Khamis, September 03, 2009

Raja Poorah-poorah

Saya berada dalam stor buku ‘Times’ sekadar untuk menengok-nengok tanpa niat mahu membeli. Buku yang ada pun berlambak tak habis baca lagi. (takde la ‘lambak’ sangat.) Di situ saya sempat jenguk dan baca beberapa helaian mukasurat buku tentang seorang pejuang kiri suatu masa dahulu, Kamarulzaman Teh namanya. Asal dari Temerloh, Pahang. Kalau tak silap, di Kerdau, kawasan dalam daerah Temerloh ni lah tempat Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya ditubuhkan 60 tahun yang lalu. Sesuatu yang menarik saya kira bila diceritakan bagaimana kesedaran sosial yang dimiliki berpunca dari pengalamannya semasa muda belia. Dia kata, toknya adalah seorang penghulu kampong yang dipanggil Penghulu Lebak.

Selaku seorang penghulu atau ketua di kampongnya, Penghulu Lebak mengamalkan konsep feudalisme kental. Zaman dahulu, penghulu atau ketua kampong ini boleh dianggap bagaikan raja dalam sesebuah kampong yang memiliki ‘kuasa veto’. Maka tak hairanlah juga penghulu/ketua kampong mempunyai hubungan rapat dengan pihak istana ini juga boleh mengarah penduduk kampong untuk mengerjakan sawah bendang tanpa sebarang upah. Begitu juga untuk mengerjakan ladang getah dan lain-lain. Apabila tiba musim menuai, dia minta pula pada anak buahnya menyediakan emping untuk disumbat ke mulut sultan atas sebab yang saya sendiri tak tahu. Mungkin kerana sultan masa tu tak reti memasak dan hanya arif dalam selok-belok seks. Oh bukan, sebab itu tanda ‘penghormatan’ kepada sultan yang menguasai bumi Pahang. Konon!

Kuasa Tuhan, oleh kerana Kamarulzaman ini manusia yang tak mahu mensia-siakan barang yang terselit di antara sepasang telinga, maka dia melihat apa yang dilakukan oleh toknya itu adalah suatu ketidakadilan dan penindasan yang wajib dighaibkan dari alam kehidupan. Sejak dari itu, dia menjadi seorang pejuang mengangkat senjata membebaskan negara dari penindasan dan ketidakadilan. Dan hari ini, setelah tujuh tahun beliau meninggal dunia, feudalisme masih lagi berlangsung, tapi dalam bentuk yang berlainan.

Memang benar, sekarang tiada lagi ketua kampong atau penghulu yang mengamalkan dasar seperti tok Kamarulzaman Teh. Tapi sila ambil tahu, feudalisme hari ini berlangsung melalui politik kepartian. Ketua kampong/penghulu biasanya mempunyai hubungan rapat dengan orang-orang kuat parti politik yang berkuasa. Begitu juga dengan konsep pemberian gelaran dan darjah kebesaran yang lebat berlaku di negara ini bagaikan menerima hujan sepanjang tahun selagi ada sultan/raja yang dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki percuma. Ini tak jauh bezanya dengan amalan datuk Kamarulzaman Teh tadi.

Jadi berebut-rebutlah warga negara ini yang ‘bercita-cita tinggi’ mahu menerima gelar dari sultan – dato’, datuk (Dah ‘datuk’, ada ‘datin’ pulak! Patutnya ‘nenek’), tan sri, datuk seri, tun, dan lawaknya, wakil rakyat dan para pembesar negara dan negeri juga memakai gelar kenamaan – yang berhormat atau yang amaaatttt berhormat. Tapi pada saya, panggil ‘Ahli Parlimen’ atau ‘ADUN’ saja dah memadai, kerana kedua-dua istilah ini merujuk kepada jawatan, bukan pangkat atau gelaran yang mesti disembah oleh orang ramai. Tambah runcing, sampaikan orang yang hanya berkelulusan SPM saja pun, jika dia orang politik yang ‘pandai cakap’, dia boleh dapat gelaran ‘datuk’. (Tapi paling bangang orang yang dah mati pun nak juga diberi gelaran.) Orang yang ada gelaran ini, senang dapat macam-macam tender projek itu, ini. Maknanya, gelaran itu disarung untuk dipamer sebagai ‘modal keyakinan’ dan ‘kad kekuasaan’ untuknya menerima sesuatu tender projek. Macam orang selalu kata…apa tu…‘kabel kuat?’

Ada seorang kawan saya ni, orang Sekinchan, Selangor. Walaupun dia memiliki sebijik Perodua Myvi, yakni salah satu simbol kemodenan (konon), tapi kenyataannya dia masih lagi dibelenggu feudalisme. Katanya, ramai pemuda di tempatnya menjadi ‘anak buah’ kepada seorang menteri kabinet dengan memasuki sebuah parti politik. Saya tanya apa sebabnya, dia kata menteri itu ‘kuasanya besar’. Dia kata besarnya kuasa si menteri ini di tahap mampu melepaskan seorang pemuda dari tuduhan rogol begitu saja. Wow, hanya berbekalkan kuasa besar seorang menteri, seorang perogol akhirnya bebas dari hukuman. Petik saja nama menteri tadi, semua selamaaatttt…alhamdulillah. Undang-undang? Polis? Pergi la mati! Ooo…kiranya si menteri ni jadi ‘payung’ yang jaga anak buah selagi anak buah menyatakan taat setia, la ye? Ini pun salah satu ciri masyarakat feudal yang sepatutnya pada hari ini diabaikan. Kemudian saya tanya, “Habis tu kau panggil apa si mangkuk tu?” Dan dia jawab, “Ayahanda. Tapi biasanya kitaorang panggil dia ‘ayah’ je.” Kah kah kah…kepala ayah tut tut tuttt..!!!

Tapi kat Singapura lain pula ceritanya. Negara republik yang maju ini tak begitu gila dalam hal ehwal pengurniaan darjah kebesaran. Malah Perdana Menteri-nya juga langsung tak memiliki apa-apa gelaran selain nama betul. Lagipun PM itu bukan gelaran, tapi jawatan, dan kedua-duanya jelas berlainan konsep. PM itu satu tugas berserta tanggungjawab, manakala gelaran itu biasanya hanya satu kelebihan untuk mendapatkan tender projek dengan senang. Bila di warta berita, saya berasa senang hati mendengar pembaca berita menyebut nama PM Singapura sekadar ENCIK Lee Hsien Loong. “Encik Lee Hsien Loong berkata…bla..bla..bla..” ‘Encik’ itu bukan pangkat atau darjah kebesaran, tau. Jadi, apa ada hal? Tak ada pun apek ni mati menggelupur ke apa sebab tak dipanggil dengan gelaran pangkat tu semua. Macam di sini, cakap pandai…nak dahulukan rakyat konon, tapi belum apa-apa, gelaran, pangkat dan darjah kebesaran dah berderet-deret. Bila dia lalu kat jalanraya, rakyat semua terpaksa berkuak ke tepi sebab nak bagi dia jalan. Nak-nak masa jalan jam, masa tu lah dia terhegeh-hegeh nak lalu. Paling baru, harga minyak dinaikkan la pulak… Jadi apa ke-poorah-nya dahulukan rakyat?!

Di United Kingdom, pemberian darjah kebesaran masih dilaksanakan kerana serupa di sini, sistem monarki masih lagi wujud. Tinggal lagi saya percaya pemberian gelaran di sana lebih telus, bukan boleh dibayar, atau diberi semata-mata senang untuk mendapatkan tender. Saya tak fikir individu seperti Lord Norman Foster itu perlukan gelaran “Lord” untuk mendapatkan pelbagai projek menarik serata dunia termasuk pangsapuri Troika (tak tahu bila siap), dekat dengan KLCC nun. Ini kerana hakikatnya beliau sememangnya layak berdasarkan segala sumbangan besarnya terhadap dunia seni bina, lama sebelum beliau menerima gelaran tersebut. Dan saya juga tak fikir beliau begitu peduli dengan gelaran itu, tak seperti mangkuk ayun tempatan. Saya dapat tahu, beliau sangat ‘digeruni’, oleh para pekerjanya bukan kerana beliau garang seperti harimau, tapi tahap profesionalisme, dedikasi dan komitmennya melampaui pekerjanya sendiri, yang membuatkan mereka, para staf-nya, naik segan. Sebenarnya beliau bukan digeruni, tapi sangat dihormati.

Hormat bukan rasa ketakutan yang muncul dari paksaan atau tekanan. Ia hanya hadir secara semulajadi bila sifat dan tingkah-laku serta pemikiran individu yang dihormati itu mewajarkannya dihormati. Apapun ceritanya, manusia moden sebenar seharusnya bebas dari memiliki gelaran-gelaran bullshit itu semua. Orang yang memiliki gelaran/pangkat/darjah kebesaran secara umumnya akan terawang-awang di langit ilusi kelas tinggi. Mereka pasti fikir mereka melebihi orang biasa yang tak memakai gelar dan mereka perlu dihormati. Namun mereka tak tahu bahawa memiliki gelaran pangkat itu lambang feudalisme dan bersifat kuno, malah tak relevan langsung dengan aspek kehidupan di abad ke-21. Jadi untuk maju dalam erti kata sebenar, antara perkara yang perlu dilakukan ialah dengan membebaskan negara ini dari amalan pemberian darjah kebesaran. Macam mana nak bebaskan, kamu tanya? Pam..pa...pammm!!!


Mohd Ikhwan Abu Bakar

p/s: 1. Raja Perlis baru-baru ni kata, dia (baginda?) bimbang dengan ancaman golongan yang mengamalkan dasar "pecah dan perintah" kerana ia boleh menggugat perpaduan rakyat. Hehehe. Sebab kelakar.

2. Oh, jangan sesekali dilupakan darihal seekor penyu gelap yang berenang menyeberangi Selat Inggeris beberapa tahun lalu. Beberapa bulan selepas selamat pulang ke darat, si penyu bertuah badan sedap berlemak ini menerima gelaran ‘datuk’, sebuah rumah, upah serta selamat diijabkabulkan dengan seekor duyung. Apa cerita penyu ni sekarang, hah? Ke, dia dah bertelur? Opss…maaf, lupa pulak. Dia penyu jantan daa…