Seperkara yang saya temui menarik dalam ulasan teater yang jarang saya temui dalam ulasan filem atau sastera, adalah bagaimana hubungan di antara penulis dan pembikin di-establish dalam perenggan-perenggan terawal.
Sebagai contoh:
Aku kenal X dulu masa kita sama-sama belajar kat uni, ponteng kelas naik cab pergi Boom Boom Room, dan entah kenapa satu detik ni, kitorang sama-sama terbuka pintu hati untuk jadi vegetarian. Dua tahun lepas tu kitorang tak lagi bertemu, ya benar ini kisah sedih dariku… aku sambung belajar kat States, dia ke Melbourne. Aku dengar dia banyak libatkan diri dalam produksi teater kat sana, buat lighting. Hinggalah semalam, aku yang tak pernah-pernah tengok teater jumpa balik kawan aku yang sorang ni hah, lama gila tak jumpa, macam kembar yang terpisah dari kecik. Tengok gambar ni, serupa kan muka kitorang?
Teater Z memang best giler. Lighting dia cantik.
Atau:
Bila dapat tau kawan ofis aku X berlakon teater, aku pun apa lagi, hebohkan lah dalam grup whatsapp. Kita kasi penuh itu dewan. Kata support! Nak juga aku tengok member aku si X ni berlakon. Kat ofis dia ni pendiam aja aku tengok orangnya. Geram aja. Rasa nak cubit aja pipi dia waktu dia sedut boba tea tu.
Kitorang apa lagi konvoi le ramai-ramai dari ofis. Setibanya di lokasi ia tak seperti yang kusangka. Aduh! Ingatkan dewan teater macam Istana Budaya, atau paling kurang dalam auditorium, tapi teater diorang buat macam kat kedai tom yam aja doh. Kat shoplot. Takpe… indie katanya. Walaupun air-cond kurang kuat, nasib baik aku bawak kipas tangan. Lawak juga aku tengok X berlakon. Nak kata berlakon pun aku tak pasti sebab dia tak banyak cakap. X cuma keluar kejap pegang tombak… kemudian dia pergi belakang. Sekali tu aja. Dia cuma keluar balik waktu kat hujung. Apa lagi kitorang tepuk tanganlah kasi gamat itu ruang! Tersenyum kawan aku sorang nih. Apa pun aku kira mesejnya sampai pada aku. Okaylah… memuaskan cerita dia. Tak begitu berat nak hadam. Besok kat ofis aku nak usik si X nih, “Aik takkan keluar pegang tombak aja? Kalau macam tu aku pun boleh buat.”
Atau:
Adapun adindaku X pulang dari menuntut ilmu perguruannya sepanjang sedekad bersama Jacques Lecoq dan Agusto Boal kembali menghirup udara nusantara ini menaiki pesawat Boeing 747 yang mendarat di Subang Airport.
Dengan kesempatan yang dapat kakanda coretkan di sini, kakanda akui bahawa kakanda insan papa, bahawa kakanda tidak berkesempatan untuk ke pementasan teater sulung adindaku X di tanah air tercinta ini. Tetapi dari kiriman telegram yang kuterima dari bonda dan khabar berita yang kudengar dari ayahanda, persembahanmu adindaku ternyata sebuah kebijaksanaan!
Ridhwan Saidi