Rabu, Disember 17, 2008

Kertas dan Dakwat

Anekdot ini berlaku sewaktu minggu pilihanraya antara fakulti bagi memilih wakil pelajar. Kononnya la. Kami waktu itu masih lagi wajib memiliki kad matrik, kalaupun amat jarang dipakai. Kami, saya dan Jhebat, duduk berborak di tepi koridor, sehinggalah ditegur oleh seorang pensyarah yang kebetulan lalu di situ.

“Eh, ni dah pergi mengundi ke belum?”

Kami hanya tersenyum simpul, signal terang bahawa kami belum lagi mengundi. Dan beliau, si pensyarah, terus berlalu.

Selang beberapa minit kemudian, beliau muncul lagi. Kami masih lagi asyik bersembang tentang betapa pentingnya Naib Cancelor kami ditendang, atau disedekahkan wang pencen. Jelas sekali, kami tak memerlukan seorang ’Hero Tamil’ sebagai ketua kami di universiti. Kami hanya berahikan sosok yang rugged sebagai Naib Cancelor. Bukan ‘stylo’ bodoh atau nasionalis bangsa yang poyo. Dan beliau, si pensyarah yang masih bujang ini, lalu bertanya lagi;

“Eh, ni tak mengundi lagi ke? Baik pergi undi. Kalau tak, nanti nama naik atas..“

Kami hanya terbius seketika. Bukan cuak, tapi tak tahu nak respon macam mana. Apa yang pasti, kami bukan sekadar belum mengundi, tapi sebenarnya kami memang tak ’hingin’ mengundi! Gertak-gertak ’nanti nama naik atas’ jika tak mengundi, langsung gagal menggigilkan kepala lutut kami. Ini hanya bentuk ancaman yang sesuai untuk menakutkan murid darjah dua di bangku sekolah rendah. Bagi kami, ini hanya low class comedy, lawak kelas rendah.

Atau memang, bak kata hot chicks, eeei..takde class!

Secara peribadi pula, saya mengambil sikap sedemikian dengan bersebab. Ini kerana saya tak mahu kelihatan seperti manusia tolol yang tak tahu menahu atau tiada idea dengan setiap perbuatan yang dilakukan. Ini kerana apa, kerana setiap perbuatan atau tindakan yang kita lakukan perlulah datang dengan kesedaran yang tulen, dan barulah segala yang dilakukan itu betul-betul wujud dan bermakna. Namun, sekiranya apa-apa yang dibuat itu adalah tanpa kesedaran atau secara subconscious, saya kira, perilaku kita itu tidak betul-betul bermakna atau tak wujud langsung. Melakukan sesuatu di luar daerah kesedaran secara sengaja ini adalah kerja bodoh. Bahkan pada saya, wujudiah mesti datang dengan kesedaran, dan kesedaran pula hanya mampu lahir dari akal fikiran yang rasional. (Sebabnya ada diterangkan dihujung karangan nanti.)

Lagi satu, saya memilih jalur pendirian untuk tak mengundi, dan mungkin tak akan mengundi sampai mati. Baik di universiti, atau luar universiti. Asasnya ialah, saya seorang libertarian yang berasa rimas dan leceh untuk memimpin dan dipimpin. Tapi saya cukup percaya kepada konsep bantu-membantu, musyawarah, bekerjasama, sikap toleransi dan saling faham-memahami sesama manusia.

Seingat saya, kali terakhir saya dipimpin ialah ketika umur saya 11 tahun. Waktu itu, saya dipimpin oleh abah saya untuk melintas jalanraya yang sibuk. Sekarang, saya sudah besar panjang, jadi saya rasa saya sudah mampu berfikir secara waras dan rasional serta cukup tahu menjaga diri sendiri. Jadi, saya sudah tak memerlukan sesiapa lagi untuk memimpin saya ketika melintas jalanraya. Hanya perlu toleh ke kiri dua kali, ke kanan sekali, dah memadai.

Oh, saya juga seorang rasionalist, by the way, despite suka berloyar buruk.

Dan baru-baru ini, saya telah bersembang bukan dengan Jhebat, tetapi dengan rakan serumah yang belum ‘membuang’ kad matriknya ke dalam longkang. Beliau, rakan serumah saya ini mengeluh tentang nasibnya di semester mendatang.

Sebelum ini, para pelajar di bekas fakulti saya dibekalkan dengan kemudahan plotter secara percuma. Bagi yang masih jahil, plotter ini ialah mesin fotostat gergasi, digunakan untuk mencetak kertas-kertas bersaiz gajah. Kemudahan ini amat penting bagi pelajar-pelajar senibina. Paling ketara, saya berani berkata hanya inilah saja sumbangan yang paling ’mulia’ yang telah disediakan oleh pihak universiti kepada pelajar senibina. Perpustakaan, saya rasa biasa. Di Fakulti Pengurusan Pejabat (OM) pun ada perpustakaan, saya rasa.

Jadi, menurut rakan saya ini, yang masih lagi dalam cuti, mulai semester akan datang, kemudahan plotter ini akan ditarik balik. Bukan plotter yang ditarik balik, bahkan plotter yang ditarik ke belakang boleh disondol semula ke depan. Tapi masalahnya, yang ditarik ini ialah ’percuma.’ ’Percuma’ ini akan ditarik balik atas alasan banyak berlaku pembaziran kertas dan dakwat oleh pelajar. Dakwaan ini, menurut rakan saya, dibuat oleh pihak kakitangan sokongan fakulti. Lalu ’percuma’ ini akan ditukar-ganti dengan ’wang.’

Ada beberapa perkara pelik lagi memelikkan di sini. Pertama, apahal pihak staf mahu sibuk-sibuk tentang hal ’pembaziran’ pula, sedangkan kos produksi plotter tak ditanggung oleh nenek moyang mereka? Kos selenggara, termasuk kos kertas dan dakwat, logiknya ditanggung oleh universiti yang disalur kepada pihak fakulti. Dan universiti awam, seperti tempat rakan saya ini cuba mendapatkan kertas ijazah, adalah hak milik kerajaan. Hak milik kerajaan bererti, universiti ini mendapat dana dari cukai yang dikutip oleh pemerintah yang dilantik oleh rakyat. Cukai dikutip dari rakyat, rakyat yang membentuk kerajaan, kita semua adalah rakyat, dan bila kerajaan membina universiti, maka universiti awam ini adalah milik kita semua.

Justeru, tak seharusnya timbul gesaan melupuskan kemudahan percuma ini, kerana setiap warganegara menanggung kos dakwat dan kertas, bukan emak bapak atau nenek moyang para staf universiti saja. Lagi satu yang lawak, bayaran akan dikenakan bertujuan menanggung kos kerja over time budak penjaga bilik plotter. Hahaha! Staf universiti kerja lebih masa sebab ramai student yang plot drawings, upahnya student yang kena bayar?! Universiti takde duit ke? Tak pernah dibuat dek mana-mana univerisiti kat dunia ni. Memang klasik!

Lagipun, berapa sen lah sangat ’pembaziran’ duit rakyat ini, hanya untuk biaya kertas dan dakwat serta upah over time seorang pekerja kalau nak dibanding kerja bodoh membina studio filem E-Village di Dengkil yang akhirnya dipenuhi semak samun? Mana perginya Jackie Chan? Oleh itu, jangan pula ada ’samdol’ yang berani berkata bahawa universiti tiada peruntukan. Itu tipu. (Ini samalah juga halnya dengan tol. Kita boleh buat jalan guna duit sendiri melalui cukai, siap bayar cukai jalan lagi, tapi akhir sekali kena juga bayar tol sebab yang bikin jalan ialah syarikat konsesi kroni. Berapa banyak bayar daa...)

Jika dilihat dari konteks yang lebih luas, saya merasakan bahawa kemudahan plotter percuma bagi kegunaan ramai ini adalah satu sikap sosialis yang cukup kental lagi mulia. Ia adalah satu aplikasi konsep sosialis dalam skala kecil yang mana semua warga fakulti berhak mengguna-pakai kemudahan percuma ini.

Kita perlu sedar bahawa tak semua warga kaya raya. Apatah lagi insan-insan yang berstatus pelajar. Bagi yang memang berkemampuan, ini mungkin bukan masalah. Tapi jika kamu benar-benar manusia prihatin, hal ini seharusnya jadi suatu masalah yang dikongsi bersama, seperti mana penduduk Bukit Antarabangsa yang turut diberi bantuan ketika ditimpa bencana. Takpun, lihat saja semangat soladiriti yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar di Greece baru-baru ini.

Dengan menukar status plotter percuma ini kepada ’berbayar’, ia bererti satu lagi unsur kapitalisma telah menyerap masuk ke dalam universiti awam kita. Tak jauh bezanya dengan kemudahan elektrik yang sepatutnya milik negara tapi sudah diswastakan, hinggakan bantuan ambulans pun diniagakan.

Yang kedua, sejak saya di Perak lagi, bekas universiti saya ini mempunyai ’hobi’ untuk memperleceh pelajar. Yang berkuasa ialah kakitangan universiti termasuk ’pak guard.’ Mereka saja yang menentukan hala tuju universiti bukan pelajar. Pelajar hanya jadi pak turut atau kaki bodek kepada pensyarah sebelum jadi tukang kipas apabila bekerja. Sedangkan yang sebetulnya, universiti adalah hak mutlak pelajar dan sepatutnya menjadi gedung perkembangan ilmu dengan kemunculan idea-idea baru. Sebaliknya yang terjadi, daya fikir para pelajar dijerut dengan tali leher di tengah bahang matahari.

Pernah sekali terjadi, ketika di Perak, kami diarahkan mengosongkan bilik asrama sewaktu cuti semester yang pendek. Atas sebab, bilik asrama kami akan digunakan oleh pihak luar. Arahan ini dibuat tanpa perbincangan langsung dengan wakil pelajar. Akhirnya kami, pelajar hanya jadi ’pak turut.’ Pihak universiti kami langsung tak memikirkan kesulitan yang bakal dialami oleh mereka yang tinggal jauh dari Perak, seperti yang tinggal di Perlis, Kelantan, Melaka, Johor, apatah lagi di Sabah dan Sarawak. Sampaikan ada sesetengah pelajar yang tingal jauh ini terpaksa menumpangkan barang-barangnya di rumah keluarga rakan yang tinggal di Perak. Kes plotter ini pun dikhabarkan sama, iaitu kemudahan percuma ini akan ditarik balik tanpa perbincangan dengan pihak yang menggunakannya terlebih dahulu, iaitu pihak pelajar itu sendiri! Kata kuncinya ialah ’perbincangan.’ Yang menentukan segalanya ialah pihak staf universiti!

Dan perkara yang ketiga, saya ingin bertanya pula kepada MPP, Majlis Pewakilan Pelajar, hoi, kamu semua tak buat kerja ke? Waktu pilihanraya universiti, bukan main lagi, manifesto la, kempen la, perjuang nasib student la, tapi itu semua hampeh, hanya janji kosong di atas kertas fotostat yang digantung dengan tali rafia. Masing-masing hanya pandai jual muka karisma, tapi yang sebenarnya hampas. Yang perempuan boleh menang bukan sebab betul-betul berkepimpinan, tapi asal muka nampak MACAM cantik dengan gaya wanita solehah dan yang lelaki pula, asal badan nampak sasa walhal hanya lemak yang berkepal-kepal.

Sepatutnya kamu la, budak MPP, yang pergi bersuara. Ini la kerja kamu dol! Ini tidak! Ke mana kamu semua menikus waktu cadangan bodoh ini sedang diwar-warkan? Kenapa tak dibuat bantahan? Atau paling remeh pun, dibawa ke meja rundingan? Nak jawatan sebab apa? Sebab boleh dapat lebih banyak kemudahan untuk diri sendiri ke? Mana perginya janji-janji kamu dulu masa ‘bermanifesto’, sibuk berkempen? Tak ubah macam politikus penipu! Kamu, budak MPP hanya berjaya membuatkan saya meneka yang kamu mungkin bakal jadi pemimpin penipu masa hadapan. Inilah yang dinamakan ‘janji pilihanraya,’ yakni janji-janji kosong seumpama orang bercinta yang tak mampu memenuhi janji-janji manis mereka.

Ha, sebab itulah saya tak mahu jadi orang tolol, mengundi tapi tiada apa-apa faedah, tiada makna. Saya rasakan seperti MPP ini tak wujud langsung pun tak mengapa, kerana sepanjang saya bergelar ‘mahasiswa’, saya tak pernah merasakan yang mereka ini, MPP, benar-benar wujud. Ia hanya sandiwara dari para boneka yang cuba membuktikan bahawa universiti ini ‘hidup sihat.’


Mohd Ikhwan Abu Bakar