Isnin, November 07, 2022

Berahi Dalam Teater Lokal

Berahi boleh datang dalam dua bentuk: 1. ia terbenam di dalam play itu sendiri, di dalam naratif, dan 2. ia datang sebagai daya, oleh pelakon/penari/performer, sebagai satu bentuk sexual drive. Saya akan berikan tiga/empat contoh play yang saya tonton dalam menjelaskan dua unsur berahi yang boleh muncul di atas pentas.

Saya tonton THE LOVER tulisan Harold Pinter, arahan Shahrul Mizad sewaktu penilaian Fatimah Zahari (aktor yang kemudian saya kenal via Jejak Tabi, apabila Fatimah membaca skrip Kurator Dapur, Teater Modular.) Ia jelas kepada saya bahawa seluruh play ini ialah satu bentuk sexual power play, di mana role-playing diperlukan dalam menghangatkan kembali hubungan suami isteri yang dingin. Ia tidak literal, tetapi terbenam di dalam.

THE LOVER dalam bahasa Melayu yang saya tonton ini contoh play di mana berahi itu hadir dalam naratif (sebagai subteks), tetapi tiada sexual drive dimunculkan oleh aktor, sebab ia akan jadi redundant, sebaliknya mereka bermain mata dan berguling-guling ala filem Hindustan untuk larikan titik fokus terhadap elemen berahi ini kepada sesuatu yang lebih fantastik dalam skala domestik. Ini apa yang saya tangkap dari apa yang dipentaskan, saya belum pernah baca naskhah asal.

Untuk contoh bentuk kedua pula akan saya pilih SKIN & FLOWERS: IN TEND(ER) oleh Veshalini Naidu, kolaborasi bersama beberapa orang, tetapi dua performer yang akan keluarkan sexual drive ini ialah Hannan Barakbah dan Theyvapaalan Jayaratnam. Keinginan dan desire ini ketara (buat mereka yang menonton), meski teks persembahannya (barangkali) lebih berfokus kepada seksualiti. Ada garis di sini. Seksualiti lebih political in nature, manakala berahi yang ingin saya sentuh pula lebih kepada primordial instinct. Oleh sebab seksualiti ini politikal, maka ia guna fakulti intelek, manakala dengan berahi pula kita tidak perlu terlalu berfikir. Jadi perlu jelas di sini bila saya guna berahi, yang saya maksudkan ialah fakulti yang bukan fikiran/akal/intelek dan bukan juga hati/jiwa/perasaan, tetapi naluri kebinatangan yang terletak pada alat kelamin kita. Politik identiti, seksualiti, semua ini terletak di aras fikiran/akal/intelek. Begitu juga dengan sexual harassment, domestic abuse, dan isu-isu sosial yang lebih politikal sifatnya, maka paling mudah bila saya guna berahi, saya memaksudkan seks sebagai nikmat hidup (joy of life), sebelum ia jadi problematik.

Lagi satu play di mana berahi hadir sebagai daya ialah piece Nana dalam THE HUMAN EXHIBIT: MENTAL HEALTH, di mana kain pelikat, batik, kamera dan dildo strap bagai muncul dalam persembahan, tetapi kali ini ia puitis dan politikal. Posisi seksual antara suami dan isteri dijungkir balik seraya Nana bermonolog tentang Tun Fatimah dan srikandi Melayu (antaranya seingat saya). Biarpun sekejap, ia beri kesan mendalam. Ruang performans dalam stor bawah tangga (3 kaki lebar) ini kecil dan sempit tapi besar rengkuhannya.

Ini akan membawa kita kepada contoh play terakhir iaitu A TALE OF STAR-CROSSED LOVERS arahan Lee Swee Keong dengan lima aktor Lim Soon Heng, Lim Kien Lee, Hana Nadira, Zul Zamir, Sandee Chew dan dua penari Cahyo Sandhidea dan Selvia Arbella. 

A TALE OF STAR-CROSSED LOVERS pamerkan kedua-dua bentuk: berahi terbenam dalam play dan juga diberikan daya oleh para aktor. Play ini diinspirasi teks Romeo and Juliet oleh William Shakespeare, tetapi dipaparkan persis scene study. Adegan-adegannya tidak dijalin secara koheren. Ia ambil bentuk dream logic, atau bak bahasa pasar: ia abstrak.

Play ini tidak propel ke depan secara naratif, kita disoriented dan disengaged, tidak tahu kita di scene apa, dan apatah lagi kita tidak tahu siapa Romeo dan siapa Juliet (kerana ia berubah dari satu aktor ke satu aktor.) Kata-kata Shakespeare hilang makna, dan tinggal bunyi, walau bagaimanapun, lebih lanjut saya dapati kata-kata sendiri tenggelam dan tidak membantu naratif (ia barangkali membantu aktor, tetapi bukan naratif). Malah muzik lebih digunakan dalam menguatkan scene, cuma pada telinga saya pilihan muziknya tidak kena. Ia terlalu Eurocentric dan melodik dengan muzik rakaman orkestra (salah satunya oleh Claude Debussy), ia terlalu Barat dan berat (untuk adegan dengan emosi yang ringan). KeBaratan ini aneh, ditambah dengan kata-kata Shakespeare era Elizabethan dalam loghat Malaysian-English, ditambah dengan bahasa dan tarian Jawa, ia penuh dengan keasingan dan suatu pertembungan yang membingungkan.

Ia bermula dengan banyak kata-kata Shakespeare di awal kisah, dan semakin lama semakin kurang, dan kita ditinggalkan dengan elemen visual. Tidak dinafikan secara visual ia kuat dan ada sesuatu berlaku, cuma apabila ia tidak disokong oleh elemen lain, seperti muzik (yang pada saya tidak cocok), dan naratif yang koheren, maka yang tinggal cuma lakonan. Dan aksi terkuat biasanya berlaku bila para pelakon berada dalam posisi kaku atau sedang berjalan (tanpa bercakap).

Kendatipun play ini tidak koheren, tetapi jika kita lihat secara jauh, play ini sebenarnya sedang berusaha mengabaikan kata-kata. Kata-kata ialah antagonis dalam play ini. Kata-kata dilafazkan secara banyak, dan tidak dimainkan, malah ia sukar untuk kita faham apa yang dicakap. Ia hanya dirasai bila kata-kata itu tinggal bunyi seperti wailing dan moaning (dalam konteks kesengsaran mental dan juga nikmat berahi).

Saya akan kongsikan beberapa adegan yang bawa semangat berahi. Di awal kisah ada adegan Sandee jatuh dan terbaring di lantai dikepung oleh Kien Lee, Zul Zamir dan Hana Nadira. Mulanya saya rasa ia tentang power, tapi selepas didedahkan dengan adegan-adegan lain selepas itu yang ketara berbaur seksual, pemahaman saya terhadap scene awal berubah dan kini saya lihat ada gaze dan daya masochism tertanam. Antaranya ada aksi dressing dan undressing, foot & stocking fetish, blindfolded, bondage dan onani yoni dengan kepala sebagai linggam (seraya melafazkan ayat-ayat Shakespeare umpama mantera).

Sama ada sedar atau tidak, performer sedang memberikan sexual drive kepada play yang asalnya tragedi cinta remaja ini. Play ini lebih bermain dengan intuisi, imej visual (imaginasi) dan naluri primordial berbanding mendalami kata-kata dan naratif. Kata-kata Shakespeare dan naratif Romeo and Juliet sekadar menjadi pakej luaran. Pisau Juliet di Verona dihulur Rama dari Jawa... geram je kita!


Ridhwan Saidi
p/s: Tulisan ini telah ditulis pada November 2018 dan hanya diterbitkan kini empat tahun kemudiannya.

Rabu, November 02, 2022

Tentang ‘Bangsawan Gemala Malam’

Saya terdedah lewat dengan karya-karya Shakespeare, dalam erti kata selepas menceburi teater baru saya mula merajinkan diri baca beberapa play beliau dan pergi menonton teater lokal yang terkait dengan nama Shakespeare (selain produksi online yang ditayangkan sewaktu pandemik itu hari). Yang bawa maksud, sewaktu sekolah saya tak ada pendedahan langsung (selain apa yang sudah terserap ke budaya popular).

Sebelum Bangsawan Gemala Malam ini saya sudah terjemah dan direct Hamlet Fansuri iaitu adaptasi naskah Hamlet ke dunia nusantara dengan selingan puisi Hamzah Fansuri di dalamnya (kedua-dua orang ini hidup sezaman, tapi di tempat berbeza). Dalam kes ini, selaku pengarah saya ada potong dan ubah sekuens adegan untuk kasi ia lebih mengalir seperti membuang kemunculan watak Rosencrantz dan Guildenstern antaranya. Adegan dipotong sebab ia jadi tak seimbang bila ditambah sesi buka panggung yang diberi nama Ophelia Maldoror.

Segmen buka panggung ini merupakan alam selepas mati dan memori Ophelia yang diterjemah dan diolah daripada puisi Comte de Lautréamont. Ia segmen yang dark dan ganas bagi suara wanita yang tertindas di dalam play asal.

Saya sedar bahawa sewaktu di zaman Shakespeare setiap watak perempuan dimainkan oleh laki-laki. Ophelia dimainkan oleh lelaki. Di dalam Bangsawan Gemala Malam kita gelak bila watak Thisbe dimainkan oleh lelaki, tetapi sewaktu di zaman Shakespeare dulu, yang main watak Hermia, Helena, Hippolyta dan Titania semua lelaki. Ia ada vibe yang berbeza, dan oleh kerana situasi hari ini semua orang boleh perform dalam teater, maka sebab itu saya ubah Hamlet saya agar ada suara lebih buat Ophelia sebab ia antara watak yang paling kompleks dalam Hamlet tapi tak bersuara.

Pendek kata saya gunakan lesen kreatif dengan mengubah bentuk naskah asal kepada sesuatu yang lebih dekat dengan diri saya. Tapi ini berbeza dengan Bangsawan Gemala Malam di mana saya ambil keputusan untuk tak olah apa-apa sangat. Kalau ada tukar pun ia di dalam baris ayat secara halus, dan bukan form-nya.

Sewaktu mula-mula di-approach SIFA (sesi perkenalan online bersama Natalie Hennedige oleh Fezhah Maznan), dan lalu untuk mengerjakannya bersama Teater Ekamatra, saya ada terfikir untuk bikin ia ada error atas error. Yang bawa maksud watak Puck/Kelembai ini akan tersilap bubuh madu sakti. Misal kata sepatutnya Lisander, tapi dia terbubuh ke Hermia, dan lalu Helena atau Lisander yang jadi orang pertama dilihat Hermia. Ia akan jadi jenaka dalaman buat mereka yang familiar dengan A Midsummer Night’s Dream. Cuma masalahnya saya tak familiar dengan play ini untuk bertindak sebegitu rupa, malah Bangsawan Gemala Malam merupakan pengalaman teater berasaskan A Midsummer Night‘s Dream pertama yang saya tonton.

Dengan konteks ini, saya cuba ikut form asal Shakespeare ini. Meski untuk cakap ‘ikut’ ia sesuatu yang komplikated. Bahasa umpama makhluk hidup dengan sejarah dan keindahannya yang tersendiri. Bahasa Inggeris stress-timed tapi bahasa Melayu syllable-timed misalnya. Untuk terjemah adalah untuk transpose.

Saya juga guna istilah form dan bukan plot, sebab plot boleh dipinjam-pinjam. Shakepeare pun ambil plot dari orang atau cerita terdahulu, cuma dia sesuaikan ke dalam konteks budaya dengan penguasaan bahasanya. Macbeth dan Oresteia plot lebih kurang sama, tapi dengan bahasa yang berbeza. Medea cerita rakyat, tapi Euripides ambil dan olah ikut sensibility-nya.

Untuk intepret adalah untuk impose power.

Form tak boleh terpisah dari bahasa. Dan melalui form juga, saya percaya kita boleh dapat internal rhythm sesuatu karya itu. Dari rentak yang tersembunyi ini dapat saya terjemahkan ia ke dalam bahasa saya yang lebih berasaskan prosa. Saya tak rasa ia perlu berima, sebab dalam bahasa Melayu kalau nak main rima, ia kena betul-betul jadi. Kalau tak jadi ia akan jadi mengada-ngada.

Form yang saya maksudkan overall layout naskah, yang mana kalau sesuatu perkataan disebut misalnya ‘anjing‘ atau ’bulan’, ia akan muncul di beberapa tempat lain. Ia macam kabel mesin sintesis yang bertaut dari satu adegan ke satu adegan. Saya perlu aware dengan rangkaian permainan kata-kata yang berselerak tapi teratur ini oleh pengarang asal, dan dari situ saya akan buat pilihan sejauh mana saya mahu tawarkan intepretasi saya.

DEMETRIUS
I love thee not; therefore pursue me not.
Where is Lysander and fair Hermia?
The one I’ll stay; the other stayeth me.
Thou told’st me they were stol’n unto this wood,
And here am I, and wood within this wood
Because I cannot meet my Hermia.
Hence, get thee gone, and follow me no more.

HELENA
You draw me, you hard-hearted adamant!
But yet you draw not iron, for my heart Is true as steel.
Leave you your power to draw,
And I shall have no power to follow you.

DEMETRIUS
Do I entice you? Do I speak you fair?
Or rather do I not in plainest truth
Tell you I do not, nor I cannot love you?

 

DEMETRIUS
Lihat, aku tak sukakan kau, jadi jangan ikut aku lagi. Di manakah Lisander dan Hermia? Kau cakap mereka ke hutan ni. Dan di sini aku, tak menemui kekasihku Hermia. Pergi, berambus dari sini, dan berhenti ikut aku.
HELENA
You yang tarik diri I, magnet kejam! Berhenti guna daya tarikanmu dan I akan berhenti ikut you.

DEMETRIUS
Ada aku suruh kau ikut aku? Bukan ke aku dah cakap baik-baik? Aku tak mencintai diri kau?

Dalam contoh di bawah watak Helena menyamakan situasi martabat dirinya umpama anjing peliharaan Demetrius. Bahagian ini nak push betapa submisif dan terpaksanya Helena, dan saya rasa ia okay kalau yang main watak ni lelaki macam zaman Shakespeare dulu. Tapi dalam konteks Bangsawan Gemala Malam, saya ubah penggunaan kata ‘anjing’ kepada ‘kucing’. Saya rasa Helena dah cukup merendahkan martabatnya di dalam adegan yang lebih awal: Untuk menyukai seseorang yang tak menyukainya.

HELENA
And even for that do I love you the more.
I am your spaniel, and, Demetrius,
The more you beat me I will fawn on you.
Use me but as your spaniel: spurn me, strike me,
Neglect me, lose me; only give me leave
(Unworthy as I am) to follow you.
What worser place can I beg in your love
(And yet a place of high respect with me)
Than to be usèd as you use your dog?

 

HELENA
Ya, tapi itu buat I lagi sayangkan you. You kucing peliharaan I, Demetrius. Bila I usap you, you cakar, gigit dan tendang tangan I yang beri you makan, sampai luka-luka. Apa yang lebih teruk dari dilayan seperti hamba, tetapi masih aku berbangga untuk jadi hamba you.

  

Sewaktu memilih nama untuk rude mechanicals, saya nak pastikan yang Nick Bottom ni lain sikit daripada yang lain. Nama ikut hari ini mungkin bagi sesetengah orang cuma jenaka, tapi nama-nama berasaskan hari ini betul-betul wujud dari Khamis hingga ke Selasa. Ada orang nama Khamis, ada orang nama Sabtu, ada orang nama Ahad, ada orang nama Isnin dan ada orang nama Selasa. Oleh sebab rude mechanicals ini ada enam orang, satu hari saya tak pilih iaitu Jumaat (Jumaat pun ada nama orang dalam dunia sebenar, dan dalam kes play ini, saya bayangkan dia wujud tapi di kedai kopi atau pelabuhan atau sesuatu.)

Jarang untuk ada orang nama Rabu. Saya speculate ia bukan dari bahasa Arab macam nama hari lain. Hari Rabu dalam bahasa Arab (الأربعاء) jauh bunyinya dengan Rabu (berbanding hari-hari lain). Rabu dalam bahasa Melayu bermaksud paru-paru. Kembang rabu = keseronokan dan kegembiraan.

Ia hanya selepas saya tonton dua persembahan baru saya dapati antara kata-kata yang paling waras dan rasional dalam seluruh play ini, diucap sewaktu Rabu menjadi keldai.

BOTTOM
A very good piece of work, I assure you, and a
merry. Now, good Peter Quince, call forth your
actors by the scroll. Masters, spread yourselves.

 

RABU
Karya yang bagus, aku percaya, dan juga lucu. Sekarang, Isnin, sebut nama-nama pelakon yang dah tertulis. Aktor-aktor, rapatkan saf.


Sewaktu ayat ‘Aktor-aktor, rapatkan saf’ diucapkan saya nampak dua kelompok audiens. Yang gelak dan yang tak gelak. Yang gelak saya pasti kerana mereka faham bahasa Melayu. Tiada apa yang kelakar dengan ayat ini, cuma ia bikin orang geli hati sebab ia diucapkan di situasi yang barangkali mereka tak jangka. Buat mereka yang tak faham bahasa Melayu pula, sukar untuk mereka tangkap kenapa ia kelakar. Apa yang lawaknya untuk mereka beratur dalam satu barisan? Kata-kata bukan hanya apa yang tampak, tapi yang terselindung dan halimunan juga beri kesan. Susah untuk kita jelaskan apa yang lucunya dengan ayat ‘rapatkan saf’ ini buat mereka yang tak faham bahasa Melayu. Kelucuan bila dijelaskan, hilang lucunya.


Ridhwan Saidi
p/s: Bacaan lanjut dari perspektif penonton: Dreaming in Malay: Bangsawan Gemala Malam and Shakespeare’s Tropical Encounters oleh Faris Joraimi. Saya diberitahu ini merupakan tulisan tentang teater pertama beliau yang amat saya hargai, mengingatkan saya kepada tulisan Terperangkap Dalam Kontinuum Idea-Mimpi oleh Karim Mohd yang juga merupakan tulisan tentang teater pertama beliau (kalau tak silap). Dalam konteks negara Malaysia, tulisan tentang teater (dan persembahan teater!) yang baik tak cukup berleluasa.

p/p/s: Koreografi pembukaan kunang-kunang yang memulakan persembahan ini sudah set perasaan untuk kita masuk ke dunia Bangsawan Gemala Malam, kemudian di satu adegan, muzik lullaby ‘kunang-kunang’ oleh Safuan Johari tak hanya upacara menidurkan permaisuri bunian Titania, tetapi juga buat seluruh audiens yang menonton waktu itu untuk lebih tenggelam ke dalam dunia play ini. Lagu ini walaupun sekejap, masih terngiang-ngiang sampai sekarang. Turut bersyukur play ini diarahkan oleh Aidli Mosbit, sebab untuk adun Shakespeare dan Bangsawan, yang mengadunnya perlu ada pengalaman dan sensibility yang jelas tentang kedua-dua elemen Timur dan Barat ini. Kalau pengarahnya lebih Shakespeare-oriented dan sekadar tau Bangsawan secara permukaan, hasilnya akan jadi tak seimbang (begitu juga sebaliknya). Saya diceritakan Aidli Mosbit mengutip pengalaman Bangsawan dengan berlakon di bawah pimpinan Shariff Medan, selain pernah berlakon play A Midsummer Night’s Dream beberapa kali (salah satunya sebagai Titania).

Selasa, November 01, 2022

Tentang 'Ridhwan Saidi Dalam Lima Bentuk Seni'

Video-video perkongsian ini saya propose pada awal/pertengahan tahun 2021 dan ia dijangka untuk disiapkan pada tahun itu juga. Dengan situasi lockdown yang tak menentu saya propose suatu idea yang mudah untuk dihasilkan dalam skala mandiri, iaitu untuk saya berkongsi pandangan saya tentang lima bentuk seni yang terpilih.

Idea kasarnya seperti siri video Mukadimah Sinema di mana saya bercakap terus ke kamera dan berkongsi apa yang terlintas di fikiran. Ia boleh dibuat di dalam rumah seorang diri dengan kamera di atas tripod. Sewaktu menghasilkan video-video Mukadimah Sinema ia bikin gementar kerana kita tak biasa vlogging atau bercakap dengan kamera seolah ada orang yang akan menontonnya. Saya masih rasa kamera di depan saya itu cuma kamera.

Apa pun projek 'Ridhwan Saidi Dalam Lima Bentuk Seni' (RSDLBS) ini diaksikan pada awal 2022 di mana situasi semakin membolehkan kita untuk keluar. Maka saya olah idea untuk saya cakap berseorangan ke arah kamera yang statik, kepada saya cakap bersama seseorang ke arah kamera yang bergerak.

Dana Create Now 2.0 Funding Programme ini unik di mana ia membolehkan kita untuk beli equipment bagi tujuan kelangsungan seni mendatang, dan dalam projek ini, kita mendapatkan shotgun mic yang diperlukan bagi tujuan pembikinan video-video dan filem-filem mendatang.

Kini saya sudah punya kamera dan peralatan audio yang cukup bagi skala gerila untuk bikin filem, tetapi kebiasaannya bila kita sudah ada equipment, kita perlukan kesungguhan untuk terus membikin. Biasanya bila kita tiada equipment kita beriya-iya guna apa yang ada, tetapi bila barang cukup, ia jarang-jarang digunakan. Jadi jika ada peluang, saya akan guna ia sebelum teknologi sedia ada ini menjadi usang.

Sewaktu membikin filem Tiada Cinta Selama Muda, kita menggunakan kamera digital yang berusia 9-10 tahun. Di kala semua orang sudah 4k dan 8k uncompressed, kita masih shoot HD yang compressed. Saya meletakkan had untuk saya guna peralatan yang baru dibeli ini, untuk bikin filem seterusnya sebelum 5 atau 10 tahun mendatang. Ideanya adalah untuk elak dari peralatan itu sendiri yang akan mengalami kerosakan, selain teknologi akan semakin maju dan paparan visual kita tertinggal. Dengan teknologi digital, ia cepat untuk kita rasa tertinggal, tetapi sebaliknya amat berbeza jika kita guna filem (analog) yang sentiasa indah dan semakin mahal saban hari.

Asalnya video-video ini seperti video biasa, tetapi sewaktu menyunting, saya ternampak butang yang akan render ia jadi seperti animasi, maka saya pun cuba. Setiap episod ambil 8-10 jam untuk di-render komputer, dan ada waktu ia tersekat sebab komputer ke sleep mode, jadi kita kena mula balik. Awalnya saya tak tahu kita boleh tutup sleep mode itu, jadi selama seminggu saya berjaga siang malam di depan komputer untuk pastikan bila ia lock screen, saya gerak-gerakkan balik mouse. Ada waktu bila komputer panas, saya rehatkan kejap dengan tutup dan keluar rumah.

Lima tetamu yang dijemput: Ani Aziz, Mah Jun Yi, Ali Aiman Mazwin, Archana Pillai dan Meier Wee. Pemilihan tetamu ini sengaja saya pilih mereka yang kurang arif secara spesifik terhadap medium yang dikendali. Misalnya Ani Aziz lebih familiar dengan novel dan kerja teater saya tapi kita berborak tentang photobook. Tujuannya adalah untuk saya terima soalan yang umum, selain sedikit sebanyak ia menjadi semakin spesifik. Ini kerana video perkongsian ini cuma 5-10 minit (dalam proposal), maka saya tak mahu kita pergi terlalu mendalam dan fokus ke satu-satu work spesifik seperti teater Stereo Genmai misalnya, atau filem Tiada Cinta Selama Muda, atau novel Mautopia. Untuk setiap judul atau hasil kerja saya, saya boleh cakap berjam-jam untuk kongsi prosesnya. Maka di dalam projek ini, kita cenderung untuk bermula dengan sesuatu yang umum (kenapa saya pilih medium tersebut dan bagaimana saya bekerja), dan kemudian baru sedikit sebanyak sentuh hasil kerja yang spesifik (kerana setiap karya ada memori dan cara kerja yang berbeza).

Untuk setiap tetamu direction saya adalah untuk kita bercakap, dan terus bercakap sehingga akhirnya kita lupakan kewujudan kamera. Saya dapat rasa ada di antara teman-teman ini yang sedikit gugup dan rasa janggal awalnya (sebab kita di tempat terbuka, dengan kamera bagai, ia jarang-jarang dibuat), jadi tugas saya juga selain ingin berkongsi, cuba untuk mewujudkan perasaan selesa.

Untuk dirakam video perlukan keberanian kerana kita mungkin boleh tersilap cakap, tapi saya sentiasa sedar, video cuma merakam diri kita di momen itu sahaja. Andai anda tanya soalan yang sama kepada saya sekarang, responsnya boleh jadi berbeza. Tetapi untuk ada kesedaran dirakam, kita perlu fokus dan minum kopi (espresso-based) sebelum setiap kali sesi agar minda jadi terang.

Saya ada terfikir untuk gabungkan kesemua video-video ini menjadi satu video penuh berdurasi 50 minit, tetapi ia berselang-selang di antara satu sama lain, menjadi satu pengalaman perbualan yang jitu dengan rekaan audio dan muzik berbeza. Mungkin ia futej asal non-animasi, tetapi ini cuma bayangan yang memerlukan kerajinan. Mungkin juga ini cuma dahan kepada lima seni terawal yang dikongsi, kerana ada ranting-ranting medium yang lain seperti sinografi, rekaan bunyi, dramaturgi, koreografi yang ingin saya teroka... yang mungkin akan ada videonya pula satu hari nanti.

Dari Shah Alam, ke Old Klang Road, ke Bandar Sunway, ke Klang, ke Kuala Lumpur. Hanya episod bersama Ali Aiman kita buat di dalam kereta sebab hari hujan. Yang saya rasa, bila kita cakap duduk, ia tak selancar bila kita cakap sambil berjalan. Bercakap fasal seni sambil berjalan kaki memang syok dan rasanya tak pernah saya buat dalam hidup!


Ridhwan Saidi
p/s: Ridhwan Saidi Dalam Lima Bentuk Seni ialah siri video lima episod perkongsian tentang seni teater, filem, puisi, novel dan photobook oleh Ridhwan Saidi bersama teman-teman. Dengan sokongan CENDANA Malaysia #CENDANACreateNow