Jumaat, Mac 06, 2009

‘Tolong Senyap’

Di kalangan orang yang konon mengenali, saya senang dicop sebagai individu yang tak banyak cakap. Pendiam, kata mereka. Dulu, dalam buku tipis ‘Laporan Pencapaian Pelajar’ saya, guru kelas, Puan Lim Apa Entah Saya Tak Ingat menulis di ruangan tingkah laku, “…seorang pelajar yang pendiam.”

Tapi saya tanya pula kat diri sendiri, apa betul ke cakap-cakap diaorang ni?

Saya rasa separa betul, separa tidak. Secara harfiah saya boleh banyak cakap dengan teman-teman rapat, rakan sekepala yang sudah tentu tak ramai. Hanya kerana selalunya bingkai agenda kami, sama.

Lagi pula, saya lebih suka senyap, dari menjadi orang-orang yang cuba banyak cakap, tapi haram tak tahu apa sebenarnya yang mereka cakap atau buat. Tak semua orang yang sebegini, pastinya. Contoh, konon buat design avant-garde, tapi tengok-tengok, semuanya kovensional. Yang itu pun – konvensional – dah cukup caca-marba, lintang-pukang, berterabur dari aspek bahasanya.

Bagi yang konon mahu cuba pendekatan abstract expressionist, ataupun decontructivist, mereka sangka semua itu tiada atau tak perlukan orde. Ini saya lihat satu pandangan yang salah, lebih merbahaya dan lagi kacau jika dibandingkan dengan mereka yang dianggap tak progresif, kuno dan kaku.

Hakikatnya, semua jirim, unsur dan sebatian, punya order, punya form, punya content atau kata lainnya, intipati wujudiah, essence of being. Soalnya ialah bagaimana, misalnya seorang pendukung pasca-moden, menggodam semula prisip-prisip order itu, bagaimana order, form, content itu disusun-atur, di-compose mengikut cara yang berlainan. Walau macam mana gila sekalipun rekaan kerusi IKEA kamu contohnya, ia masih tetap memiliki hukum-hakam yang tersendiri untuk ianya berdiri.

Terdapat lagi segelintir puak yang cukup suka menjadi jargon istilah yang tampak intelektual. Seperti avant-garde. Pada dasarnya ia sekadar tempelan dengan harapan istilah-istilah ini mampu menutup ‘kekosongan jirim’ mereka. Lalu teringat pula saya akan kata Nasir Jani selepas menonton ‘Seman’ malam kelmarin, yang agak menarik, katanya itu – “pelancapan intelektual.”

Itu pasal saya lebih senang untuk diam memerhati sambil tersenyum, dari cakap banyak tapi tak faham apa-apa. Alas, saya sendiri tak faham semua benda. Tapi kadang-kala, situasi ini saya suka juga, sebab ianya boleh memancing lawak jenaka.

Ada juga yang - ‘di antara mereka ada orang yang hafal ilmu, namun ia tidak mengetahui tafsiran dari hafalannya.’ Itu cebisan kata Al-Ghazali. Tapi situasinya hampir sama.

Seperkara lagi yang mereka, orang yang konon kenal sama saya tak tahu, saya dalam diam lebih banyak bercakap dari mereka, sebenarnya. Saya boleh membebel 24 jam tanpa henti. O well..tak la betul-betul 24 jam.

Maksud saya, lebih banyak bercakap pada diri sendiri.


Mohd Ikhwan Abu Bakar