Selasa, Disember 09, 2008

Amaran Terakhir

Selama dua tiga hari ini, kita disajikan dengan berita keruntuhan tanah di sebuah bukit, di pinggir Kuala Lumpur. Tidak seperti berita keruntuhan moral yang meledak hampir setiap hari, berita keruntuhan tanah ini jarang sekali muncul, hanya sekali-sekala. Lazimnya, berita atau peristiwa yang sekali-sekala inilah yang lebih mengancam dan menghairahkan naluri ingin tahu di kalangan kita semua.

Namun berita kali ini, bagi saya, walaupun satu tragedi yang agak menggemparkan, tidaklah pula ia menyayat hati saya. Sejujurnya, di sebalik rasa sedikit simpati kepada keluarga si mati, yang seramai empat orang itu, setakat tulisan ini ditulis, saya berasa agak ’gembira.’

Ya, pasti ada yang beranggapan saya ini kejam orangnya. Atau tiada perasaan ‘ehsan’ sesama manusia. Ataupun gila. Tapi, saya tak peduli, malah akan saya jelaskan sedikit di sini.

Sebagai insan yang cintakan alam sekitar, saya melihat tragedi dahsyat ini sebagai balasan ’alam’ kepada manusia. Manusia yang menumpang mendiami alam ini, jadi rakus apabila dilimpahi sedikit kekayaan kepadanya.

Agak sukar hati saya untuk melahirkan rasa simpati melihat kesulitan yang dialami oleh mangsa-mangsa tragedi tanah runtuh ini. Mereka yang kebanyakannya berduit banyak ini, ingin bermegah-megah mendirikan mahligai di lereng-lereng bukit, tanpa memperdulikan sebarang implikasinya kepada alam. Lalu, bukit-bukit digondol, ditoreh, ditobek sebagai memenuhi keserakahan nafsu untuk menunjuk-nunjuk.

Apakah mereka ini lupa, negara ini menerima hujan sepanjang tahun? Apa signifikannya hujan sepanjang tahun dengan permasalahan tanah ruhtuh ini? Tak lain tak bukan ialah apabila negara ini menerima julat hujan yang banyak, maka aliran air bawah tanah juga pasti banyak dan lebih deras. Apabila aliran air bawah tanah ini deras, maka tak dapat tidak struktur mahligai-mahligai yang dibina dilereng-lereng bukit ini mula goyah.

Tetapi, tragedi yang berlaku Sabtu lalu bukan disebabkan struktur bangunan yang runtuh, sebaliknya rumah-rumah banglo ini ranap ’dihempap’ runtuhan tanah. Ini tandanya, tanah di kawasan bukit itu sendiri sudah tak stabil akibat menyerap terlalu banyak air, sempena musim hujan semenjak dua menjak ini.

Bagaimana pula rumah-rumah boleh diluluskan untuk dibina di sekitar bukit itu, sedangkan jika diamat-amati lereng-lereng bukit itu sendiri kelihatan curam? Apakah tiada penguatkuasaan undang-undang? Atau undang-undang selayaknya hanya untuk menjerut si miskin, sementelah bagi yang berada, undang-undang itu boleh dijual-beli?

Di tempat saya menjual tenaga sekarang ini pun, terdapat sebuah projek dalam peringkat perancangan yang sehingga saat ini ditangguhkan. Projek yang saya maksudkan ini ialah projek pembinaan sebuah hotel di lereng bukit yang bertempat di Cameron Highland, Pahang.

Agak memelikkan, alasan projek hotel ditangguhkan ialah kerana setiap projek di kawasan bukit Cameron Highland ini memerlukan lampu hijau dari Perdana Menteri. Ini bermakna keputusan kelulusan projek ini terletak sepenuhnya di tangan bapa Nori.

Soalnya, mengapa sampai begitu sekali? Apakah tiada badan atau panel bebas yang boleh menentukan atau membuat penilaian sewajarnya sama ada projek boleh diteruskan ataupun tidak? Apakah jika klien yang membuat pemohonan kelulusan projek ini ada kena mengena dengan PM, maka projek ini berkemungkinan dibatalkan? Atau sebaliknya?

Jika projek ini diluluskan juga, mungkin majikan saya insan yang paling gembira. Namun, disebalik kegembiraan manusia, sebahagian lagi alam yang rosak binasa. Dalam proposal hotel ini, jelas, satu lagi bukit akan ditarah, disodok dan dirodok jentera ganas, bukan sekadar untuk menanam tiang cerucuk, tapi bagi menyediakan ruang basement bertingkat-tingkat, buat menyusun dan menyorokkan motokar bakal penghuni hotel ini kelak.

Sebelum ini, saya pernah terbaca tentang perkembangan urbaniti di kota Amsterdam, Belanda. Kota ini adalah kota yang kedudukannya berada di bawah paras air laut. Maknanya, bila-bila masa Amsterdam boleh ditenggelami air. Kerana itu, Amsterdam pernah menjadi pusat pendaratan ikan antara yang terpenting di benua Eropah pada suatu ketika.

Akibat kekerapan dilanda bah, maka struktur perbandaran kota Amsterdam mengalami evolusinya untuk beberapa dekad. Ini termasuklah perpindahan golongan kaya yang menghuni Amsterdam, yang saya tak ingat bilakah waktu sebenarnya, ke kawasan bukit bagi mengatasi masalah kediaman ditenggelami air.

Saya lihat, berbeza dengan penghuni bukit di negara ini, perpindahan golongan borjuis Amsterdam ini adalah satu perpindahan yang jujur dan rasional. Bukan bertujuan memperaga kemegahan semata-mata. Bonus untuk mereka, bumi Eropah tidak menerima hujan sepanjang tahun seperti di sini.

Jangan kita mudah lupa, suatu masa dahulu, pada zaman Rasul Allah Nuh, selepas bumi habis digenangi air bah yang paling dasyat, bahtera agung yang dinaiki Nuh bersama para pengikutnya serta haiwan-haiwan yang berpasang-pasangan telah tersadai di Bukit Judi. Rasionalnya peristiwa penting ini lebih kurang sama dengan penghijrahan golongan kaya kota Amsterdam dari lembah ke kawasan tinggi, yang bertujuan mengelak banjir, bukan sekadar bermegah-megah.

Dan dalam keriuhan kita menyaksikan tragedi kemusnahan rumah-rumah banglo ini, yang dimusnahkan kejadian alam, jangan pula kita lupakan juga, beberapa bulan yang lalu, di Plentong, Johor Bahru, berpuluh-puluh rumah peneroka bandar telah dimusnahkan secara rakus, atas nama kekuasaan orang-orang yang berkuasa.

Mungkin kejadian tanah runtuh ini adalah ‘pembelaan’ alam kepada manusia yang rumahnya disodok traktor itu, malah, mungkin saja ia amaran terakhir alam kepada manusia-manusia durjana.


Mohd Ikhwan Abu Bakar