Sabtu, Julai 19, 2008

Hobi Suci

Ya. Hobi suci.

Tapi bukanlah bermakna hobi ini akan memangkin peluang saya untuk ke Firdausi (walaupun ianya hobi yang cukup bermanfaat bagi saya). Saya memanggilnya 'hobi suci' kerana rasa suka padanya datang dari dalam diri saya sendiri, bukan didesak-desak, dipupuk-pupuk atau didorong siapa-siapa. Ianya 'purest interest'. Hobi saya yang suci murni itu adalah filem.

Saya masih ingat waktu-waktu kecil saya, dalam lingkungan umur 5-8 tahun, saya mempunyai kesanggupan untuk berjaga pada waktu tengah malam, tidak memperdulikan ketakutan sebagai seorang kanak-kanak pada kegelapan, kesunyian serta delusi pada hantu syaitan. Kesanggupan saya itu hanyalah semata-mata untuk menonton filem larut malam. Pada saya, kesanggupan itu agak besar bagi seorang anak kecil.

Saya adalah anak kampung. Di kampung pada waktu itu agak susah untuk mendapat siaran televisyen yang jelas melainkan RTM. Saya masih ingat lagi pada waktu tengah malam slotnya selalu diisi dengan filem-filem lelucon Indonesia & cerita koboi Amerika. Saya masih ingat juga cerita-cerita lelucon Indonesia itu dimuatkan dalam slot 'Dari Seberang' & apabila menonton filem-filem koboi saya terpaksa memperlahankan bunyi televisyen kerana tidak mahu arwah datuk saya mendengar bunyi tembakan. Kadangkala pada waktu itu ada juga ditayangkan filem-filem seram. Namun saya belum mempunyai kekuatan untuk menonton genre sebegitu sebagai anak kecil, di waktu malam, keseorangan.

Pada waktu itu,datuk yang tinggal bersamalah yang menjaga saya. Semestinya, saya mengenang beliau juga apabila saya teringat permulaan obsesi saya pada filem. Tidak hairanlah air mata saya bergenang apabila menonton "Cinema Paradiso" buat kali pertama. Sayalah si Toto & beliau penjaga mesin projektor yang garang tetapi penyayang. Ya, saya sangat sentimental orangnya. Sebahagian besar sifat itu terbina setelah kerap kali menonton filem.

Kekerapan menonton filem juga telah membina sifat-sifat saya yang lain. Sinis, manis, tenang & garang (kononnya) digilap garap dari pemerhatian pada watak-watak di dalam filem. Saya pernah mencuba menjadi De niro apabila bertelagah & menjadi semanis Matthew McConaughey apabila berbicara dengan gadis. Saya juga melihat filem memberikan pemahaman terhadap banyak perkara. Saya lebih memahami budaya, politik & tatacara masyarakat dengan filem (walaupun bukan semuanya saya fahami).

Akhirnya,pada waktu ini, kesunyian & kegelapan malam bukan lagi menjadi ketakutan untuk saya menikmati tontonan apa-apa genre filem sekalipun. Mungkin kerana saya sudah menjadi laki-laki dewasa yang penuh berani di dada, ataupun, setelah menonton filem 'Mat Sentol', mungkin saya telah menganggap kehadiran apa-apa yang luar biasa & sepatutnya menakutkan adalah hanya satu bentuk surealisme.= )


Hazimin Hussein