Dalam teater kanak-kanak (TKK), biasanya audiens yang datang menyokong ialah ibu bapa serta sanak-saudara kepada kanak-kanak yang akan berlakon. Dalam konteks ini, ibu bapa dan sanak-saudara yang datang ini bukan sebab nak tonton teater sangat, tapi lebih untuk mengkagumi dan tangkap gambar atau video kanak-kanak yang secara darah daging berkait dengan mereka. Ia sebentuk pemujaan tokoh dalam skala kecil. Kanak-kanak kecil itu memantulkan cerminan dan kecomelan genetik diri mereka. Situasi ini kita fahami.
Tetapi apabila para pelakunya sudah dewasa, pelakonnya bukan lagi kanak-kanak, ia mulai rosak akhlak untuk hal yang sama dibuat. Pemujaan tokoh dalam skala kecil ini tak lagi wajar. Sebagai audiens matang dan dewasa, ia gundah jika seseorang audiens itu meniruskan skop tontonannya cuma terhadap seorang, atau beberapa aktor dewasa yang dikenalinya. Audiens datang teater kerana kawan/kenalan ini normal, tetapi tidak normal untuk audiens cuma beri fokus kepada kawan apabila performance sedang berlangsung (sepertimana ibu bapa terhadap anak mereka tadi). Apresiasi audiens ini disempitkan ibarat lampu spotlight ke kenalannya sepanjang pementasan. Elemen teater lain seperti cerita, atau malah pelakon lain yang tak dikenalinya, duduk di dalam gelap, atau tak perlu diambil tahu. Ada sesuatu yang tidak kena di sini.
Meski apresiasi teater buat audiens kebanyakan di Malaysia hari ini ketinggalan dan ditakuk acting, masih belum terlambat untuk ketahui bahawa teater ialah pengalaman menyeluruh. Seluruh ensembel dan skil teknikal sedang menuju ke satu arah. Arah ini yang perlu ditekuni. Untuk pecahkan apresiasi cuma buat seorang (atau beberapa) pelakon, bukan sepenuhnya teater. Ia sesi menghargai kawan dalam skala publik (kerana teater dipentaskan secara publik, justeru pujiannya juga publik).
Suasana paling ketara biasanya terjadi di pementasan universiti yang dipenuhi student. Kita dapat dengar komen bising yang di luar konteks teater, atau gelak sakan student yang ketawa bukan atas sebab cerita tapi sebab aktornya kawannya. Ini sama seperti ibu bapa yang lucu lihat gelagat anak mereka sewaktu performance. Ia buat kita (audiens lain) yang tak berada di dalam hubungan tersebut, bukan sebahagian dari semangat keseluruhan persembahan. Teater adalah ruang dan waktu di mana suatu perasaan yang profound dirasai secara berjemaah—performer, teknikal, audiens, ruang, waktu dan graviti bergabung—sebagai satu ensembel yang lebih sarat.
Tetapi sudah tentu kita tidak boleh menghalang kewujudan audiens sebegini. Ia akan tetap ada selagi insan terbabit tidak berupaya mencapahkan dan meluaskan pemerhatiannya terhadap pengalaman hidup di pentas teater dan dunia. Yang pasti, ia tidak sihat jika majoriti audiens tergolong cuma dalam kalangan yang sama saja. Jemaah audiens perlu digaulkan dengan mereka yang asing dengan semua aktor dan teater itu sendiri kalau boleh (sesungguhnya pilihan audiens di luar kuasa pembikin teater, sekumpulan audiens akan datang bila ia mahu datang). Skop tontonan yang terbatas dan cetek perlu mekar sebelum gugur kembali.
Ridhwan Saidi