Rabu, Februari 11, 2009

Cermin Pandang Belakang

Satu malam, selepas menonton tayangan filem Meshes of the Afternoon di studio Pancha Delima, saya memandu pulang sambil sembang borak sama kawan baru saya. Syok sangat bersembang, tak sedar hari dah lewat malam. Dari tempat tayangan ini ke rumah saya yakni sejauh lebih kurang 5 km, jalannya gelap gelita dikelilingi hutan belukar dan paya, ini bukan dibuat-buat, ini cerita betul. Katanya, di sepanjang jalan ini bahaya fizikal dan mental menanti.

Dulu, mengikut kata kawan baru saya ini, kes rompakan pasti berlaku setiap malam di sepanjang jalan ini. Modus operandi-nya adalah dengan melanggar kenderaan mangsa. Ambil contoh, kalau saya sedang membonceng vespa, mereka akan langgar saya sampai terbabas ke tepi jalan. Selepas itu mereka akan rompak ambil wallet atau apa-apa barang berharga. Jika saya pandu kereta pula, mereka juga akan langgar bahagian belakang kereta. Kebiasaannya, sesiapa yang berhenti selepas itu untuk melihat kerosakan kereta juga akan dirompak. Ini bahaya-bahaya fizikal yang sedang menanti saya.

Dari segi bahaya mental pula, ini tempat orang bunuh orang, mayat dicampak ke dalam hutan, manusia dibom. Hendak dijadikan satu cerita, satu malam, selepas tayangan filem Meshes of the Afternoon, saya terus pulang memandu. Tiada kenderaan lain, hanya kereta saya saja yang berada di atas jalan pada ketika itu. Saya buka tingkap, biar angin masuk, sebab tidak pakai penghawa dingin. Anehnya, saya terdengar bunyi guruh (walhal langitnya elok saja.) Tiba-tiba semasa naik bukit, saya memandu masuk ke dalam debu tebal. Saya cukup pasti ia bukan kabus atau asap. Debu tanah ini masuk dalam ruang kereta, dan takutnya saya tidak nampak apa yang ada di depan sana. Visual penglihatan saya ini berani saya katakan hanya sejauh 1-2 meter saja sedangkan saya sedang memandu pada kadar 120 km/j. Jika ada bas, kereta, motosikal atau orang yang tengah berhenti di tengah jalan ketika itu, pasti saya sudah langgar. Dan secara jujurnya di sini, saya mengaku saya telah terlanggar sesuatu. Atau sebenarnya seseorang. Ia terpelanting melambung naik ke atas kereta. Kaget, saya hanya terpaku meneruskan perjalanan (siapa yang nak berhenti tengah-tengah hutan gelita berdebu-kan?)

Spekulasi awal saya berupa unsur-unsur supernatural pada saat itu. Saya perlu fikir yang saya langgar itu hantu, kerana jika saya terlanggar manusia, ini lebih menakutkan. Secara realistik pula, pabila rasional tiba, saya sebenarnya memang telah terlanggar seorang lelaki, tidak mampu untuk menipu, sebelum ia terpelanting, tubuh itu melekat sementara di cermin depan. Wajahnya, matanya merenung tepat ke mata saya. Atau mungkin ini semua hanya sekadar imaginasi terlampau semata-mata. Aahh!

Kawan baru saya ini, yang telah lama menetap di sini, juga ada menceritakan dulu, ketika kawasan ini masih baru dibuka, santau telur berwarna-warni berterbangan menuju mencari mangsa di langit malam. Katanya juga, jika objek itu ditunjuk dengan jari telunjuk, ia akan pecah berderai (seolah spell itu tidak menjadi.)

Cerita punya cerita, anehnya baru saya sedar yang kawan baru saya ini hanya dapat dilihat melalui cermin pandang belakang. Lihat, dia sedang tersenyum kepada saya. Bila saya toleh ke belakang, tiada sesiapa pun kelihatan, hairan. Tiba-tiba, semasa saya ingin pandang ke depan kembali, tanpa disangka, tidak perasan, saya telah terlanggar hentam punggung kereta seseorang. Gedegang! Kereta itu lalu terbabas ke kanan jalan masuk ke kawasan hutan belukar.

Saya berhentikan kereta di sebelah kiri jalan, lalu keluar melintas ke seberang sana. Suasana cukup gelita, sumber cahaya yang ada hanya samar-samar dari lampu kereta yang telah terbabas itu tadi. Pemandu kereta itu kelihatan berseorangan dibasahi darah. Saya perhatikan dalam jarak dekat, kepalanya pecah berlumuran darah. Lepas itu saya angkat tubuhnya keluar lalu dibaringkan di atas rumput. Disebabkan tiada orang berdekatan, lalu saya pun ambil wallet-nya, keluarkan duit, ambil RM 500 buat wang saku perbelanjaan pelajaran. Untuk menyembunyikan bukti, iaitu tubuh lelaki yang sedang bertarung nyawa cedera parah itu. Saya lalu sumbat sebutir bom ke dalam mulutnya. Menjauhkan diri, (bunyi seakan guruh berkumandang) berkecai derai tubuh jejaka itu bersepai. Tanah dan debu berterbangan ke angkasa.

Ingin kembali ke kereta di seberang jalan sana, di dalam debu itu tiba-tiba saya telah dilanggar oleh sebuah kereta, celaka! Terpelanting tubuh ini ke atas lalu bergolek-golek di atas jalan raya, kepala saya pecah berlumuran darah. Tapi masih tabah benyawa, saya merangkak perlahan-lahan masuk ke dalam kereta. Perlahan-lahan memandu, tapi ironinya ingin pulang ke rumah cepat-cepat. Walaupun kepala pedih berpinau, mata kabur dimasuki darah, tapi saya masih ingat, tetap ingat. Semasa dilanggar tadi, saya merenung tepat ke mata pemandu durjana itu. Tapi pelik cukup pelik, pemandu itu sedang khusyuk bercakap seorang diri sambil memandang cermin pandang belakang. Memandang cermin pandang belakang, kelihatan cahaya terang benderang lagi silau. Gedegang!


Ridhwan Saidi