Rabu, Februari 04, 2009

Orang Atas dan Orang Bawah

Jika kamu bekerja, pernahkan kamu dimarahi oleh bos kamu? Jika pernah, bravo!

Ok, saya setakat ini tak pernah. Bukan kerana saya hebat atau apa, tapi..ya, tak pernah. Cuma bagi sesetengah kenalan saya, pengalaman dimarahi bos, lebih-lebih lagi bos itu berbangsa Cina, dan kerap kali pula dimarahi tanpa sebab yang jelas, selalunya jadi pengalaman yang memilukan. Dan akhirnya, mereka akan mudah terlanjur menuduh yang si majikannya ini barangkali seorang yang racist.

“Cilaka punya apek, mentang-mentang la dia Cina, aku Melayu…” – contohnya la.

Walaupun saya sendiri belum lagi memiliki pengalaman sebegini, setakat ini, namun saya agak berminat untuk membawa topik ke satu sisi yang lain. Daripada sekadar dimarahi kerana banyak kesilapan, lama-lama ia merebak pula kepada perkara lain – sentimen perkauman. Rasa macam asyik kena marah tu kerana ada sikit prejudis bagi mereka yang memarahi yakni si bos, yang mungkin berlainan bangsa. Ya, kerana sedikit prejudis.

Tuduhan bahawa si majikan ini seorang yang bersikap perkauman mungkin betul. Dan mungkin saja betul, si majikan memang tak suka orang Melayu, jika si majikan ini orang Cina, atau India atau ‘lain-lain.’ Mungkin. Dia ambil kamu bekerja pun mungkin kerana terpaksa. Sekali lagi, mungkin.

Tapi kalau dia bersikap sebaliknya pula bagaimana? Maksud saya, tak bersikap racist. Kamu, jika dimarahi sesiapa pun, pasti mencari punca kamu dimarahi, kan? Apatah lagi jika kamu dimarahi hanya kesilapan remeh-temeh. Macam sengaja cari pasal. Jadi kamu akan cuba buat justifikasi, yang selalunya disusuli dengan sentimen kemarahan. Sentimen kemarahan ini pula selalunya bersifat terburu-buru.

Bagi saya, jika saya dimarahi, terutama jika majikan saya seorang Cina, India atau ‘lain-lain’ sekalipun, ia belum tentu atas sentimen perkauman semata-mata. Alasannya mudah, ia bukan susulan faktor beza warna kulit atau keturunan atau ideologi politik atau kepercayaan agama, tapi ia adalah faktor hubungkait antara pihak yang memiliki kuasa dan yang tak berkuasa.

Pihak yang memiliki kuasa, dalam kes ini, pihak majikan, mereka mempraktikkan kekuasaan yang dipunyai, yang merupakan satu kelebihan buat mereka. Majikan merasakan yang mereka membayar gaji pekerja, maka kuasa yang dimiliki memberi kelebihan dan alasan jitu untuk mereka mengawal si pekerja. Ini seakan sudah menjadi resmi alam pekerjaan yang sukar, teramat sukar untuk dielakkan.

Mengawal ini banyak caranya, seperti melalui jadual kerja, waktu pergi-pulang kerja, kedudukan pekerja di tempat kerja dsb. Namun ada satu lagi kawalan yang bukan fizikal, iaitu kawalan mental, seperti memberi tekanan psikologi dalam bentuk arahan, teguran, atau makian yang berterusan walau tanpa sebarang alasan kukuh supaya si pekerja tunduk patuh dan takut. Ia nyata tiada kena mengena sama ada warna kulit pihak yang dikuasai (pekerja) itu coklat, hitam, putih atau hijau. Ia adalah tentang kelebihan kuasa yang dimiliki oleh majikan, yang dalam kes ini, mungkin berbangsa Cina.

Namun jika situasinya diterbalikkan, anggap yang kamu pula bos, dan si Cina itu menjadi orang bawah kamu, situasinya tetap sama. Si Cina tidak akan berani memarahi kamu sewenang-wenang, bukan kerana dia takut yang kamu ini seorang Melayu, tapi kerana sedar bahawa dia tak mempunyai kelebihan kuasa sebagai majikan seperti kamu, sedangkan nanti bila cukup bulan, kamu yang akan membayar gajinya pula.

Seandainya pihak yang dikuasai itu beranggapan ada unsur perkauman, sebab dia sering dimarahi oleh majikan yang bukan sebangsa dengannya, ia sebenarnya satu ransangan sentimen yang dikonstruk kerana ia akan dijadikan sumber alasan bagi menzahirkan ekspresi marah atau rasa tak puas hati secara efektif. Mata sepet, kulit cerah, atau mata lebam, kulit gelap, ini semua melahirkan tindak balas visual yang bersifat segera. Perbezaan fizikal ini akan digunakan oleh orang yang dimarahi atau ditekan sebagai modal ampuh untuk bertindak balas atau melepaskan geram.

Misalnya, secara relatif, ramai majikan di negara ini terdiri dari orang Cina. Jadi, jika pihak yang dikuasai itu bukan Cina (pekerja), mereka akan mensasarkan ketidakpuasan hati mereka atas faktor fizikal si Cina yang berkuasa (majikan), dengan mengambil kira kulit putih, mata sepet, termasuk juga dialek percakapan. (Selain visual, faktor bunyi juga perlu diambil kira.) Jadi sebagai respon, pekerja tadi akan menyatakan rasa tak puas hati dan marah terhadap majikan, si Cina, dengan menuduh majikannya ini memarahinya bukan sekadar kesilapan yang dilakukan, tapi juga disertakan sekali unsur perkauman yang jelas diransang dari aspek fizikal si majikan tadi. Contoh ayat; "Oh, Cina bos kau, patut la.."

Tambahan pula, justifikasi berdasarkan faktor fizikal seperti warna kulit biasanya lebih ‘mujarab’ kerana ia tak perlu mengambil masa yang lama untuk bertindak balas dan diproses, dan kerana unsur lahiriah ini jelas di mata dan telinga, terutamanya bagi mereka yang mahu melepaskan geram sahaja. (Sedangkan untuk membaca fikiran sebenar seseorang itu akan mengambil sedikit masa.)

Ekspresi marah atau rasa tak puas hati sebagai tindakbalas berdasarkan faktor fizikal ini mungkin pada zahirnya memuaskan hati pihak yang dikuasai (pekerja), namun hakikatnya mereka lupa, atau tak sedar bahawa dengan berbuat demikian, ia telah mengalihkan pandangan mereka terhadap situasi sebenar, iaitu kesan langsung praktis kuasa oleh pihak berkuasa ke atas mereka yang tak memiliki kuasa, antara orang di atas terhadap orang yang di bawah, tak semestinya atas sebab prejudis perkauman sahaja.


Mohd Ikhwan Abu Bakar