Selasa, Disember 16, 2008

Hujanpanas

Bila saya diletakkan di dalam ruang berhawa dingin, saya tanpa semena-mena akan sakit. Selsema, bersin, sakit kepala, pening, demam dan seumpamanya. Saya rasa, saya telah dedikasikan diri saya kepada nikmat hujan dan panas 100%; bukannya cuaca buatan, artificial, superficial, fake, pura-pura, atau hipokrit.

(Di negara paling hipokrit ini saya sedar, ramai yang mengaku tidak hipokrit dan suka tuduh orang hipokrit.)

Dingin hujan ini percuma, begitu juga sinar matahari. Cahaya percuma ini sepatutnya ditapis mengikut keperluan sesuatu ruang itu. Dengan menapis apa yang perlu, secara tak langsung kita akan bersimbiosis dengan alam. Alam beri, kita ambil apa yang perlu mengikut kesesuaian ruang. Kita diberi cahaya, haba, pemandangan, hujan, angin, serangga, dan lain-lain. Pilih saja yang mana mahu. Ini dinamakan sistem terbuka. Ia boleh dianalogikan seperti tudung saji (lalat ditapis, tapi pengudaraan masih ada.)

Sistem tertutup pula, seperti namanya, adalah ibarat sebuah kotak di mana ia memutuskan sebarang ikatan dengan alam. Umpama biosphere, ia akan bina ekosistem artifial-nya yang tersendiri. Contoh mudah, pusat membeli-belah, pejabat, dan hampir semua kereta yang ada di luar sana. Ia dihawadinginkan. Ini boleh dianalogikan seperti peti sejuk. Sejuk di dalam tanpa ada kaitan dengan apa-apa yang terjadi di luar.

Sebab itu kadang-kadang, di pusat membeli belah, kamu akan leka dengan apa yang terjadi di dunia sebenar. Siang? Malam? Hujan? Ribut? Kiamat? Kamu tidak tahu. Bukan menghayati alam sebaliknya iklan.

(Tentu menarik bikin montaj umat manusia sedang khusyuk beli-belah sedangkan di luar matahari terbit dari barat.)

Disebabkan kononnya Bin Filem ini tulis pasal filem, di sini ingin saya sentuh tentang ruang pawagam. Sekarang ruang ini sedikit istimewa bukan? Ia memang tidak memerlukan cahaya matahari kerana fungsinya. Tapi hairannya, mengikut pengalaman saya yang bukan kaki wayang ini. Penghawa dingin ini sentiasa dibuka pada kadar maksimum yakni bagai satu panggung itu penuh. Kalau saya menonton filem tak laku sorang-sorang, saya boleh mati kesejukan.

Fungsi penghawa dingin ini untuk capai keselesaan manusia (human comfort.) Jika saya tidak selesa, maka ia telah disalahgunakan (atau mungkin saya tidak cukup ‘manusia’?) Penghawa dingin di pawagam ini bagi saya sepatutnya digunapakai untuk meneutralkan haba-haba yang dilepaskan tubuh penonton. Lagi ramai lagi sejuk ya. Tapi kalau saya seorang, nak menanggung kesejukan untuk satu panggung, ini tidak betul.

Mungkin anda benci cuaca panas dan hujan di negara kita. Penghawa dingin best (salji itu syurga.) Tapi ingat, seolah peti sejuk, walaupun sejuk di dalam, tapi kondensernya akan bebaskan haba ke ‘dunia luar’. Sekarang cuba kira, bukan berapa banyak peti sejuk, tapi berapa banyak bangunan-bangunan berhawa dingin di luar sana. Setiap bangunan ini akan bebaskan haba pada kadar yang sangat luar biasa. Sebab itu anda rasa panas, bahang bukan sebab matahari tapi sebab dunia ciptaan anda sendiri (dunia olok-olok.)

Pabila kita bebaskan haba melalui penghawa dingin, ini satu hal. Satu hal lagi, tanah dan hutan kita dirogol sesuka hati, development diraikan atas nama kemajuan. Tanpa bentuk muka bumi asal, PELUANG alam untuk neutralkan kepanasan/kehancuran yang kita jayakan ke atas planet ini tipis, kosong, sifar (klik sini.)

Dulu kala, rumah di kampong-kampong yang kamu gelar ‘senibina melayu’. Mereka-mereka ini bikin rumah sebegitu rupa bukan sebab mereka ‘melayu’, tapi sebaliknya mereka bertindakbalas terhadap alam (cuaca dan persekitaran,) menghormati alam sebagai manusia. Dari alam kepada alam. Sustainable design.

(Manusia sepatutnya sebahagian daripada alam, tapi kini, mengecewakan, mereka bina dunia sendiri, syurga sendiri. Dasar lupa daratan.)

Bagi saya penghawa dingin ini ibarat narkotik. Kamu akan lalai, leka, khayal, alpa, lupa, lapar. Beli, beli, beli. Makan, makan, makan. Consume, consume, consume. Warna korporat sana, warna korporat sini. Iklan sana, iklan sini.

Saya? Saya sihat walafiat di luar sini.


Ridhwan Saidi

p/s: Selagi 'fashion designer' di negara kita berteraskan musim panas/sejuk (summer/winter,) selagi itu mereka diambang hipokrasi.