Rabu, April 25, 2018

Nota Pasca Teater Modular [set 3] III


Antara imej kuat yang ditinggalkan sewaktu Teater Modular itu hari ialah nanas yang dianggap durian dalam playlet Kurator Dapur arahan Hannan Barakbah & arahan seni Anjali Venugopal.

Meski Kamini Senthilathiban pegang watak suami dan Adam Hamizan pegang watak isteri, gender switch ini tenggelam bila sebiji nanas ambil posisi sebagai durian. 

Ia membiasakan pertukaran posisi gender pelakon, sebab agak senggama minda bila nanas ambil posisi sebagai durian. Adakah nanas sedang menyamar sebagai durian? Atau kedua karakter itu tidak betul untuk sampai ke tahap, mengatakan bahawa nanas itu durian? Walaupun dunia Kurator Dapur itu fiksyen, tetapi ia masih mengganggu kita yang menonton. Kita tau durian bukan nanas, tapi kenapa kita rasa dalam fiksyen pun durian mesti durian?

Saya ada terfikir bagaimana jika durian belanda digunakan sebagai ganti. Kita pasti rasa janggal juga, sebab kita tahu durian belanda bukan sepenuhnya durian. Boleh jadi kesan kejutannya berkurangan sebab setidaknya, ia bernama durian, meski ia bukan durian sebenar.

Bak kata pepatah, Don’t mess with durian.

Tindakan menggunakan nanas sebagai durian ini transgresif sebenarnya. Kita cukup kenal dan faham durian itu apa. Barangkali ia tiada kesan kepada mereka yang tak kenal durian. Tapi kita yang tahu, baunya, rasanya, teksturnya, durinya, yang pernah merasa pahit manis kucing tidur yang penuh lemak, yang pernah tersepak dan melukakan kaki hingga berdarah ketika berjalan di dapur, yang pernah minum air dari kulit durian untuk sejukkan badan, mereka yang sudah pernah rasa nikmat dan kesakitan durian, tentu tak boleh melupakannya.

Pagi tadi saya terfikir, dan baru saya teringat, bahawa nanas buah yang (disebut) ‘tajam’ bila dimakan. Kita biasa dengar orang cakap nanas ni tajam dan tak elok buat mereka yang sedang hamil. Ia juga kuat berasid. Jika kita makan betik atau mangga, kita boleh tau ia tidak sekuat nanas. Malah saya terfikir jika ada buah lain yang lebih tajam dari nanas apabila dimakan? jAtau nanas buah yang paling tajam?

Ketajaman ini berlawanan dengan durian. Durian hanya tajam di luar, tetapi di dalamnya ada syurga atau neraka, tergantung kepada siapa yang mendepaninya.

Ketajaman nanas pula terkait kembali kepada adegan akhir playlet Kurator Dapur. Watak isteri lakonan Adam mengatakan, “Itulah. You hanya nampak apa yang di luar. Apa yang di dalam... siapa yang tahu?”

Apa yang di dalam hati suami itu mengingatkan saya kepada tekstur kuning, keras dan tajam nanas.


Ridhwan Saidi