ haha. Ianya mendekati Putrajaya, cuma Putrajaya lebih teruk (lagi-lagi tiada warga universiti untuk -- sekurang-kurangnya -- menghidupkan suasana). Kedua-duanya pabila di garisan sempadan, perubahan super-drastik terjadi. Daripada 4 lane jadi 1 lane, daripada pokok yang ditanam lebat jadi lalang, daripada ada tiang lampu jadi gelap gelita (bila malam) dan seumpamanya. Sekali lagi, relatif perbezaan ketara! Cuma yang ini tampak, tak percaya pakai Google Earth.


‘Di mana ada jalan, di situ kemajuan berkembang’, ini-lah falsafah songsang yang dipegang oleh perancang-perancang bandar bernawaitu-kan untung kita. Sebab itu kerja mereka hanya putar belit jalan, bubuh pokok (ironinya lepas tebang pokok), susun tiang lampu, dan buat simpang empat besar gedabak (padahal tak perlu pun). Tanah-tanah lot ini lalu ditinggalkan buat firma-firma arkitek kroni pula untuk buat benda yang tak senonoh. Dan begitulah seterusnya kitaran bebalisasi yang berpura-pura di sebalik nama modenisasi, atau lebih teruk globalisasi yang meraikan 'relatif maha ketara'. Sekian.


Yang menjalankan tugas,
Ridhwan Saidi