Selasa, Ogos 18, 2009

Kitab Bin Filem: Sinema


Kepada yang pandai bahasa, kitab bermaksud buku. Bukan apa, abang yang xerox buku ini ternganga pabila melihat tajuk "kitab". Buku (110 muka surat) "yang boleh dipegang" ini menghimpunkan esei-esei tentang sinema di blog ini, kononnya sempena ulang tahun Bin Filem. Adalah sesuatu yang di luar tabii jika saya ingin komersialkan buku ini sebab semua esei-esei tersebut ada di sini, percuma pula tu. Jika mahu dijual pun, barangkali kepada mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet. Apapun tidak dinafikan kata pengantarnya cukup "exklusif" :-)

Ianya adalah satu bentuk eksperimen, atau boleh juga saya katakan sebagai satu bentuk ketagihan nikmat, iaitu terhadap proses pembikinan buku. Sacred geometry, golden section, pemilihan material, typeface, semiotik, dan macam-macam perkara yang pernah ditulis, dimuntahkan ke dalam bentuk buku. Mengaksikan diskusi bak kata... Ia-lah, sembang pasal struktur filem & bangunan tapi struktur buku tak tau apa kes?

Ini visi saya: Kitab Bin Filem: Sinema sebagai eksperimen 1 dan Kitab Bin Filem: Selain Sinema sebagai eksperimen 2. Kemudian buku ketiga baru tulisan-tulisan + grafik-grafik yang tiada di mana-mana, ultra-peribadi. Berbalik kepada konsep nak memperdagangkan buku ini, ia menjenuhkan. Sebab proses menjahit dan gam gajah-kan sebuah buku ini pun memerlukan dedikasi maksima, ibarat melahirkan anak.


Ridhwan Saidi

p/s: Kepada yang betul-betul mahu, sila e-mel binfilem [at] gmail [dot] com. Cetakan yang super-terhad akan diusahakan. RM25 (pos,) RM20 (by hand), ala donation (padahal profit)—boleh runding. Tunggu kejap, hasil untung boleh pusing buat filem pendek syok sendiri, ya!