Selasa, Mei 15, 2018

Makhluk Berpurdah di Lorong Gelap

Aku tengah berjalan ni. Aku tengah berjalan, berjalan, berjalan. Aku tengah berjalan… tiba-tiba aku terhenti. Ada satu lorong. Aku toleh dan tengok ke dalam lorong yang gelap tu. Cuma ada hitam. Tak ada lampu. Aku tak tau apa yang menarik perhatian aku untuk berhenti dan tengok ke dalam lorong tu. Aku tengok lorong tu betul-betul. Dan baru aku perasan ada orang. Orang tu pakai purdah. Jubah dan purdah hitam. Mulanya aku tak perasan, matanya pun aku tak nampak. Orang... atau perempuan pakai purdah tu, pakai cermin mata hitam tengah malam buta. Aku pusing badan aku dan tengok betul-betul ke dalam lorong sempit tu, ke arah perempuan tu… kalau ia perempuan. Aku tak ada idea jika ia lelaki atau perempuan. Tapi sebab ia pakai purdah, aku terus bayang yang ia…

Langit malam dan kegelapan lorong itu sama. Malah aku juga tak boleh bezakan hitam jubah tersebut dengan warna langit. Cuma kaca matanya sedikit berkilau, dan baru aku perasan, di bawah kaca mata hitam itu, ada tangan yang memakai sarung tangan hitam. Belah kiri. Tangan kanan. Ia bergerak-gerak. Bukan tangan tu, tapi bahunya. Mulanya aku tak tau apa yang perempuan tu tengah buat kat dalam lorong gelap tu. Hanya lama selepas aku termenung baru aku sedar yang dia tengah ketawa. Perempuan pakai purdah itu tengah gelak tutup mulut.

Aku tak lepaskan pandangan aku dari perempuan tu sebab aku takut kalau mata aku beralih ke tempat lain perempuan itu akan hilang ditelan kegelapan. Aku malah tak nak pejamkan mata. Aku tanya perempuan tu, Apa yang kau gelakkan, hah? Dia tak menjawab, masih menggerak-gerakkan bahunya naik turun ke atas. Seakan apa yang buat perempuan itu geli hati, amat menggelikan hati. Aku jalan masuk ke dalam lorong. Aku beranikan diri datang dekat ke perempuan tu. Apa yang aku nampak tadi memang betul. Perempuan tu pakai purdah dengan kaca mata hitam. Tangan kanannya yang memakai sarung tangan hitam sedang tutup mulut di atas lapisan purdah. Apa yang kelakar, saudari? aku tanya lagi sekali. Tetapi masih sama tiada jawapan. Ini buat aku marah. Aku tengah berjalan elok-elok dan tiba-tiba perempuan ni pandang aku dan gelakkan aku. Apa masalah dia? Apa masalah kau, hah? Lalu aku capai tangan perempuan tu cuba sentap, tapi ia begitu kuat, tangan itu sikit pun tak berganjak dari daerah purdahnya. Aku berang dan guna kedua-dua tangan aku. Aku tarik sekuat hati tangan kecil perempuan itu dan ia berganjak sedikit. Waktu tu aku tak fikir apa, tapi bila aku ingat balik, perasaan nak tarik tangan perempuan tu ibarat nak buka sesuatu yang telah tertutup selama ribuan tahun. Ia macam nak buka lubang man-hole yang dah lama tak dibuka. Aku tak pernah buka lubang man-hole dalam hidup, tapi aku boleh bayangkan perasaannya sebegitu. Ia berat dan membebankan. Seluruh urat dalam kedua belah tangan aku menegang seperti dawai. Tangan itu...  tangan yang kurus dan penuh urat itu... seperti tangan seorang perempuan tua. Yang amat tua. Berumur ribuan tahun. Aku akhirnya berjaya tarik tangan kanan perempuan tua itu. Menurunkan ia ke bawah seperti tangan kirinya. Waktu kembali sunyi dan tenang dari jeritan dan gema suara aku. 

Kedua-dua tangan perempuan tua ini lurus ke bawah tanpa sebagai gerakan, kecuali... masih bahunya bergerak-gerak naik turun ke atas. Perempuan tua ini sedang ketawa, tetapi kepada apa? Dia sedang ketawakan aku? Apa yang kelakarnya? Tidakkah dia tahu apa perasaan bila ditertawakan? Ia buat aku marah, tapi aku tak tahu nak buat apa. Ia perempuan tua berpurdah. Menutup aurat. Apa pula kata orang bila aku mengganggu nenek tua ini? Sedangkan tadi aku sudah sentuh dan pegang tangan nenek ini pun sudah dikira salah. Aku mula memerhati sekeliling untuk pastikan tiada orang lain. Aku malah berani melepaskan pandangan ke atas perempuan tua itu, untuk toleh ke belakang. Apabila aku kembali melihat ke depan, nenek itu masih tegak berdiri. Ia buat aku sedikit takut. Bulu roma meremang. Tapi aku beranikan diri. Walaupun aku rasa nenek tua ini sedang ketawa, tapi sebenarnya aku tak pasti. Sebab aku tak dengar pun bunyi tawa yang keluar. Nenek ini cuma menggerak-gerakkan bahunya. Dari marah aku jadi curiga. Aku selak kain purdah nenek itu, dan yang kelihatan bukan mulut atau bibir, tapi sebiji mata! Dan bahu itu bergerak-gerak bukan sebab tengah ketawa, tapi sebab ia sedang menangis. Air mata mengalir dari biji mata itu, yang terletak pada bahagian mulut kita manusia normal. Makhluk itu, apakah ia? 

Ia ketika itu buat aku ingin tahu apa yang ada di sebalik kaca mata hitam itu. Sebab kita sudah tau pada bahagian mulutnya ada mata, jadi adakah pada bahagian matanya ada… 

Tapi aku tak tahu. Sebab bila aku dapat keberanian untuk buka cermin mata hitam yang dipakai makhluk berpurdah itu, aku dah tak boleh bergerak. Tangan dan kaki aku kaku. Aku cuma boleh tengok. Nenek… atau makhluk itu semakin mengundur, dan menjauh… ditelan kegelapan. Aku terjaga dengan air liur meleleh di atas man-hole di tengah jalan. Bangun-bangun aku kat tengah jalan raya. Betul-betul terlentang atas man-hole. Entah macam mana aku boleh ada kat situ, aku pun tak tahu. Untuk habiskan cerita, aku dengar azan subuh. Dan lalu aku pun pulang ke rumah. Tapi kau boleh anggap aku ada singgah ke surau, kalau kau mahu.


Ridhwan Saidi