Selasa, April 21, 2009

Imejis : Realis

Sepanjang saya menonton filem, pada dasarnya ia boleh disekolahkan kepada dua, imejis dan realis (bak kata André Bazin.) Di sini saya tidak menentang mana-mana sekolah, cuma sebagai satu cubaan untuk meluahkan fikirasa saya yang naïf ini. Terus, imejis cuba bermain dengan ‘imej’ yang merangkumi teknik pencahayaan, komposisi, lakonan, suntingan dan hasil akhirnya akan bercanggah dengan realiti (konsep ruang-masa dirobohkan.) Realis ini pula cuba bermain dengan syot panjang, di lokasi sebenar, depth of field dan hasil akhirnya cuba menghampiri realiti serapat mungkin (konsep ruang/ruang-masa diraikan.) 

Tanpa mempedulikan teori imejis dan realis ini, yang menarik hati saya adalah konsep ruang-masa Aristotlean dan kaitannya dengan filem. Bak kata Aristotle:

"Every sensible body is by its nature somewhere."

"Time is the numeration of continuous movement."

Ruang-masa ini-lah ‘realiti objektif’ yang ditabik oleh Bazin. Ia sama seperti graviti, ketiga-tiga elemen ini (ruang, masa dan graviti) kita percaya kewujudannya melalui kaedah pembuktian sains (meter persegi, jam, Newton.) Malah tanpa kala sains sekalipun (beratus ribu tahun dahulu,) manusia-manusia paleolitik faham ‘rasa’ ruang, masa dan graviti ini. Mereka tahu mereka tinggal di mana, mereka tahu bila mereka patut berburu dan ketika berburu mereka tahu membaling lembing.

Tapi disebabkan saya dari bidang arsitektur, saya tidak minat bikin filem realis. Sebab daripada bikin filem yang (cuba) memaparkan realiti, lebih baik saya bina rumah/bangunan yang memang sudah ternyata wujud di dunia realiti. Logik akal, arsitektur adalah bentuk dan ruang yang wujud dalam garisan masa. Hah, semua ruang, masa dan graviti ada dalam arsitektur. Berpeluh mana pun sesebuah filem realis itu cuba paparkan realiti, ia tetap tempangkan graviti. Sebab medium filem hanyalah permainan cahaya dan bayang yang tak lut dek genggaman graviti. Syuraka, antara sebab utama saya ingin bikin filem adalah untuk merobohkan konvensyen ruang-masa Aristotlean. Tambah, dalam arsitektur, tiada istilah ‘senibina surreal’. Tiang dan rasuk tidak boleh terapung atau meleding sesuka hati, ini hukum alam.

Walaupun saya secara peribadi tak minat bikin filem realis, tidak bermakna saya tak minat menonton filem-filem realis. Sebab pabila menonton filem, saya tidak peduli samada ianya sekolah imejis atau realis, janji ceritanya berbaloi untuk ditonton. Dalam erti kata lain, tiada unsur-unsur prejudis hehe ;-)

Seperkara yang menarik tentang evolusi perkembangan sinema, ia bermula dengan formalis (imejis) dulu kemudian realis. Sedangkan dalam seni halus, ia bermula dengan realis dulu kemudian baru formalis. Jika diperhatikan sintaksis kehidupan tokoh-tokoh berjiwa besar seperti Le Corbusier dan Pablo Picasso, mereka bermula dengan orde/realisme dahulu, selepas itu baru berevolusi menjadi impressionisme. Disebabkan saya bukan tokoh berjiwa besar, dengan itu dengan selambanya saya mula dengan sekolah imejis dahulu, kemudian di hari tua nanti baru saya akan merangkak kembali kepada realisme. Quid pro quo, untuk faham surealiti kita kena faham realiti, dan untuk faham realiti kita perlu faham surealiti. Dan saya rasa saya tak perlu menjadi genius untuk faham 'realiti'.

Akhir kata, jika Pablo Picasso kata:
"Art is a lie that makes us realize the truth."

Pendek kata, saya pula akan kata:
“Filem adalah pembohongan yang sedarkan kita tentang kebenaran!”

Apa? Realisme?


Ridhwan Saidi