1
Ada dua perkara yang muncul menjadi ketara dan menarik sewaktu pementasan Teater Normcore: Double Bill telah habis. Saya sedari ini setelah kelima-lima pementasan diaksikan. Dua perkara ini melibatkan watak Birokrat yang dilakonkan oleh Mia Sabrina Mahadir. Perkara pertama melibatkan literatur (bahasa) manakala perkara kedua melibatkan arsitektur (ruang).
PELAKON: Izinkan saya menerangkan falsafah method acting yang telah saya dalami sejak beberapa tahun ini. Ceritanya Strasberg ini telah mengambil sebahagian teknik lakonan Stanislavski…
BIROKRAT: Tak nak dengar. Sebab ia dari Barat, kan?
Perkara pertama ialah penggunaan ‘kan’ di hujung ayat: “Sebab ia dari Barat, kan?” Penggunaan ‘kan’ ini buat ia jadi brutal. Tanpa ‘kan’ ia akan jadi: “Tak nak dengar. Sebab ia dari Barat.” Dengan ayat ini, Birokrat itu tak mahu dengar kerana baginya ia dari Barat, yakni sesuatu yang tidak elok baginya. Tetapi dengan adanya ‘kan’ dan tanda soal di belakang ayat ini, Birokrat itu mempersoal kembali watak Pelakon bahawa Pelakon itu sepatutnya sudah tahu bahawa ia bukan sesuatu yang elok. Ia rinci kecil, yang mana pada setiap hari ayat ini dilontarkan, ia menjadi semakin tajam dan patronizing.
Perkara kedua pula melibatkan adegan monolog akhir Birokrat yang berdiri di kalangan audien sebelum dia acknowledge keberadaan audien di hadapannya. Di atas kertas saya membayangkan kedudukan audien memang betul-betul berada di depan Birokrat. Tetapi dengan ruang di RAW Art Space, ia tidak cukup dalam maka apabila Birokrat itu acknowledge keberadaan audien, ia sedang mengadap dinding. Constraint ruang ini, walau bagaimanapun menjadi istimewa apabila saya lihat foto audien.
Pada ketika ini, apabila lampu merah semakin fade out dan hanya lampu tumpah jatuh ke atas Birokrat—sewaktu monolog terakhirnya—foto-foto ini banyak view dari tepi atau belakang tubuh Birokrat. Sosok Birokrat ini sedang membelakangkan atau mengenepikan audien dan mengadap ke arah dinding yang berada di hadapannya. View point audien ini, buat ia seolah audien sedang berkongsi pentas yang sama dengan Birokrat. Ruang tempat audien duduk itu bukan ruang audien, tetapi pentas/ruang lakon.
2
Teater ialah titik di mana literatur dan arsitektur bertemu.
Ridhwan Saidi